Seni & Sukan 28 Jul, 2025

Soma mahu jadi fenomena! Teroka banyak cabang seni! Nyanyian, persembahan pentas dan keusahawanan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

.


Figura baharu yang semakin mencuri perhatian dalam dunia seni tanah air, Soma atau nama sebenarnya, Rosmah S. Sengari @ Basar, kini melangkah lebih aktif dalam bidang nyanyian dan persembahan pentas, sambil terus mengukuhkan kedudukannya dalam dunia keusahawanan.

Walaupun  giat menguruskan perniagaan sebagai kontraktor dan pemilik bisnes 'hardware', Soma tidak pernah mengetepikan hasratnya untuk terus berkembang dalam bidang seni, baik di pentas tempatan mahupun antarabangsa.

Baru-baru ini,  pada  26 Julai 2025 bertempat di Hap Seng Star Mercedes Benz, Bukit Tinggi, Klang, Soma tampil pada acara 'Brides of Malaysia' -- sebuah platform berprestij yang meraikan kolaborasi seni dan budaya antara dua negara Asia, Malaysia dan India-Sri Lanka.


Soma (tiga dari kiri) bersama Nowman Kareem (tengah) serta team yang terlibat menjayakan 'Brides of Asia'.


Acara yang diasaskan oleh Nowman Kareem, anak seni dari India-Sri Lanka menyaksikan kolaborasi merentas budaya yang cukup istimewa.

"Brides of Malaysia" bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara negara ke arah industri fesyen pengantin mewah, mengikut tradisi masing-masing. 

Majlis  ini juga berobjektif untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam industri fesyen, kecantikan, seni kebudayaan, dan peragaan pada peringkat antarabangsa. 


Antara pertunjukan fesyen pengantin yang dipersembahkan. - Kredit foto: FAS.


Koleksi mewah pada malam itu dibarisi pereka fesyen terkemuka seperti Maswira Majid, Dicky Couture, Violla, dan Priyaa Fashions.

Pada malam penuh glam itu, Soma menjadikan penyertaannya sebagai satu eksperimen berharga untuk menambah pengalaman, ilmu dan pendedahan dalam bidang kesenian yang lebih luas, sekali gus melangkah lebih jauh menuju arena antarabangsa.

“Saya melihat acara ini sebagai ruang untuk bereksperimen, belajar dan memperkukuh diri dalam dunia seni. Ini bukan sekadar untuk dikenali, tetapi juga sebagai satu cara untuk menjana pendapatan dan membina masa depan,” ujar Soma ketika ditemui.


Gambar kiri: Soma menjunjung kasih keberangkatan Tengku Jaril Sulaiman,s manakala gambar kanan bersama Khadijah Ibrahim,  pereka fesyen Huda Hassan (dua dari kiri) dan Nowman (tiga dari kanan). Turut bersama Miss Celebrity, Poorani Raju (baju merah) dan Seemarajah, team penganjur.


Antara tetamu kehormat yang hadir memberikan sokongan adalah Raja Shu'ibah Almarhum Sultan Idris Afifullah Shah serta Tengku Jaril Sulaiman Ibni Almarhum Tengku Putera Sulaiman; serta artis idola Soma, Datuk Khadijah Ibrahim yang juga Pengerusi Karyawan, serta Kamaluddin Mohd Kasim selaku Ahli Jawatankuasa Karyawan.

Pada majlis gilang-gemilang "Brides of Malaysia" itu, Soma telah memukau hadirin dengan persembahan dua buah lagu malar segar, "Asmara" nyanyian asal Anneke Gronloh dan lagu Latin, "Besame Mucho", yang disampaikan bagi memenuhi cita rasa kepelbagaian latar belakang tetamu yang hadir.



Persembahan ini bukan sahaja mencerminkan cita rasa seni Soma, malah mengukuhkan lagi komitmennya terhadap bidang muzik yang menjadi minat utamanya sejak di bangku sekolah lagi.

“Seni bukan hanya tentang populariti, tetapi juga satu medium untuk menjana ekonomi, membina kerjaya dan menyampaikan nilai budaya. Saya ingin terlibat secara menyeluruh, bukan sekadar sebagai penyanyi tetapi juga dalam produksi dan perniagaan seni,” jelas Soma penuh semangat.

Dalam pada itu, plantun lagu ‘Perjalanan” ini giat merancang pelancaran lagu baharunya tidak lama lagi.

Sehubungan itu, industri seni suara tempatan mungkin bakal menyaksikan fenomena baharu apabila Soma, menyuarakan hasrat untuk bergabung dengan kumpulan wanita popular, Dolla. 

Minat Soma untuk membentuk gabungan ini didorong oleh keyakinannya bahawa kolaborasi tersebut mampu mencetuskan gelombang segar dalam landskap muzik tempatan, terutamanya, memandangkan ketiadaan kumpulan penyanyi wanita yang ramai ketika ini. 


o

Soma pasang hajat ingin berkolaborasi dengan kumpulan Dolla.


“Bidang seni ini sangat luas. Ia bukan hanya tentang menyanyi semata-mata. Saya mahu meneroka lebih banyak cabang -- baik muzik, tarian, persembahan pentas bahkan di sebalik tabir produksi sebagai usaha menjana ekonomi jangka panjang dan membina kerjaya yang pelbagai,” tambah Soma sambil memaklumkan majlis yang diadakan direalisasikan bersama rakan kongsinya, Huda Hassan dan Lynn Rosli yang bakal menganjurkan Miss & Mrs Majestic International 2025 yang turut dilancarkan serentak, ke Genting Highlands sekali gus mencipta rekod berlangsungnya peraduan ratu cantik pada ketinggian lebih 6,000 kaki di Hoverland, Wyndham Ion Majesic Hotel Genting Highlands, dijangka pada bulan September depan.


Dari kiri; Lynn Rosli, Huda Hassan dan Soma bergabung menguruskan acara.


Dengan semangat tinggi dan visi yang jelas serta pengalaman yang semakin bertambah, Soma kini bersedia untuk menakluki cabaran membawa gabungan dunia seni dan keusahawanan ke tahap yang lebih tinggi, sambil terus membina empayar perniagaan yang stabil dan berdaya saing.

Beliau juga merancang untuk mengadakan sebuah showcase konsert mini tidak lama lagi, sempena ulang tahun pertamanya sebagai artis rakaman, menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan seninya. - KitaReporters.

16
14
0
11
0
You will be interested