KEJAYAAN Chen Tang Jie–Toh Ee Wei menjuarai Kejohanan Dunia 2025 di Paris bukan sekadar satu gelaran, tetapi simbol kebangkitan mereka daripada fasa penuh kontroversi.

Pasangan itu pernah dilanda episod dramatik apabila berpisah seketika pada Mac 2025 lalu, menyebabkan ramai pemerhati meragui kemampuan mereka untuk kembali digandingkan.
Namun, keputusan disatukan semula dua bulan kemudian membuahkan hasil, membuktikan bahawa kekuatan mental dan keyakinan diri mampu mengatasi perbezaan peribadi.
Ee Wei muncul lebih berani di jaring dengan sentuhan halus dan kawalan tempo yang memerangkap lawan. Tang Jie pula memperkukuh serangan, kurang melakukan kesilapan mudah berbanding sebelumnya.
“Kami tahu ramai meragui, tapi kami percaya masih ada sesuatu yang boleh dibina bersama. Kemenangan ini buktikan pilihan itu tepat,” kata Ee Wei.
Tang Jie pula menyifatkan bahawa perjalanan yang mereka lalui bukan mudah. “Namun apa yang penting, kami belajar untuk saling memahami. Di gelanggang, kami kini lebih bersatu daripada sebelum ini,” katanya.
Jurulatih Nova Widianto jelas menjadi tunjang kebangkitan. Beliau bukan sahaja memberi sentuhan taktikal, tetapi juga mengajar bagaimana mengurus emosi di bawah tekanan.
Kemenangan ke atas gandingan China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin, dalam masa hanya 40 minit dalam aksi final pada Ahad, 31 Ogos 2025 adalah bukti kematangan taktikal mereka di pentas tertinggi dunia.
Ia hadir pada hari sambutan Hari Kebangsaan ke-68, menjadikan gelaran dunia itu sebagai hadiah buat rakyat Malaysia.

Chen Tang Jie (kiri) dan Toh Ee Wei melakar sejarah apabila menjadi wakil pertama negara muncul juara dunia. - Kredit foto: Badminton Photo.
Bekas jaguh badminton negara, Koo Kien Keat berasa bangga dengan prestasi pasangan nombor empat dunia itu.
“Mereka sudah buktikan bahawa kontroversi bukan penghalang. Sebaliknya, ia menjadikan mereka lebih kuat. Apa yang saya kagum, mereka belajar untuk tenang dan konsisten,” katanya.
Pandangan Kien Keat itu menggambarkan dimensi baharu pasangan ini – bukan sahaja hebat dari segi teknikal, malah matang dari sudut emosi.
Corak permainan mereka juga lebih fleksibel, dengan keupayaan bertukar daripada bertahan kepada menyerang dalam tempo pantas.
Ee Wei mengakui bahawa cabaran paling besar bukan sekadar menewaskan lawan, tetapi juga menguruskan perasaan sendiri.
“Saya pernah rasa nak putus asa. Tapi bila fikir balik, saya tak mahu menyesal pada kemudian hari,” ujarnya.
Tang Jie pula menyifatkan pengalaman berpisah seketika sebagai pengajaran berharga.
“Kalau bukan kerana tempoh itu, mungkin kami tak sedar betapa pentingnya komunikasi dan kepercayaan,” kata pemain yang berasal dari Perak itu.
Dari sudut teknikal, Ee Wei semakin mantap mengawal jaring, sementara Tang Jie menambah variasi pukulan dan lebih bijak mengawal rali panjang.
Publisiti negatif yang menghantui pada awal musim berjaya ditukar menjadi motivasi, sesuatu yang menjadi kekuatan pasangan ini berbanding pesaing lain.
Nova menegaskan, apa yang membezakan mereka kali ini ialah fokus pada setiap mata. “Mereka tak fikir jauh. Point demi point. Itu rahsia mereka,” katanya.
Ee Wei juga menekankan pentingnya sokongan peminat membakar semangat mereka untuk muncul juara.
“Ramai yang tak putus-putus beri kata semangat. Walaupun ada yang mengkritik, kami ambil ia sebagai dorongan,” katanya.
Tang Jie menambah dengan nada yakin; “Kami bukan nak buktikan kepada orang lain semata-mata. Kami nak buktikan pada diri sendiri yang kami layak berada di tahap ini.”

Empat pasangan terbaik pada Kejohanan Dunia di Paris bagi edisi 2025. - Kredit foto: IG Goh Ee Wei.
Lebih menarik, mereka kini semakin sukar dibaca lawan kerana sering menukar tempo secara mengejut – strategi yang menjadi senjata utama di Paris.
Mentaliti mereka juga berubah. Jika dahulu mudah hilang fokus apabila ketinggalan, kini mereka lebih tenang untuk bangkit semula dalam situasi getir.
Gelaran dunia ini wajar dianggap sebagai batu loncatan menuju cabaran lebih besar untuk mengekalkan konsistensi menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Malaysia belum pernah melahirkan juara dunia dalam beregu campuran, menjadikan kejayaan ini sebagai lembaran baharu dalam sejarah badminton negara.
Menerusi disiplin, fokus serta kebersamaan yang semakin utuh, Tang Jie–Ee Wei diyakini berpotensi untuk menjadi ikon baharu sukan badminton tanah air.
Apa pun, perjalanan mereka kini menjadi inspirasi: bahawa jatuh bangun, kontroversi, bahkan perpisahan, bukan penghalang untuk bangkit sebagai juara dunia. - KitaReporters

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria antara tokoh yang menjadi pencetus kejayaan Ee Wei-Tang Jie di pentas dunia. - Kredit foto: FB Chen Tang Jie.
Tags: