Seni & Sukan 12 Jul, 2022

Video| Bola itu bulat! Anak Rimau The Movie bakal mengaum! Di pawagam mulai 1 Sept 2022! Nantikan!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

Anak Rimau merupakan filem pertama terbitan Keeklr Films Sdn. Bhd.


RUPA-RUPANYA sehingga kini produksi perfileman tempatan telah menerbitkan kira-kira 10 judul filem berkaitan sukan bola sepak. Antara yang telah ditayangkan di pawagam adalah Gila Bola, Eye On The Ball, Rembat, Jejak Warriors, Estet, Bola Kampung (animasi), Gol & Gincu Vol.2, Gol & Gincu, Ola Bola dan Suatu Ketika (2019).

Semoga filem Anak Rimau The Movie yang berlatarbelakangkan sukan bola sepak itu mampu mendapat sambutan hangat daripada penonton kerana Keeklr Films Sdn. Bhd., sebagai penerbit telah melabur kira-kira RM5.5 juta untuk menghasilkan filem tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasukan Harimau Malaya


Menurut penerbitnya, Fadzil Manap kos untuk filem arahan Areel Abu Bakar itu melonjak walaupun tidak menggunakan computer-generated imagery (CGI), antara sebabnya adalah penggunaan ramai pelakon tambahan.

“Bajet untuk pembikinan Anak Rimau besar sebab ramai pelakon, terutamanya untuk dalam stadium sebab kita nak nampakkan suasana sebenar.

“Filem ini tidak ada penggunaan CGI dan 95 peratus penggambaran dibuat di Pahang. Proses produksi dan kerja menyiapkan filem ini  mengambil masa yang panjang, penuh dengan cabaran, suka duka dan telah menelan belanja sebanyak RM5.5 juta.


Fadzil Manap selaku penerbit filem Anak Rimau.


Anak Rimau adalah satu produksi yang memperlihatkan jumlah penglibatan anak-anak muda remaja dan bakat-bakat baharu dalam skala yang besar. Rata-rata pelakon umur masih muda, masih sekolah dan pastinya pihak produksi perlu bertanggungjawab perihal kebajikan dan jadual sekolah mereka.

“Di samping itu, cabaran terbesar yang kami hadapi hampir semua anak cilik Anak Rimau bukanlah latar belakang pelakon. Kami harus siapkan program latihan lakonan dengan Fatimah Abu Bakar yang berjaya membentuk bakat-bakat terpendam mereka dalam menghafal dialog, bermain emosi dengan watak-watak mereka.

“Mengajar ilmu berhadapan dengan kamera dan lain-lain lagi. Ini dicapai dalam waktu yang agak pendek, namun begitu kita tetap tabah, sabar dan bertawakal,” katanya melahirkan perasaan lega selepas tertangguh penayangan Anak Rimau disebabkan pandemik Covid-19.


Barisan pelakon Anak Rimau bersama Ti Lian Ker (tengah) dan orang kuat di belakang pembikinan filem tersebut. 



Beliau ditemui pada majlis soft-launch filem Anak Rimau serta pelancaran koleksi rasmi, lagu tema (runut buny) dan muzik video filem yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia & Sukan, Senator Datuk Sri Ti Lian Ker di premis Al-Ikhsan Sports, The Curve, baru-baru ini.

Katanya, Anak Rimau yang dibintangi Beto Kusyairy, Idan Aedan, Kechikimi, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi, bakal menemui penonton di 55 buah pawagam mulai 1 September 2022 ini.

“Filem ini sepatutnya tayang pada 2020 tapi disebabkan Covid-19, tangguh dulu. Kita dapat wajib tayang pada awal tahun (2022) ini, tapi sebab ada beberapa keadaan teknikal, kita undur diri. 


Beto Kusyairy memegang watak sebagai jurulatih untuk Anak Rimau.


