.

Awie (tiga dari kanan) meninjau persialan konsert yang akan berlangsung di Kompleks Sukan EduCity, Johor pada 5 Julai ini.
“Walau apa pun yang berlaku, kami tetap akan gegarkan Kompleks Sukan EduCity seperti yang dijanjikan. Insya-Allah… Jangan percaya cakap-cakap kosong. Jumpa kami di Rockology, 5 Julai 2025 nanti – bawa semangat rock tu sekali, kita nyanyi sama-sama,” tegas penyanyi rock legenda tanah air, Dato’ Awie, ketika mengulas spekulasi yang mendakwa konsert Rockology 2025 di Johor bakal dibatalkan.
Kenyataan tersebut hadir sebagai maklum balas kepada khabar angin yang tersebar luas dalam media sosial sejak beberapa hari lalu, yang menyatakan konsert edisi Johor akan dihentikan atas sebab-sebab tertentu.
“Saya rasa ramai yang tak sabar nak hidupkan malam rock itu dan nak kembalikan nostalgia 80-an dan 90-an di Johor bersama kami nanti," tambah pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 56, ini..

Eddy Amir Salim (tengah) bersama Awie (kiri) meninjau persiapan konsert bagi memastikan ia berjalan lancar nanti.
Menjawab perkara itu, penganjur Rockology Concert Tour 2025, RPM Events Sdn. Bhd., tampil menafikan dakwaan berkenaan dan memberi jaminan bahawa konsert akan diteruskan seperti yang telah dirancang.
Pengarahnya, Dato’ Eddy Amir Salim memberitahu, persiapan bagi penganjuran konsert berprestij itu sedang berjalan lancar.
"Kerja-kerja akhir melibatkan aspek teknikal dan keselamatan giat dijalankan bagi memastikan malam konsert pada 5 Julai 2025 di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, berlangsung dalam keadaan terkawal dan profesional,” jelasnya.
Konsert Rockology 2025 menampilkan gabungan dua ikon rock tanah air -- Awie dan Search yang diwakili oleh Kid (Hamzah Taib) dan Din (Noordin Taib) -- dalam satu persembahan eksklusif yang disifatkan sebagai antara yang paling dinanti-nantikan peminat genre tersebut.
Persembahan ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghormatan kepada era kegemilangan muzik rock tanah air yang memuncak pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Eddy Amir menjelaskan bahawa Rockology bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya ia adalah satu usaha untuk menyemarakkan kembali semangat muzik rock yang pernah menguasai industri muzik negara.

Awie bersama Kid dan Din (kanan).
“Rockology adalah gerakan untuk menghidupkan semula semangat rock sejati. Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert yang luar biasa kepada semua peminat. Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan daripada peminat, para penaja serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konsert ini,” ujar beliau.
Sebagai menghargai sokongan para peminat, pihak penganjur turut memperkenal promosi eksklusif “Beli 5, Percuma 1” untuk semua kategori tiket. Tawaran ini hanya sah untuk pembelian dalam satu transaksi dan tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Di samping itu, pemegang tiket juga berpeluang dipilih secara rawak untuk memenangi pendrive edisi khas yang mengandungi rakaman eksklusif sesi latihan Rockology bersama Dato’ Awie dan Search Kid Din -- satu kenangan istimewa buat peminat tegar.

Orang ramai digalakkan untuk mengikuti saluran media sosial rasmi RPM Events bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert dan pengumuman lain yang berkaitan.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pihak penganjur boleh dihubungi menerusi e-mel rasmi mereka di rpmerah@gmail.com.
Rockology Concert Tour 2025 di Johor dijangka menjadi malam penuh semangat, kenangan dan ledakan nostalgia buat para peminat rock tanah air -- satu malam yang sukar dilupakan dan wajar diraikan bersama. - KitaReporters

Gambar kenangan... team penganjur diketua Eddy bersama Awie, Kid dan Din.