Seni & Sukan 23 Feb, 2025

Chen beradik terbaik kebangsaan! Triatlon Asia Putrajaya 2025! Juara kejohanan milik Max dan Isla!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 dan Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

BENJAMIN John Chen melepasi garisan penamat sebagai juara Kejohanan Kebangsaan ATC Putrajaya 2025. - Kredit foto: VE Picture


DUA bersaudara Chen, Benjamin John Chen dan Esther Joy Chen pasti membanggakan keluarga mereka pada 22 Februari 2025 lalu. Mereka bergelar juara triatlon kebangsaan dengan si kakak, Esther mempertahan gelaran wanita sementara sang adik melonjak dari tempat ketiga, 2024.

Masing-masing menamatkan perlumbaan Piala Triatlon Asia (ATC) Putrajaya 2025 di Kompleks Sukan Air Putrajaya di posisi ke-43 dan 22 secara keseluruhan namun mengungguli Kejohanan Kebangsaan yang turut dilangsungkan serentak.

ATC Putrajaya menggabungkan tiga disiplin iaitu renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian 5 kilometer.

Benjamin muncul pelumba lelaki tempatan terpantas dalam saingan melibatkan 65 atlet dengan catatan sejam 1.50 saat manakala Esther yang di anak tangga ke-22 dalam kalangan 46 peserta, merakamkan 1:05:35.

“Kakak sentiasa menjadi inspirasi saya. Selama ini, dia sentiasa di kedudukan teratas tetapi saya langsung tidak pernah.

“Saya sentiasa mahu jadi sepertinya satu hari nanti. Jadi, apabila saya berjaya berdiri di podium seperti kakak, perasaannya memang hebat,” katanya.

Benjamin walau bagaimanapun tidak menyangka detik gemilang idamannya itu tiba pada ATC Putrajaya. Saya memberikan segala yang ada dan mengharapnya memadai. Saya telah bertungkus lumus dalam latihan setiap hari, ujarnya.


ESTHER Joy Chen memecut sekuat hati untuk muncul peserta tempatan teratas ATC Putrajaya 2025. - Kredit foto: VE Picture 


Ulas Esther: “(Kejayaan) ini langkah kanan saya bagi 2025 dan petanda baik dalam persiapan saya layak ke Sukan SEA Thailand  (9-20 Disember 2025).

"Harapan saya ialah layak ke Sukan SEA. Saya ingin membawa pulang pingat triatlon buat negara kerana sudah sekian lama kita tidak mengecapinya (dalam temasya serantau dwitahunan itu). Pasti ini satu pencapaian yang hebat,” katanya.

"Saya merasakan saya telah banyak maju kerana tidak lagi perlu bergantung kepada kemampuan larian dalam perlumbaan.

“Saya kini juga dapat berenang dengan bagus dan dengan peningkatan kekuatan saya dalam rutin itu, segalanya menjadi lebih baik kelak,” katanya.


MAX Studer dari Switzerland menayangkan sepanduk ATC Putrajaya ketika meraikan kejayaan menjuarai kategori lelaki elit. - Kredit foto: VE Picture


Sementara itu, rezeki penampilan sulung ATC Putrajaya ternyata menyebelahi Max Studer dari Switzerland dan Isla Britton dari Kanada yang menjuarai kategori elit lelaki dan wanita keseluruhan.

Studer, 29, menjuarainya dengan catatan 52 minit 23 saat, sementara Britton merakamkan sejam seminit 52 saat untuk memenangi saingan dramatik sehingga ke garisan penamat dengan naib juara, Mako Hiraizumi dari Jepun, sejam seminit 56 saat.

“Ini pertandingan pertama saya sejak kecewa pada Sukan Olimpik Paris 2024 lalu (di tempat ke-40 berbanding kesembilan di Tokyo 2021).

“Penampilan sulung yang cukup menggembirakan malah penting sebagai petanda peningkatan kecergasan dan kelajuan saya,” katanya yang menyertai perlumbaan ini hasil makluman teman wanitanya, Alanis Stiffert – pemenang tempat ketiga edisi 2024.

“Kemampuan larian menjadi kunci utama kemenangan saya,” kata Britton.

“Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan saya begitu terpesona dengan keindahannya dan menikmatinya. Saya pasti kembali pada tahun akan datang,” tambahnya.


ISLA Britton dari Kanada menjulang sepanduk ATC Putrajaya ketika meraikan kejayaan menjuarai kategori wanita elit. - Kredit foto: VE Picture

10
10
0
14
0
You will be interested