Seni & Sukan 27 Sep, 2025

Jangan main-main dengan KPDN Perak! Lakukan 2 serbuan! Berkaitan Akta Hak Cipta, LPG tanpa permit!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Jangan main-main dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak kerana penguat kuasanya aktif melakukan penyerbuan dari semasa ke semasa.


Dua kakitangan penguatkuasa KPDN sedang membuat pemeriksaan di sebuah premis hiburan di Ipoh.

Pada 24 September 2025, KPDN Perak melakukan serbuan berkaitan pelanggaran Akta Hak Cipta 1987. Pelanggaran akta itu membawa padah.

Dua premis hiburan di bandar raya Ipoh dikenal pasti melanggar hak cipta karya bagi tujuan komersial.

Ini berikutan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak telah melakukan satu serbuan ke atas dua buah pusat hiburan yang disyaki melakukan pelanggaran hak cipta terhadap karya yang didaftar.


Dua petugas KPDN sedang melakukan pemeriksaan terhadap dua lelaki di sebuah premis hiburan di Ipoh.

Serbuan pada jam 6 petang itu dilakukan hasil maklumat dan aduan oleh wakil pemilik hak cipta berhubung kegiatan dua buah premis yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui set karaoke mengandungi salinan langgaran karya rakaman filem, bunyi dan lagu yang digunakan bagi tujuan perniagaan.

Wakil pemilik hak cipta telah melakukan pengesahan awal ke atas set karaoke tersebut dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987 iaitu ada dalam milikannya, jagaan atau kawalan, bagi apa-apa kegunaan selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik, apa-apa salinan langgaran.

“Kesemua unit set karaoke, monitor dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan melibatkan dua premis tersebut dianggarkan berjumlah RM31,870,” katanya Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan media.


Dua penguatkuasa sedang membuat pemeriksaan di sebuah premis hiburan di Ipoh.

Berikutan itu, katanya, jika sabit kesalahan didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan bagi apa-apa kesalahan yang berikutnya didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, KPDN mengingatkan semua pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan supaya memohon kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelak tindakan tegas mengikut Akta Hak Cipta 1987.


Seorang anggota penguat kuasa KPDN sedang memeriksa tong LPG yang disita.

Sementara itu, jangan simpan LPG tanpa permit. Anda boleh dikenakan tindakan. Begitulah amaran oleh KPDN Negeri Perak.

Intipan selama seminggu membuahkan hasil apabila sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Parit Buntar telah melakukan serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pantai Kuala Kurau, Perak melalui operasi Ops Gasak 2025 pada 18 September 2025.

Serbuan dilaksanakan hasil maklumat risikan Penguat Kuasa KPDN Perak berjaya menjumpai 102 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi 12kg dan 14kg yang disimpan tanpa kebenaran pada jam 9.34 pagi.


Tiga anggota penguat kuasa KPDN memeriksa tong LPG yang disita di sebuah premis di Kuala Kurau, Perak

Kamalludin berkata, pasukan pegawai penguat kuasa KPDN Perak telah mengambil tindakan menyita sejumlah 102 tong LPG bersubsidi, sebuah lori dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan RM31,690.80.

“Pemilik premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit,” katanya dalam kenyataan yang lain.

Kamalludin berkata, pemilik premis boleh dikenakan tindakan iaitu perseorangan/Individu: seseorang, selain dari badan korporat, tetapi tidak termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat, yang melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, tiga tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Anggota penguat kuasa KPDN sedang memunggah tong LPG yang disita dalam Ops Gasak di Kuala Kurau, Perak

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti yang mencurigakan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan melalui aplikasi WhatsApp ke 019-8488000 dan portal [email protected] untuk bersama-sama membanteras aktiviti tersebut. – KitaReporters

14
10
0
6
0
You will be interested