JARINGAN Hwang Hee-Chan pada masa kecederaan membolehkan Korea Selatan mengiringi Portugal mara ke pusingan seterusnya untuk Piala Dunia 2022 edisi Qatar.
Mereka menjadi wakil Asia ketiga berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Education City pada 2 Disember 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala Dunia
Dalam perlawanan tersebut, Korea Selatan berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Portugal dan kemenangan tersebut membolehkan mereka naik dari tangga tercorot kumpulan H ke tempat kedua.
Aksi terakhir peringkat kumpulan, Korea Selatan wajib menang untuk layak.
Bagaimanapun Portugal bermula garang selepas membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 menerusi Ricardo Horta untuk meletakkan mereka mendahului 1-0.
Tersentak dengan jaringan itu, Korea Selatan terus perkemaskan kembali permainan dan mengatur serangan ke kubu lawan.
Korea Selatan hampir menyamakan kedudukan namun jaringan Kim Jin-su tidak dikira oleh pengadil kerana pemain tersebut berada dalam kedudukan ofsaid.
Pada minit ke-27, jaringan penyamaan dari Korea Selatan hadir menerusi pemain pertahanan, Kim Young-gwon untuk mengikat kembali kedudukan 1-1.
Aksi di separuh masa kedua lebih mendebarkan apabila kedua-kedua pasukan saling berbalas serangan dan hampir peroleh jaringan.
Korea Selatan dilihat lebih berbahaya dalam mengatur serangan balas ke kubu Portugal.
Melihat masa semakin suntuk, Korea Selatan melakukan pertukaran untuk mencari gol kemenangan dan taktikal itu membuahkan hasil positif buat pasukan tersebut selepas pemain gantian, Hwang Hee-Chan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91 hasil gerakan serangan pantas.
Kemenangan ini menyaksikan pasukan dari Asia terus mengejutkan pasukan terkuat Eropah dan membolehkan mereka menempatkan diri di pusingan kedua.
Lawan mereka nanti adalah Brazil dan mereka akan bertemu pada 6 Disember 2022. Sementara Portugal pula akan turun menentang Switzerland untuk memburu tiket ke suku akhir. - KitaReporters