
Pasukan Malaysia sekali lagi berjaya menempa sejarah dan mengharumkan nama negara dalam kejohanan bertaraf dunia.
Tahniah kepada pasukan NemesisX Assassins dari Pulau Pinang yang telah berjaya menjadi Johan dan menobatkan nama Malaysia pada Kejohanan Terbuka FLL Asia Pasifik 2025.
FLL merujuk kepada First Lego League (Liga Lego FIRST atau FLL), manakala FIRST bermakna For Inspiration and Recognition of Science and Technology (Untuk Inspirasi dan Pengiktirafan Sains dan Teknologi).

Kejohanan berprestij tersebut telah diadakan dari 3 hingga 6 Julai 2025 di Universiti Macquarie, Australia dengan penyertaan 59 pasukan dari 22 buah negara.
Selain Malaysia dan Australia turut serta dalam kejohanan tersebut ialah Amerika Syarikat, Brazil, Jerman, Sepanyol,Switzerland, China, Greece, Jepun, New Zealand, Mexico, Hong Kong, Korea Selatan, Afrika Selatan, Romania, Norway, Turki, Taiwan, Honduras, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pasukan negara juga mendapat kemenangan berganda apabila mereka telah berjaya mendapat tempat kedua dalam kategori persembahan robot terbaik.
NemesisX Assassins sebelum ini terpilih mewakili negara setelah mereka berjaya meraih tempat ketiga dalam kejohanan peringkat kebangsaan FLL 2024. - KitaReporters
