Seni & Sukan 03 Sep, 2025

Mengenang Dr Rosminah! Teater Cik Ros dipentaskan! Sebagai usaha peringati ketokohan, perjuangan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

PERJUANGAN lebih empat dekad tokoh seni persembahan tersohor tanah air, Dr Rosminah Mohd. Tahir akan dipentaskan dengan judul Cik Ros pada 19-21 September 2025 ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.


Poster teater Cik Ros


Pementasan tersebut adalah salah satu usaha untuk mengenang budi dan ketokohan Rosminah dalam persembahan dan pendidikan seni negara ini agar terus kekal dalam dokumentasi negara.

Menurut Pengarah Projek Cik Ros, Sty Mat Desa, projek ini adalah antara program yang diatur untuk mengangkat tokoh seni Malaysia di persada antarabangsa oleh Abada Global Resources dan CTRA Production.

“Kami mengambil langkah pertama dengan mengetengahkan ketokohan Dr Rosminah kerana beliau sangat rapat dengan kami terutama bekas pelajar di ASK dengan sokongan rakan strategik iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

Menurut beliau, teater berdurasi 90 minit itu akan diarahkan oleh adik Dr Rosminah iaitu Hamzah Tahir yang juga seorang pensyarah dalam bidang seni di UiTM, Shah Alam, manakala penerbitnya ialah Siti Rohayah Attan.


Sty Mat Desa


“Apabila kami mengajukan idea pementasan teater ini maka ramai yang mahu terlibat kerana sanjungan mereka kepada Rosminah. 

"Bagaimana pun ‘syarat utama’ penerbit bahawa yang terlibat wajib pernah bersama dengan Rosminah sebelum ini.

“Maka, kesemua yang terlibat dalam produksi ini pernah bekerja dengan Dr Rosminah dalam banyak persembahan yang dipentaskan di seluruh negara malah ke luar negara,” katanya. 

Pelakon yang terlibat dalam teater Cik Ros ialah Dato’ Tamimi Siregar, Amy Mastura, Liza Abdullah, Dato’ Ziela Jalil, Zaifri Husin, Juhara Ayub, Shahrul Mizad Ashari, Rosli Rahman Adam, Faysal Saad, Zera Hariz, Serra Kamal, Pavy Raj, Lim Mei Fen dan Herman Ghazali.

“Teater ini bersifat biografi, namun pendekatannya berbeza kerana watak Rosminah dalam cerita hanya hidup dalam cerita pelakon -pelakon lain.

“Setiap pelakon akan memegang watak mereka sendiri dan menceritakan pengalaman mereka di bawah arahan Rosmianh termasuk insiden dibaling kasut, diherdik dan sebagainya,” tambah beliau yang pernah menjadi pelajar Rosminah ketika di ASWARA.


ANTARA tenaga kerja produksi dan pelakon yang terlibat dalam teater Cik Ros pada 19-21 September ini di DBP, Kuala Lumpur.


Dr Rosminah Tahir yang berasal dari Muar, Johor adalah antara pelopor penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini digelar ASWARA (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan) telah melahirkan ribuan pelajar ketika menjadi pensyarah dan dekan di institusi seni tersebut.

Beliau juga telah menulis banyak naskhah dan mengarah lebih 60 teater sejak 40 tahun lalu antaranya Muzikal Tun Mahathir, Lantai T. Pinkie, Muzikal Ibu Zain, Di Bawah Lindungan Kaabah, Nyonya, Dara & Makcik Bawang, Diari Wanita, Li Po, Kopi Pangku & Gaun Baju Melayu, Gadis Melayu dan A Modern Women. 

Dalam teater ini terdapat dua lagu baharu khusus untuk Allahyarham iaitu Hening (lagu oleh Faizal Fauzi manakala lirik oleh Sitiroy Tan) dan lagu Ros Yang Menawan ciptaan Asry Hassan manakala lirik oleh Ezee Klasik.

Dr Rosminah menghembuskan nafasnya pada 19 Mei 2024 pada usia 65 tahun di kediamannya di Kuala Lumpur. - KitaReporters/Kenyataan Media

24
9
0
17
0
You will be interested