Ramai yang mahu menjadi klon Seniman Agung Tan Sri P Ramlee sehingga cuba meniru bukan sahaja cara nyanyian dan lakonannya, malah segala gaya personalitinya.
Ketika pada awal kematian P Ramlee, untuk beberapa tahun sehingga 1980-an, muncul penyanyi bernama Kahar Hamid yang mempunyai sosok tubuh, gaya dan suara seperti Seniman Agung itu.
Sehingga anak P Ramlee, Nasir dalam satu program TV pernah mengakui Kahar yang juga berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai iras paling hampir dengan Seniman Agung itu. Keirasan itu membuat Kahar sering diundang menyanyi sebagai klon P Ramlee.
Selepas itu tidak ada insan seni lain yang mampu menjadi klon P Ramlee.
Pelbagai pertandingan dianjur bertema ‘nyanyi seperti P Ramlee. Antaranya dianjur oleh kerajaan negeri Sarawak dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sendiri. Ramai penyanyi ‘jelmaan’ P Ramlee cuba ditonjol melalui pertandingan-pertandingan itu.
Namun Fairuz Misran dari Papar, Sabah yang juara Bintang P Ramlee anjuran RTM pada 2010 dianggap mempunyai klon yang paling hampir dengan personaliti Seniman Agung itu.
Ini menyebabkan Fairuz mendapat rezeki dengan banyak mendapat undangan menyanyi termasuk muncul dalam media elektronik dan media sosial.
Selain menyanyi dan berlakon, segala personaliti Seniman Agung itu cuba ditirunya seperti cara bercakap, berpakaian dan segalanya.
Ia membuat Fairuz menjadi peserta Bintang P Ramlee yang paling berjaya. Mendapat banyak undangan nyanyian di Semenanjung membuat Fairuz terpaksa berulang alik dari Wilayah Persekutuan Labuan iaitu tempat kelahiran isterinya.
Fairuz turut aktif dalam media sosial seperti TikTok dan Instagram dan banyak memuat naik video menyanyi di dalamnya.
Kerana popular sebagai klon P Ramlee, terdapat rumah produksi (production house) membuat rakaman lagu. Fairuz berpeluang membuat ‘single’ empat lagu dari 2019 hingga 2022 iaitu ‘Indahnya Raya’, ‘Ikatan Asmara’, ‘Untukmu’ dan ‘Bak Zaman’.
Kesemua lagu mempunyai pengaruh era 50-an dan awal 60-an.
Melalui lagu ‘Ikatan Asmara’ dan ‘Bak Zaman’, Fairuz dan Baby Shima dilihat menjadi pesangan duet yang sesuai.
Kedua-duanya mempunyai perancangan dalam waktu terdekat untuk merakam dua lagu. Sebuah ciptaan Fairuz dan sebuah lagi lagu ciptaan P Ramlee, ‘Ya Habibi Ali Baba’ dari filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’.
Baby Shima dan Fairuz kali terakhir bertemu pada sambutan Aidilfitri 2023 yang lalu dan jangkaannya akan bertemu tidak lama lagi untuk latihan dan rakaman lagu.
Namun impian tidak kesampaian. Fairuz, 38, mengadap Ilahi pada Jumaat, 8 September 2023 di Hospital Licious Labuan jam 1.30 tengah hari. Berita kematiannya dikongsi oleh kaum keluarganya melalui akaun Facebook.
Fairuz meninggalkan isteri tanpa anak. Kematiannya dalam usia 38 tahun dianggap masih muda. P Ramlee juga meninggal dalam usia muda iaitu 44 tahun.
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, begitu juga Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. - KitaReporters