Seni & Sukan 25 Aug, 2022

FFM Ke-32 buka penyertaan! Perkenal Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik! 10 negara sasar bertanding!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


FESTIVAL Filem Malaysia  ke-32 (FFM32) bakal menyaksikan penglibatan filem antarabangsa apabila 10 negara dijangka turut sertai merebut Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik yang julung kalinya disenaraikan bersama dua lagi kategori baharu diperkenalkan tahun 2022 ini.

Dua kategori baharu berkenaan meliputi Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman dan Anugerah Filem Pendek Terbaik, menjadikan 22 kategori dipertandingkan dan 9 anugerah yang akan disampaikan pada malam kemuncak FFM32 bertempat di Melaka pada 2 Disember 2022 depan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Festival Filem Malaysia


“Selain turut memasukkan elemen-elemen antarabangsa dengan memperkenalkan Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik dengan penglibatan juru-juri dari luar negara, ia sebagai medium pelaburan stategik jangka panjang.

“Saya percaya peluang terbuka luas untuk kita terus menembusi pasaran luar kerana kualiti produk-produk beridentitikan tempatan yang bersifat universal dan merentasi sempadan dunia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Dr. Md Nasir Ibrahim (gambar atas) ketika ditemui pada sidang media pertama FFM32 yang berlangsung di Royal Selangor International pada Selasa, 23 Ogos 2022 sekali gus memperkenalkan trofi FFM32 yang direka khas oleh Royal Selangor. 

Turut hadir Pengarah Eksekutif Royal Selangor, Chen Tien Yue (dua kiri), Pengarah Pemasaran FINAS, Muhammad Ar-Riyyan Mohamad Roslan (kiri), Timbalan Ketua Pengurusan FINAS, Rozita Waty Ridzuan (dua kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi FINAS, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin (kanan).


Md Nasir Ibrahim (tengah) memperkenal trofi FFM32 rekaan dari Royal Selangor. - Kredit foto: Rafi (FINAS).


Menurut Md. Nasir, setekat ini lima buah negara telah memberikan maklum balas positif seperti India, Indonesia, Thailand, Pakistan dan Singapura manakala lima lagi negara lain sedang dirunding.

Berhubung Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman dan Anugerah Seniman Sepanjang Zaman ia diperkenalkan sebagai penghargaan kepada mereka yang berjasa dalam industri perfileman tanah air.

“Sebelum ini kita hanya memberi Anugerah Seniman Sepanjang Zaman tetapi kali ini kita memperkenalkan anugerah untuk Seniwati pula,” tambah Md. Nasir sambil menambahkata Anugerah Filem Pendek Terbaik diwujudkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni memeriah dan menyertai festival.

Sambungnya, dalam usaha Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta FINAS sendiri memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global, kita perlu bersiap siaga dengan gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang  bersandarkan kepada penggunaan teknologi terkini dan industri berasaskan pengetahuan di mana tiga sektor utama pengeluaran, pengedaran dan pemameran filem akan turut mengalami perubahan landskap. 


Trofi FFM32 yang akan menjadi rebutan penerbit dan karyawan filem. - Kredit foto: FAS.


Bertemakan 'Filem Kita, Citra Kita', Md. Nasir mempelawa penerbit dan karyawan filem menghantarkan pencalonan filem masing-masing di mana pendaftaran sudah dibuka hingga 30 September ini.

“Filem-filem  layak bertanding adalah karya yang ditayangkan bermula 15 Julai 2021 hingga 30 September 2022, yang telah melepasi syarat Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) serta tempoh durasi filem melebihi 60 minit,” ujar Md Nasir sambil memaklumkan setakat ini sudah ada 27 buah filem tempatan ditayangkan. 

Pun begitu, tambahnya pencalonan tidak terbuka kepada filem tempatan yang ditayangkan dalam aplikasi penstrimen seperti Netflix dan sebagainya kecuali  di pawagam rumah “Astro First’.  

Borang permohonan boleh didapati di laman sesawang www.finas.gov.my.

Selain daripada acara kemuncak iaitu Malam Anugerah yang akan berlangsung pada 2 Disember 2022 di Melaka, FFM32  turut dimeriahkan dengan pelbagai perancangan program sisipan dan aktiviti yang dapat menarik lebih ramai peserta. 

Program-program yang dirancang kali ini lebih menyeluruh dengan penglibatan kumpulan sasar seperti penerbit, karyawan, pelabur, penyiar, pelajar dan komuniti filem yang menjadi jentera kepada pembangunan industri.

“Saya yakin akan potensi industri filem sebagai pemangkin ekonomi kreatif dan budaya kepada negara," akhir Md. Nasir," - KitaReporters


Seorang petugas Royal Selangor sedang tekun membuat trofi FFM32,

12
18
0
16
0
You will be interested