Seni & Sukan 09 Nov, 2025

Video| Lebih pop, lebih funky! Ernie Zakri ajak berDansa! Tak terus tertekan hadapi cabaran hidup!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Penyanyi yang terkenal dengan kawalan vokal yang luar biasa, Ernie Zakri, kini menanggalkan seketika imej balada berat beliau untuk memperkenal single terbaharu yang penuh semangat, “Dansa”



Single ini bukan sekadar menunjukkan kemampuan beliau dalam genre pop, malah berani bereksperimen dengan sentuhan pop moden dan elemen funky, menjadikannya satu karya yang berbeza dalam katalog muziknya.

Menurut pemilik bernama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri ,33,  lagu hasil cetusan idea dan ciptaan bersama penerbit handalan, John Jeeves ini hadir daripada keinginan untuk mengajak orang ramai agar tidak terus tertekan dengan cabaran hidup.

“Emosi yang ingin saya sampaikan adalah bahawa kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Dalam kehidupan, kadangkala kita terlalu dibebani tekanan sehingga lupa untuk menikmati serta menghargai apa yang berada di hadapan mata,” jelas Ernie.



Kerjasama erat antara Ernie dan John Jeeves dalam proses penulisan dan penerbitan lagu ini turut memperlihatkan keserasian dan kefahaman kreatif yang tinggi antara kedua-duanya. 

“Bekerjasama dengan John sememangnya satu pengalaman yang sentiasa menyenangkan. Aliran idea kami berjalan dengan sangat lancar dan proses penulisan lirik juga berlaku dalam tempoh yang singkat kerana saya jelas dengan hala tuju yang ingin dibawa. 

"Saya berharap lagu ini dapat membantu pendengar untuk melupakan kesedihan dan menikmati setiap detik yang hadir,” ujar Ernie.

Beliau turut mengumumkan perancangannya untuk menyertakan “Dansa” dalam albumSahabat’ yang dijangka akan dilancarkan pada hujung tahun ini (2025) atau awal tahun depan (2026).

“Walaupun Dansa masih berteraskan genre pop, pendekatannya lebih funky dan kontemporari. Saya juga merancang untuk menyertakan lagu ini dalam album 'Sahabat', agar keseluruhan album menampilkan variasi konsep yang menarik dan dapat dinikmati semua lapisan pendengar,” tambah Ernie.



"Sahabat" merupakan projek album besar Ernie Zakri yang bertujuan untuk menembusi pasaran muzik Nusantara secara lebih luas.

Dengan langkah berani bereksperimen ini serta kekuatan vokal yang tersendiri, mesej positif yang menyentuh jiwa serta susunan muzik yang dinamik, “Dansa” dilihat sebagai menjadi antara karya penting dalam perjalanan karier seni Ernie Zakri, memperkukuh kedudukannya sebagai salah seorang penyanyi wanita terkemuka negara.

Malah, sejak dilancarkan dalam platform digital, "Dansa" telah menerima sambutan yang sangat positif daripada peminat muzik tempatan, yang rata-rata memuji keberanian Ernie Zakri untuk keluar dari zon selesa beliau.  




Kebanyakan ulasan menekankan kejayaan lagu ini dalam menampilkan sisi yang lebih ceria dan bertenaga daripada penyanyi tersebut. 

Bahkan ramai dalam kalangan artis-artis termasuk Tok Ti serta bapa saudaranya, Anuar Zain terhibur dengan gelagat promosi Ernie dalam laman sosial medianya.

Tidak ketinggalan ramai pendengar meluahkan rasa teruja dengan elemen funky dan susunan muzik kontemporari yang dianggap catchy dan sesuai untuk dimainkan di radio. 

Mereka berpendapat bahawa walaupun lagu ini bersifat lebih ringan dan tarian, kekuatan vokal Ernie tetap menyerlah dan tidak terjejas, menunjukkan versatiliti beliau sebagai seorang vokalis. - KitaReporters

8
10
0
18
0
You will be interested