Seni & Sukan 27 Sep, 2025

Menamakanmu Cinta lebarkan sayap Siti! Terima tawaran Abe! Lagu tema sinetron, Cinta Sepenuh Jiwa!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Legenda Muzik Asia Tenggara yang juga Biduanita Negara, Dato Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi melebarkan pengaruhnya dalam industri muzik serantau.  



Kali ini, beliau mengembangkan bidang nyanyiannya apabila menerima tawaran untuk mendendangkan lagu bersama Ade Govinda sebagai soundtrack atau runut bunyi bagi sebuah sinetron terbaharu Indonesia.

Lagu istimewa tersebut telah dipilih menjadi lagu tema rasmi untuk sinetron terbitan MNC Pictures yang berjudul "Cinta Sepenuh Jiwa", yang ditayangkan secara eksklusif di stesen televisyen Indonesia RCTI (Rajawali Citra Televisi Indonesia).

Sinetron ini, yang membawa kisah cinta penuh emosi dan bermakna, dibintangi oleh pelakon muda berbakat seperti Cut Syifa, Ibrahim Risyad, dan Kenny Austin.



Lagu yang menjadi kolaborasi unik antara bakat dua negara ini bertajuk "Menamakanmu Cinta", yang dicipta oleh Ade Govinda sendiri. 

Kehadiran vokal unggul Siti Nurhaliza dalam lagu ini menguatkan lagi nuansa cinta mendalam yang menjadi teras kepada jalan cerita sinetron tersebut.

Sejak dilancarkan, "Menamakanmu Cinta" telah menerima sambutan hangat daripada pendengar, sekali gus membuktikan kedudukan Siti Nurhaliza sebagai artis yang sentiasa dinantikan. 



Video Lirik Rasmi (Official Lyric Video) yang ditayangkan pada 18 Julai 2025 telah ditonton lebih 3.7 juta kali, manakala Video Muzik Rasmi (Official Music Video) yang dimuat naik pada 12 September 2025 telah mencatat lebih 500 ribu tontonan dalam YouTube. 

Selain itu, lagu ini juga merekodkan lebih 4.9 juta mainan (plays) dalam YouTube Music dan 2.1 juta strim (streams) di Spotify.

Menurut Ade, "Menamakanmu Cinta" mempunyai keselarasan makna dengan tajuk sinetron. 

"Lagu ini adalah ungkapan rasa cinta yang kita rasakan terhadap orang tersayang. Kita mencintai seseorang sepenuh jiwa, tetapi kadangkala ia tidak diungkapkan sepenuh jiwa, jadi saya tidak sabar untuk menyaksikan jalan cerita sinetron ini," jelasnya.



Dengan jalan cerita yang menyentuh hati dan lagu tema yang mengujakan perasaan hasil gandingan Siti Nurhaliza dan Ade Govinda, sinetron "Cinta Sepenuh Jiwa" bersedia untuk menjadi tontonan istimewa bagi keluarga di Indonesia.  

Sementara itu, melalui platform Instagram syarikatnya @snlegacysb, Siti atau Tok Ti memuat naik temu bual bersama Ade yang mendedahkan beliau mencipta lagu ‘Menamakanmu Cinta’ dalam masa 15 minit sahaja. - KitaReporters

13
13
0
7
0
You will be interested