Amir Raja Lawak menghadapi masalah untuk menyediakan kewangan bagi membolehkan ayahnya mendapat rawatan sempurna termasuk menjalani pembedahan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat mengunjunginya di kedai ayam goreng Amir RL di Stadium Sultan Muhammad IV bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. - KitaReporters

Dalam beberapa hari kebelakangan Amir Raja Lawak, 36, menjadi bahan berita sensasi dalam kalangan pengikut dunia hiburan tanah air.
Ini kerana Amir RL, juga dikenali sebagai Amir Amireka atau nama lengkapnya Mohammad Amirullah Azmi, menghadapi masalah untuk menyediakan kewangan bagi membolehkan ayahnya mendapat rawatan sempurna termasuk menjalani pembedahan.
Amir RL hampir putus asa apabila bayaran kerjanya sebanyak RM18,000 masih belum dilunas oleh sebuah stesen TV walaupun program tersebut telah disiar pada 2023.
Bagi meneruskan kehidupan diri dan kos perubatan ayah kesayangannya, Amir terpaksa menjual kereta kesayangannya, Proton Juara pada Julai 2025.

Keluhan Amir RL yang dimuat dalam laman sosialnya mendapat simpati ramai, termasuk sejumlah rakan artis. Dan Amir RL meluahkan terharunya apabila teman seninya pelawak Zizan Razak terus meminta nombor akaun banknya bagi menghulur sumbangan.
Walaupun sejumlah rakan artis dan beberapa individu lain sudah menghulurkan bantuan, namun ia masih tidak mencukupi untuk kos rawatan ayahnya.
Amir RL dalam kecewa mengeluar kata-kata akan bertemu dengan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) untuk meluahan masalah. Kata-kata Amir RL itu dikesan oleh Setiausaha Politik PMX, Datuk Ahmad Farhan Fauzi lalu menghubungi Amir RL melalui panggilan video.

Selepas berakhir majlis penutup Program Madani Rakyat Negeri Kelantan 2025 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Anwar berjalan ke kedai ayam goreng Amir RL yang terletak tidak jauh dari stadium itu.


Dalam pertemuan itu PMX menzahir simpati kepada saudara Amir RL yang berdepan ujian apabila bapanya menghidap masalah kesihatan yang serius.

Peristiwa yang tidak akan dilupa Amir RL menerima kunjungan PMX dan Menteri Besar Kelantan.
Amir RL mengangap peristiwa pada 9 Ogos 2025 itu akan abadi dalam ingatannya sepanjang hayat. Dia tergamam menyambut kehadiran PMX, Menteri Besar Kelantan dan tetamu lain ke restorannya dan menjamu hidangan seadanya.