Kredit foto: FB Kuala Kangsar FC
PERMULAANNYA sudah cantik namun ketika sepak mula Liga M3 2021 belum pun berlangsung, Kelab Bola Sepak Kuala Kangsar (KKFC) sudah mula berantakan apabila dua pihak yang sebelum ini ‘bercium mulut’ saling berbalas kenyataan.
Bermula dengan kenyataan Pengarah Urusan Yayasan Hadi, Datuk Mohamed Hadi Putera Halim yang mengumumkan penarikan sokongan penajaan ke atas kelab itu, ia disambut pula oleh kenyataan balas KKFC.
Menurut laporan Harian Metro Online (Ahad, 11 Julai, 2021) Hadi atau lebih dikenali dalam bidang lakonan sebagai Adi Putera, keputusan itu dibuat kerana mendakwa berlaku penyalahgunaan dokumen yayasan berkenaan oleh pengurus kelab bola terbabit, Datuk Shaharol Asafali.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Faiz Subri (dua dari kiri) diperkenalkan sebagai pemain KKFC pada satu majlis yang turut dihadiri Adi Putera (dua dari kanan) selaku penaja dan pengurus pasukan, Shaharol (kanan) pada Mac 2021 lalu. - Foto: FB PBDKK
Pemalsuan itu didakwa berhubung dua surat tawaran ditandatangani Shaharol menggunakan kepala surat Yayasan Hadi, sekali gus mewakili yayasan tersebut bagi projek membaik pulih Surau Al Fallah USJ 10 Subang Jaya, Selangor serta projek membekalkan komputer riba.
"Saya, pengarah lain, dan pihak Yayasan Hadi tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan dengan pengeluaran (dua) surat ini kepada syarikat yang berkenaan serta tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan tawaran projek seperti yang dinyatakan dalam surat,” kata Adi dalam laporan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, selain Shaharol terdapat beberapa lagi nama individu yang dipetik sebagai turut bersubahat dalam perkara itu. Ekoran itu, laporan polis dibuat Balai Polis Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Pada Mac 2021 lalu, Yayasan Hadi diumumkan sebagai penaja utama KKFC sambil Adi turut dilantik sebagai duta pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga M3 2021.
Yayasan Hadi melalui Adi Putera 'memeterai' perjanjian menaja KKFC untuk Liga M3 musim 2021. Walau bagaimanapun KKFC mendakwa tiada perjanjian hitam putih antara kedua-dua pihak. - Kredit foto: FB PBDKK
Sementara itu KKFC dalam kenyataannya mendakwa isu penarikan diri Yayasan Hadi sebagai penaja tidak timbul kerana kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang perjanjian secara hitam putih sebaliknya hanya persetujuan lisan.
Malah, kelab itu mendakwa, sejak ‘perjanjian mulut’ itu disepakati, yayasan berkenaan tidak pernah menyalurkan wang atau membantu mencari dana sebaliknya KKFC sudah membelanjakan sebanyak RM700,00 wang mereka sendiri.
KKFC juga mendakwa, kelab itu turut membayarkan beberapa keperluan dan pembaikan pejabat Yayasan Hadi termasuk hutang sewa pejabat yang tertunggak sejak tahun lalu, gaji pemandu, elaun sebagai duta kelab, dan lain-lain.
"Sebagai duta, Adi pernah menyatakan hasrat mendapatkan sumbangan daripada rakannya, kenalan dan hubungan politik yang beliau ada tetapi hakikatnya tiada apa-apa yang berlaku seperti yang beliau nyatakan,” dakwa KKFC seperti dilaporkan Harian Metro Online pada Isnin, 12 Julai, 2021.
KKFC dilihat antara kelab yang membuat persiapan rapi bagi menghadapi liga berstatus divisyen tiga itu dengan merekrut beberapa orang pemain berpengalaman seperti Faiz Subri dan Shafiq Shahruddin.
Malah mereka turut berbelanja membeli tiga pemain import yang terdiri daripada ketua pasukan kebangsaan Timor Leste, Joao Pedro serta Ibrahim Mohamed dari Ghana dan Amot Sonny Garang (Sudan).
Ketua pasukan skuad kebangsaan Timor Leste, Joao Pedro adalah pemain import yang memperkuatkan cabaran KKFC dalam Liga M3 2021. - Kredit foto: FB PBDKK
Kredit foto: FB PBDKK
Sementara itu, Faiz Subri yang menandatangani kontrak pada Mac 2021 lalu berkata, dia kini mengambil sikap tunggu dan lihat ekoran perkembangan terbaharu kelab itu.
“Setakat ini, saya tidak mendapat sebarang maklumat rasmi daripada kelab. Oleh itu, saya masih menjalani latihan macam biasa walaupun dilakukan secara persendirian kerana masalah Covid yang sedang melanda negara kita.
“Saya harap apa yang berlaku ini tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana saya difahamkan Liga M3 akan bermula pada September (2021) nanti,” kata Faiz.
Menurut pemenang anugerah Puskas FIFA 2016 itu, walaupun sekadar M3 namun dia sangat teruja untuk kembali untuk beraksi di padang selepas kali terakhir menyarung jersi Pulau Pinang pada 2019.
Malah, Faiz melihat Liga M3 adalah gelanggang terbaik untuk dia mendapatkan semula sentuhannya selepas agak lama berehat.
“Saya yakin masih mampu bermain pada peringkat tinggi namun selepas lebih setahun berehat, saya perlu mulakan dari bawah semula dan Liga M3 adalah permulaan yang baik untuk saya.
“Malah, bermain dengan kelab seperti Kuala Kangsar FC akan memberi cabaran baharu kepada saya kerana kelab ini mampunyai matlamat untuk bermain pada peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” ujar Faiz. – KitaReporters
Kali terakhir Faiz beraksi dalam liga adalah ketika mewakili Pulau Pinang pada 2019. - Kredit foto: Danial Saad / Berita Harian