Jalinan seni antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, kembali diperkukuh melalui bahasa muzik apabila ikon tersohor, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, tampil berduet dengan diva dangdut popular Indonesia, Lesti Kejora, 26, dalam single terbaharu berjudul ‘Kumbang Bunga’.
Kolaborasi yang dinantikan ramai ini bukan sekadar duet, tetapi melambangkan persahabatan serta keharmonian nusantara, disajikan melalui sebuah karya berkonsepkan tradisional kontemporari.
Lagu 'Kumbang Bunga', ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, merupakan single pertama daripada album tradisional terbaharu Siti Nurhaliza malah membawa makna signifikan sebagai gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri dalam garapan kontemporari tradisional.
Penggabungan irama ini bertujuan menyantuni peminat muzik dari pelbagai lapisan usia, merentasi generasi, serta menarik minat golongan muda untuk terus mendekati muzik berteraskan warisan.

Menurut Siti atau lebih mesra disapa Tok Ti, idea untuk berduet dengan Lesti telah lama dirancang malah selepas tertarik dengan melodi 'Kumbang Bunga' sebaik pertama kali mendengarnya, beliau terus mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan latar muzik Lesti, turut dimasukkan ke dalam gubahan lagu ini.
“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” ujar Siti.
Tambah beliau, muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.
“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” jelasnya lagi.

Kenyataan itu turut disambut baik oleh Lesti yang menganggap muzik sebagai medium yang mampu menyatukan dan menghargai perbezaan dengan penuh hormat.
“Saya berterima kasih kepada Dato’ Seri Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” kata Lesti atau pemilik nama sebenarnya, Lestiani Andriyani ini.
Sementara itu, di sebalik tabir penciptaan, komposer Firdaus Rahmat mendedahkan bahawa proses menyiapkan 'Kumbang Bunga' mengambil masa kira-kira dua hari sahaja.
“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” ujar Firdaus mengenai hasil kerjasamanya dengan Iqie Hugh itu.
'Kumbang Bunga' yang diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd, kini boleh didapati dalam semua pelantar digital
Video muzik rasmi pula memperlihat keindahan kolaborasi dua suara besar nusantara dalam satu karya yang penuh makna. - KitaReporters