“Kemudian, katanya nak tayang Julai (2022) tapi bila kita tengok tarikh yang sesuai adalah September. Lagipun tahun ini ada World Cup, jadi September adalah tarikh yang dilihat bertepatan untuk Anak Rimau yang berkisarkan bola sepak itu.  

“Filem Anak Rimau adalah sebuah filem yang penuh dengan drama, adegan lucu, inspirasi dan sarat dengan mesej yang kami harap mampu memberi impak yang positif kepada penonton tentang pentingnya semangat berpasukan dan pentingnya dorongan keluarga dalam mencapai cita-cita.

“Unsur perpaduan dan nasionalisme yang dimuatkan dalam filem ini sesuai dengan tarikh tayangan 1 September 2022, sesuai dengan suasana ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65 tahun.” katanya yang mendapat idea menghasilkan filem Anak Rimau pada April 2018.


Sebelum ke set penggambaran, anak-anak muda ini mendapat tunjuk ajar lakonan daripada Fatimah Abu Bakar.


Ujarnya, filem ini tak akan berhasil tanpa sokongan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, yang mendokong dengan sepenuh hati serta membantu dan  berkongsi pengalaman sepanjang proses penggambaran.

Kata Fadzil, Al-Ikhsan turut menaja pelbagai kelengkapan dan pakaian sukan untuk filem ini. Rekaan dan kualiti barangan keluaran Al-Ikhsan adalah yang terbaik.  

Selain itu, katanya, mereka juga mengadakan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah banyak memudahkan urusan.

Selain itu, jika dilihat daripada senarai pelakon Anak Rimau rata-rata bukanlah orang berpengalaman selain Azhan, Beto dan Corrie Adam saja, yang lain adalah pemain bola sepak yang dilatih menjadi pelakon.

“Pada saya kehadiran Beto, Azhan atau Corrie sudah cukup kuat untuk filem ini, biarpun mereka bukan pelakon komersial. Saya dah kenal Beto dari awal dia mula berlakon. Saya lebih senang memilih pelakon yang kita tahu mutu lakonannya hebat berbanding wajah komersial.


Filem Anak Rimau pasti memberi kepuasan kepada kaki bola kerana pelakonnya adalah pemain bola yang sebenar.


“Tengok daripada barisan pelakon yang dipilih semuanya ada kelebihan tersendiri.  Anak-anak muda dalam filem ini bukan pelakon tapi mereka pemain bola yang bagus dan pelapis masa depan. Bila penonton melihat filem ini mungkin boleh memberi inspirasi kepada mereka dan ibu bapa.

“Ada mesej yang diselitkan dalam filem tu dan bila menonton kita boleh faham. Filem ini tidak ada kena mengena dengan biografi mana-mana pemain bola,” jelasnya.

Selain berlakon, beberapa pelakon filem Anak Rimau turut menyumbang suara mereka untuk lagu tema yang dicipta oleh Bajai dan Amylea Azizan yang turut bertindak sebagai penulis lirik.


Antara cenderahati yang dikeluarkan Al-Ikhsan sempena filem Anak Rimau.


Antara yang menyanyikan lagu tema Anak Rimau ialah Idan Aedan, Kechikimi, Hanz Skelchy, Omar Daanyal, Joel Low dan Hakeem Sufian. Manakala video muzik lagu tersebut diarahkan oleh Ghazi Mazlan.

Lagu tema Anak Rimau boleh diikuti dalam platform penstriman muzik utama termasuk Amazon, Anghami, AWA, Boomplay, Deezer, Facebook, Flo, iHeartRadio, iMusica, iTunes/Apple Music, Jiosaavn, JOOX, KKBOX, Mixcloud, MusicTime, NetEase, Nuuday, Pandora, Peloton, Resso, Rhapsody/Napster, Shazam, Snap, Soundcloud. Spotify, Tencent, Tidal, TikTok, Triller dan YouTube Music, sejak  7 Julai 2022 lalu. - KitaReporters


17
14
0
9
0
You will be interested