Seni & Sukan 01 Jun, 2024

Gila Hindustan| Babita robohkan tembok keluarga Kapoor! Benarkan anak-anak perempuannya berlakon!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Nama hebat dalam keluarga Kapoor. Dari kiri: Raj Kapoor, Prithviraj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor.


DALAM Keluarga Kapoor, nama besar dalam industri filem Bollywood, peraturan tetap keluarga ialah anak perempuan tidak dibenar sama sekali menceburkan diri dalam perfileman jika sekali pun berbakat besar.

Bukan setakat itu, peraturan ini juga terpakai kepada pelakon wanita yang berkahwin dengan ahli keluarga Kapoor. Mahu tidak mahu mereka mesti berundur daripada filem dan menjadi suri rumah  sepenuh masa.

Keluarga Kapoor adalah nama besar dalam industri filem Bollywood. Daripada ketua keluarga, Prithviraj Kapoor (1906-1972) yang bermula dari teater ke filem, keluarga itu melahirkan bintang ternama yang mewarnai dunia filem Bollywood.

Mereka adalah rangkaian tiga beradik anak kepada Prithviraj, iaitu Raj Kapoor (1924-1988), Shammi Kapoor (1931-2011) dan Shashi Kapoor (1938-2017). 

Mereka merupakan bintang ternama yang menguasai layar perak sejak tahun 50-an, seiring dengan bintang lain seperti Dev Anand, Biswajit, Rajendra Kumar dan lain-lain.


Shashi Kapoor dan Babita dalam 'Hasina Maan Jayegi'.


Peminat filem Hindi tentu masih ingat dengan ‘Awara’, ‘Sangam’ dan ‘Mera Naam Joker’ antara filem hebat lakonan Raj Kapoor. Juga tentu ingat dengan ‘An Evening in Paris’, ‘Andaz’ dan ‘Brahmachari’ lakonan Shammi Kapoor. Begitu juga ‘Kanyaadan’, ‘Pyar Ka Mausam’, ‘Trishul’ dan ‘Kabhi-Kabhie’  lakonan Shashi Kapoor.

Ini sekadar menyebut beberapa buah filem lakonan ketiga-tiga beradik Kapoor. Beratus-ratus filem mereka bintangi selama mengabdikan diri dalam perfileman. Malah Raj Kapoor memiliki studio perfileman sendiri, RK Studio.

Menyambung tradisi keluarga Kapoor ini ialah anak-anak Raj Kapoor, iaitu Randhir Kapoor dan Rishi Kapoor (1952-2020). Ingat ‘Bobby’ pasti ingat kepada Rishi, filem yang mengangkat namanya bersama Dimple Kapadia. Selain itu banyak lagi filem lakonannya.

Bagaimana pun anak-anak Shami Kapoor atau Shashi Kapoor tidak menonjol sebagai bintang. Anak Shammi, iaitu Aditya pernah berlakon tetapi lebih popular sebagai produser filem, penulis dan ahli perniagaan. Anak Shashi Kapoor pernah mencuba nasib melalui ‘Ahista-Ahista’ tetapi gagal mencipta nama.


Pelbagai sudut wajah jelita Babita ketika berada di puncak kerjaya di Bollywood.


Kehebatan keluarga Kapoor menyebabkan ramai pelakon wanita ingin menjadi ahli keluarga disegani itu. Namun yang berjaya ialah bintang jelita Babita, 77, yang berkahwin dengan Randhir Kapoor, 77, pada 1971. Mereka jatuh cinta dalam set penggambaran filem ‘Kal Aaj Aur Kal’ pada tahun sama.

Seorang lagi ialah aktres Neetu Singh yang berkahwin dengan Rishi Kapoor pada 1980. Mereka berkahwin walaupun Rishi dikaitkan dengan Dimple Kapadia setelah kejayaan besar ‘Bobby’. Dimple berkahwin dengan Rajesh Khanna.

Namun peraturan tetap peraturan yang mesti dipatuhi. Sebaik menjadi keluarga Kapoor, Babita dan Neetu Singh terpaksa berundur daripada kilauan lampu Bollywood walaupun ketika itu mereka berada di puncak kehebatan sebagai bintang filem.

Semua patuh kepada peraturan keluarga Kapoor yang diamalkan sejak zaman berzaman sehinggalah Babita bertindak mengubah tradisi ini. Dia adalah individu yang berani melanggar peraturan ini dengan menggalakkan dua anak perempuannya, Karishma Kapoor, 49, dan Kareena Kapoor, 43, menjadi bintang filem.

Bintang antaranya ‘Farz’, ‘Hasina Maan Jayegi’, ‘Ek Shriman Ek Shrimati’, ‘Tumse Acha Kaun Hai’, ‘Pehchan’,Anjaana’ itu melihat anak-anaknya mempunyai bakat besar dalam lakonan dan tidak harus disia-siakan begitu sahaja. Dia tidak mahu anak-anaknya terkongkong dengan peraturan keluarga Kapoor yang menyebabkan dia sendiri berundur daripada filem ketika namanya disanjung.


Perkahwinan Randhir Kapoor dan Babita pada 1971.


Kerana itu Babita nekad merobohkan tembuk halangan yang dianggap ketinggalan zaman. Dia tidak mahu peraturan tersebut mengekang bakat anak-anaknya walaupun mendapat tentangan suaminya sendiri, Randhir, yang mahu tradisi keluarga Kapoor dipertahan. Namun dia tetap bertegas.

Ternyata percaturan Babita membuahkan kejayaan. Karishma dan Kareena muncul antara bintang hebat di Bollywood. Secara tidak langung kehadiran mereka menyemarakkan nama keluarga Kapoor yang dilihat tidak lagi sehebat ketika era 60-an hingga 90-an.

Antara filem lakonan Karishma ialah ‘Murder Mubarak, ‘Raja Hindustani’, ‘Dil To Pagal Hai’, ‘Hum Saath Saath Hain’, ‘Jeet’, ‘Raju Babu’, Dulhan Hum Le Jayange’ ‘Biwi No 1’ dan banyak lagi.

Filem lakonan Kareena, isteri aktor Saif Ali Khan, antara lain ialah ‘Crew’, ‘Jab We Met’, ‘Asoka’, ‘Kabhi Khusi Kabhie Gam’, ‘3 Idiots’, ‘Bajrangi Bhaijaan'.

Banyak daripada filem yang mereka bintangi adalah filem pecah panggung yang menempatkan Karishma dan Kareena di persada Bollywood. 

Semua ini adalah berkat keberanian ibu mereka menentang peraturan Keluarga Kapoor. Jika tidak mungkin Karishma dan Kareena kini hanyalah suri rumah sepenuh masa. - KitaReporters


Randhir Kapoor dan Babita bersama anak mereka, Karishma Kapoor (kiri) dan Kareena Kapoor. 

 

 

10
15
0
11
0
You will be interested