Lawan tetap lawan. Itu pendirian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tetap mempertahan bahawa keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas isu pemain warisan Harimau Malaya adalah tidak tepat kerana tuduhan tidak berasas.

Sebaliknya kekeliruan berpunca daripada kesilapan pentadbiran apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen, bukannya dokumen rasmi dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut badan induk itu, rayuan rasmi giat disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia, sambil menegaskan komitmen untuk mempertahan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta dan dokumen sahih.

Bagaimanapun, FIFA dalam laporan rasmi bertajuk 'Notification of the Grounds of the Decision' bertarikh 6 Oktober 2025, mendedahkan butiran penuh berhubung hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Malaysia selepas mendapati wujud ketidakselarasan dokumen asal pendaftaran.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan hukuman dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.Siasatan mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain berkenaan tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal. Semakan bersama pihak berkuasa luar negara menunjukkan individu dinamakan sebagai datuk atau nenek mereka bukan dilahirkan di Malaysia seperti dikemukakan.FIFA turut menyatakan JPN hanya mengeluarkan salinan berasaskan maklumat sekunder, bukannya rekod kelahiran asal. Justeru, meskipun FAM mendakwa dokumen diperoleh secara sah, prinsip tanggungjawab mutlak tetap terpakai – kegagalan mengesahkan ketulenan dokumen tetap dikira sebagai kesalahan tatatertib walaupun tanpa niat menipu.
FIFA mendedahkan asal usul tujuh pemain warisan Malaysia.
Nenek Gabriel Felipe Arrocha dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol.
Datuk Facundo Tomas Garces berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk Rodrigo Julian Holgado dilahirkan di Buenos Aires, Argentina.
Nenek Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, Argentina.
Datuk Joao Vitor Brandao Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.
Datuk Jon Irazabal Iraurgui lahir di Viscaya, Sepanyol.
Datuk Hector Alejandro Hevel Serrano dilahirkan di The Hague, Belanda.
Tujuh pemain itu pernah diturunkan dalam aksi rasmi skuad kebangsaan, termasuk ketika Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025, di mana dua daripadanya menjaringkan gol.
Akibatnya, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.
FAM diberikan tempoh 30 hari untuk melunaskan bayaran denda, selain tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan sudah membaca alasan penghakiman penuh FIFA dan mahu FAM tidak berdiam diri dalam isu ini.
“FAM perlu melengkapkan proses rayuan, menjawab secara jelas segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA,” katanya.
