
ABDUL Halim Kader (enam dari kiri) bersalaman dengan Mohd. Sumali Reduan sambil diperhatikan oleh para pegawai PSM dan Istaf selepas majlis undian rasmi peringkat kumpulan Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 di WTC. - Kredit foto: PSM
HANYA acara beregu yang menemukan Malaysia dengan musuh tradisi, Thailand lebih awal pada peringkat Kumpulan B Piala Asia Sepak Takraw Astaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 10 hingga 18 Mei 2025 ini.
Pertembungan
ini mungkin menyulitkan sasaran juara atau ke perlawanan akhir yang diletakkan oleh Datuk
Mohd. Sumali Reduan buat skuad negara sekiranya Si Gajah Putih yang memintas
tuan rumah untuk memenangi kumpulan ini.
“Sasarannya sudah pasti ke final keempat-empat acara (kuadran, beregu, regu dan berpasukan).
“Bagi regu dan beregu pastinya juara seperti mana ketika Piala Dunia Istaf Kuala Lumpur 2024 di stadium sama di hadapan penyokong sendiri,” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ini dalam sidang media selepas majlis undian rasmi Piala Asia 2025.

TIGA versi logo Piala Asia Sepak Takraw Astaf Kuala Lumpurr 2025 dengan gambaran grafik trofinya yang akan dilancarkan secara rasmi tanggal 9 Mei 2025 ini oleh Hannah Yeoh. - Kredit foto: PSM
Majlis undian rasminya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 21 April 2025, turut meletakkan dua pasukan kerdil yang dijangka mudah dilepasi tuan rumah apatah lagi Thailand iaitu Taiwan dan Nepal dalam Kumpulan B.
Keputusan undian juga jelas membayangkan pasukan kita di bawah pengurusan Datuk Abu Jimi Samat, tidak bermasalah besar untuk ke separuh akhir kuadran dan suku akhir regu masing-masing selaku juara Kumpulan B dan D.
Walau bagaimanapun Korea Selatan yang sesekali liat untuk diatasi, mungkin menyulitkan laluan separuh akhir tuan rumah sebagai juara Kumpulan B berpasukan sambil Brunei kendalian bekas jurulatih negara, Abd. Talib Ahmad dijangka agak berbisa.
Namun Indonesia, pemenang pingat emas beregu Sukan SEA Vietnam 2022 dan Kemboja 2023 mungkin menanti pada separuh akhir dan disebut-sebut sebagai pilihan utama juara Kumpulan A berbanding India dan Brunei.
Malah Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi disekat oleh gandingan Thailand, Phutawan Sopa (Thawisak Thongsai)/Rachan Viphan 9-15, 17-15, 15-17 dalam separuh akhir beregu Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada 23 Mac 2025 lalu.
Mujur juga Myanmar yang mengejutkan Si Gajah Putih 10-15, 15-7, 15-9 untuk menjuarai Kumpulan B di Bihar sebelum dikerah berpuas hati selaku naib juara (kalah 15-9, 15-17, 13-15), terpaksa menarik diri daripada Piala Asia ini akibat bencana gempa bumi yang melanda negaranya.

Tahap persediaan pemain-pemain kebangsaan di kem latihan pusat di Bukit Jalil sudah mencapai 80 hingga 90 peratus selepas pascanilai prestasi pasukan termasuk gagal ke suku akhir kuadran di Bihar dijalankan, kata Sumali.
“Kami tumpukan pemain khusus kepada acara-acara yang disertai mereka pada Piala Asia dan terus berikan tanggungjawab itu untuk dilaksanakan dalam masa sebulan dengan strategi ke arah mencapai sasarannya diatur bersama barisan jurulatih,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pengelola Piala Asia memberitahu, “bantahan video (video challenge) yang dikekalkan untuk pasukan berjaya dan berkurangan bagi pasukan yang gagal, akan dikuatkuasakan dalam kejohanan sembilan hari ini.”
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader pula berkata: “Selain menerima saranan PSM itu, Astaf dan Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) akan membenarkan pengadil menggunakan semakan video hanya sekali sekiranya ragu-ragu dalam membuat keputusannya.
“Kebenaran ini diputuskan pada mesyuarat teknikal dan eksekutif Istaf di Bihar pada 25 Mac 2025 lalu. Kalau berjalan lancar dan positif, Istaf akan teruskannya ke Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand di Korat (20-27 Julai 2025) dan Sukan SEA di Nakhon Pathom (7-19 Disember 2025),” kata Setiausaha Agung Istaf ini.
Majlis pembukaan rasmi Piala Asia Astaf menurut Sumali ditetapkan pada 9 Mei 2025 di WTC serentak dengan pelancaran trofinya yang turut akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta dihadiri semua pasukan bertanding, para pengadil dan pegawai teknikal antarabangsa. - KitaReporteres

ABU Jimi Samat (kanan), Naib Presiden PSM yang juga pengurus pasukan negara bergambar di depan carta keputusan undian berpasukan, acara kemuncak Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025, bersama-sama (dari kiri), Abdul Halim Kader, Setiausaha Agung PSM - Datuk Abidullah Salleh dan Timbalan Setiausaha Agung Istaf - Muhammad Taufiq Abdul Halim. - Kredit foto: PSM
KEPUTUSAN UNDIAN PERINGKAT KUMPULAN PIALA ASIA ASTAF 2025
Kuadran
Kumpulan
A: Vietnam, Singapura, Korea Selatan, Pakistan
Kumpulan
B: Filipina, Jepun, China, MALAYSIA
Beregu
Kumpulan
A: Indonesia, India, Brunei
Kumpulan
B: Thailand, Taiwan, Nepal, MALAYSIA
Regu
Kumpulan
A: Taiwan, India, Brunei
Kumpulan
B: Indonesia, Korea Selatan, Thailand
Kumpulan
C: Vietnam, China, Pakistan, Jepun
Kumpulan
D: Filipina, Nepal, MALAYSIA, Singapura
Berpasukan
Kumpulan A: Thailand, China, India, Singapura
Kumpulan B: Korea Selatan, Brunei, MALAYSIA, Jepun
* Dua pasukan teratas kumpulan akan ke separuh akhir kuadran, beregu dan berpasukan serta bertemu lawan secara bersilangan, manakala regu, dua pasukan teratas ke suku akhir terlebih dahulu mengikut carta kalah singkir yang telah ditetapkan.

KEPUTUSAN lengkap majlis undian rasmi peringkat kumpulan Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 di WTC. - Kredit foto: PSM