Kumpulan band popular tempatan, Insomniacks, kembali mencuri perhatian peminat dengan sebuah karya yang lebih berani dan emosional menerusi single terbaharu berjudul “Bersuara”
Menariknya, naskhah kali ini menyaksikan kolaborasi sulung mereka bersama artis serba boleh, Yonnyboii, yang membawakan satu dimensi bunyi yang lebih agresif dan emosional berbanding karya-karya mereka sebelum ini.
Lagu ini menandakan satu evolusi penting dalam perjalanan muzik kedua-dua artis, memperlihat bunyi lebih tegas dan mesej yang kuat tentang keberanian menyuarakan perasaan serta mempertahankan harga diri.
“Bersuara” lahir daripada pengalaman peribadi, mengenai rasa terpinggir dan tekanan emosi yang sering dipendam.
“Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama apabila berdepan dengan penindasan atau buli. Ia tentang tahu nilai diri dan berani bersuara,” jelas kumpulan Imsoniacks.

Dari aspek komposisi muzik, "Bersuara" menampilkan perubahan drastik buat Insomniacks yang sebelum ini cukup dikenali dengan identiti lagu balada melankolik.
Kali ini, mereka meneroka sisi bunyi yang lebih 'heavy' dan 'gritty' bagi menyesuaikan dengan mesej lantang yang ingin disampaikan.
Penglibatan Yonnyboii pula dianggap sebagai nadi utama yang menghidupkan lagu ini, di mana beliau menyumbangkan energi mentah melalui penulisan hook yang sangat berkesan.
“Yonny ialah jiwa kepada lagu ini. Dia menulis hook dan membawa satu energi yang mentah dan berani. Dia tambah ‘grittiness’ yang menjadikan ‘Bersuara’ lebih hidup,” jelas Insomniacks.

Bagi Yonnyboii, beliau menyifatkan penglibatannya dalam projek ini sebagai satu bentuk luahan peribadi yang sangat dekat dengan jiwanya.
“Lagu ni terhasil bila saya rasa saya tak didengari sekelompok orang. Jadi saya buat lagu ni sebagai satu keyakinan untuk bersuara tentang apa-apa kesusahan yang saya lalui,” kongsinya.
Beliau turut mendedahkan sisi lain dalam bakat muziknya dengan menampilkan vokal berteraskan rock alternatif, sekali gus lari daripada imej rap yang sering dikaitkan dengannya selama ini.
“Saya sebenarnya lebih lama menjiwai muzik alternatif berbanding rap. Jadi bila masuk ke genre rock ni, saya rasa lebih selesa. Bagi saya, ini ‘fresh start’ untuk kongsi sisi lain diri saya dengan pendengar,” tambahnya.

Proses kolaborasi bersama Insomniacks juga disifatkan sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bebas tekanan.
“Kerja dengan mereka sangat fun. Tak stress langsung. Saya harap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” tambah Yonnyboii.
Pendek kata, secara peribadi “Bersuara” membawa makna yang mendalam buat Yonnyboii.
“Lagu ni tentang meluahkan apa yang kita pendam. Kalau simpan, sakit dia lagi dalam. Jadi bersuara je,” akhirinya jujur.

Bagi kedua-dua artis, “Bersuara” bukan sekadar lagu, tetapi juga medium untuk meluahkan emosi dan memberi impak positif kepada pendengar.
Mereka berharap lagu ini dapat, menjadi ruang selamat untuk meluahkan emosi serta sebagai peringatan tegas terhadap isu buli.
“Kami harap pendengar lebih berani mengekspresikan perasaan mereka dan lepaskan tekanan. Dan paling penting, stop bullying,” tegas mereka. - KitaReporters.