Seni & Sukan 06 Mar, 2026

Dramalah sangat! Kimbab persembah Drama Raya! Lagu raya sarat cerita ceria realiti pagi Syawal!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Tatkala industri hiburan tempatan  dibanjiri lagu-lagu raya menjelang Aidilfitri, trio komedi Kimbab tampil mencuri tumpuan dengan pendekatan luar jangka menerusi single terbaharu mereka berjudul “Drama Raya”. 



Mengangkat kisah realiti pagi Syawal yang sering dipenuhi detik kelam-kabut namun sarat memori manis, karya ini hadir sebagai refleksi jujur kehidupan masyarakat moden yang dekat di hati ramai.

Dianggotai Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi, Kimbab mempertaruhkan konsep santai dan mudah didengar, berbeza daripada lagu raya tradisional yang lazimnya bernuansa sayu. 

Lagu ini menonjolkan sisi humor dalam persiapan lebaran, daripada kuih raya yang tidak menjadi sehingga dilema baju raya yang tidak lagi muat disarung pada pagi raya.

Zulin yang menjadi peneraju idea serta penghasilan melodi dan lirik menjelaskan bahawa “Drama Raya” diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat. 

"Saya pasti semua orang pernah melalui ‘Drama Raya’ mereka sendiri, sebab itu kena tengok muzik video lagu ini yang memang penuh dengan kisah yang relatable,” katanya.

Menurutnya, elemen komedi diselitkan secara bersahaja agar pendengar bukan sahaja terhibur, malah mampu mengaitkan lirik lagu dengan situasi yang pernah dilalui sendiri.


Dari kiri: Zulin, Nasz dan Maryam DurianKimchi.


Tarikan utama yang pastinya mencuri tumpuan dalam naskah ini adalah keberanian Maryam DurianKimchi yang menyahut cabaran membawakan bahagian rap dalam Bahasa Melayu, sekali gus menjadi kelainan utama dalam lagu raya tersebut.

Cabaran tersebut disifatkan sebagai satu pencapaian peribadi memandangkan rap memerlukan ketepatan sebutan serta kawalan tempo yang pantas. 

Walaupun sudah fasih berbahasa Melayu, Maryam perlu menjalani beberapa sesi latihan intensif bagi memastikan hasil rakaman mencapai standard yang diharapkan.

"Kelainan lagu ini sebab kita ada orang Korea siap rap lagi. Memang jenuh Maryam menghafal, tapi dia sangat power.

"Walaupun Bahasa Melayu dia dah sangat baik, cabaran sebenar adalah dari segi sebutan rap dan dia berlatih berkali-kali. Alhamdulillah proses rakaman sangat mudah sebab semua sangat komited dan saling membantu,” cerita Zulin.



Keserasian luar biasa yang dipamerkan oleh trio ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan hubungan mereka sudah terpupuk akrab sejak penglibatan dalam program Muzikal Lawak Superstar.

"Keserasian kami memang dah macam isi dengan kuku. Sejak habis Muzikal Lawak Superstar, kami sentiasa bersama dan keserasian itu sangat membantu sepanjang penghasilan lagu ini,” katanya lagi.

Selain elemen komedi dan hiburan, 'Drama Raya' turut menyentuh perbezaan cara sambutan Aidilfitri antara generasi Milenial dan Gen-Z, mencerminkan perubahan budaya raya masa kini tanpa meninggalkan nilai tradisi.

Zulin turut berharap lagu ini mampu menjadi pengubat rindu buat para peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers.

"Harapan saya semoga Drama Raya mendapat sambutan dan menjadi lagu yang menceriakan raya peminat kami.

"Kalau ramai yang suka, mungkin tahun depan ada sambungannya. Insya-Allah lagu ini juga bakal menjadi lagu tema untuk telefilem raya Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang akan ditayangkan di Astro Chincha,” ujar beliau berseloroh.



Dengan gabungan elemen humor, realiti kehidupan, dan sentuhan muzik moden, “Drama Raya” dijangka bakal mendominasi carta lagu raya tahun ini, sekali gus membuktikan bahawa Kimbab tetap relevan sebagai penghibur yang mampu menyatukan masyarakat menerusi seni yang dekat di hati. - KitaReporters

9
8
0
10
0
You will be interested