Seni & Sukan 21 May, 2024

Video| Apa lagi yang M Nasir mahu Cipta daripada yang dah tercipta? Tunggu 10 Ogos! Konsert Cipta!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


M. Nasir bersama Iman Tang daripada Icon Entertaiment.


Pelbagai gelaran diberikan kepadanya, 'sifu' lah, 'maestro' lah malah ada kata beliau adalah ‘otak’ dan ‘arkitek’ waima karya ciptaannya adalah satu seni yang berkualiti tinggi kepada industri muzik tempatan.

Beliau adalah ikon negara malah dikenali seantero Nusantara. Begitulah penangan figura bernama sebenar Mohamad Nasir Mohamed atau Dato M. Nasir ini. Dalam usia 66 tahun, penangan M. Nasir masih berbisa. 

Setiap karya yang diciptanya jarang sekali tidak meledak saat dipasarkan baik yang dibikin untuk penyanyi solo lelaki dan wanita, juga kugiran rock mahupun mengusung genre pop dan balada serta lagu bernuansa nusantara buat dirinya sendiri sekali pun.

“Beliau adalah ikon muzik dan kerana itulah Icon Entertertainment memilih beliau untuk konsert berjudul ‘Cipta’ pada 10 Ogos 2024 depan bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil,” ujar penganjurnya, Iman Tang dari Icon Entertainment pada majlis sidang media Konsert Dato M. N45ir - Cipta’ yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion KL pada Isnin, 20 Mei 2024 lalu.

Tidak hairanlah lebih daripada 100 media terdiri daripada wartawan akhbar, elektronik, blogger mahu pun pempengaruh media sosial hadir pada majlis tersebut.



“Icon Entertainment sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan sifu M. Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitan beliau dalam industri seni Nusantara.

"Tapi menerusi inilah pentas yang akan menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativiti daripada seorang karyawan seni ditumpahkan lalu menjadi persembahan visual dan audio yang tidak akan pernah dilupakan,” Iman Tang membayangkan.


Raden (kiri) dari radio EraFM bertindak sebagai pengacara pada sidang akhbar konsert, bersama M. Nasir dan Iman Tang di Dadi Cinema, Pavilion KL baru-baru ini.


Tambah beliau, menerusi konsert tersebut, peminat akan masuk ke dalam dunia penciptaan  M. Nasir yang telah melahirkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi ratusan pemuzik serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya.

“Melalui konsert ini, sifu M Nasir akan mempersembahkan karya-karya yang telah dicipta dalam sebuah bentuk persembahan yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” ujar Iman Tang.



Terdahulu sebuah filem pendek membabitkan lakonan M. Nasir dan pelakon/penyair yang dikenali ramai, Pyan Habib dipersembah kepada khalayak yang memperlihat cetakan poster hitam putih menampilkan wajah 'M Nasir'  seolah diburu bertulis ‘Dikehendaki 45 Tahun' .

Ia ala-ala macam poster dicetak oleh polis kala memburu penjenayah gitu,.. tetapi itu hanyalah gimik waima M, Nasir pun sendiri berkata “Nak jual tiket pun kena buat macam ini ya?” disusuli gelak tawa ramai yang mendengat kata spontannya itu.

Itulah M Nasir seorang yang jujur malah siapa yang tidak mengenalinya tentu bimbang dan ‘takut’ dengan jawapannya yang kadangkala tiada kaitan dengan soalan tetapi ada makna di sebaliknya.

Contoh soalan ditanya: Kenapa Dato digambarkan seperti meneropong sesuatu? 

“Wartawan hiburan pun kan suka teropong artis,” jawab M. Nasir sekali lagi menimbulkan gelak ketawa hadirin.




Apapun yang pasti, tolak ke tepi kelucuan di sebalik jawapannya kerana di sebalik itu M. Nasir yang nampak serius tetap mesra dan mudah didekati dengan apa jua persoalan ditujukan kepadanya. 

Sebagai seniman sejati M Nasir tidak pernah menjanjikan sesuatu yang berlebihan atau menjual jenamanya secara ‘kosong’.

Sebaliknya seniman ini hanya mahu peminat hadir menikmati Konsert Dato' M N45ir - Cipta dengan cara masing-masing lalu pulang senang hati kerana telah mendapat sebuah lagi persembahan visual, audio dan santapan jiwa sesuai cita rasa.

Di bawah bumbung yang sama, irama dan lagu mengalir masuk ke hati sanubari masing-masing dalam lingkaran kenangan terdahulu yang akan menambahkan momen masa hadapan. 



Tidak syak lagi hanya yang berjiwa seni memahami orang seni seperti M. Nasir. Nampak serius, tidak banyak berbicara namun kata-katanya tersirat lagi tersurat waima judul konsert ‘Cipta’ sudah cukup melambangkan keseluruhan seorang figura seni bernama M. Nasir.

Untuk dirinya yang digelar meastro, M. Nasir sentiasa mencipta karya-karya hebat, luar biasa dan malar segar sehingga meraih pelbagai pencapaian dalam belantika muzik.

Maka dengan itu apabila Cipta dipilih sebagai konsert julung kali dari M. Nasir yang diadakan tahun ini, ia merangkumi semua justifikasi maksud ciptaan itu sendiri.

Jadi sudahkan jiwa-jiwa anda bersedia untuk terus meraikan 'Ciptaan' sifu kesayangan anda ini melalui konsert berskala besar yang bakal diserikan dengan visual, repoirtaire lagu, susunan muzik sekali gus menyaksikan  penyanyinya sendiri, M, Nasir yang sentiasa dihormati segenap usia dan golongan pencinta hiburan ini?

Jika sudah, mari kita bersama-sama berpakaian tradisional mengikut tema dan berkumpul di bawah bumbung Axiata Arena pada  10 Ogos 2024 nanti untuk mencipta satu lagi sejarah terCipta bagi Dato M. Nasir dan penggemar melodi, muzik dan lirik-liriknya. 

Tempahan tiket akan mula dijual pada 27 Mei 2024 ini mulai jam 11 pagi, melalui dalam talian dalam plattform www.ticket2u.com.my - KitaReporters


16
15
0
8
0
You will be interested