Seni & Sukan 03 Apr, 2021

Berita Terkini| KPM boleh arah sekolah tutup! Sekiranya sebahagian guru dikuarantin Covid-19!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menutup sekolah sekiranya sebahagian besar guru terpaksa menjalani kuarantin akibat Covid-19 hingga menjejaskan kelancaran dan kecekapan operasi sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata penilaian operasi daripada KPM berkaitan penutupan sekolah akan dibuat sekiranya sekolah berkenaan tidak boleh beroperasi secara efisien.

“Dari segi penilaian risiko kes positif Covid-19 akan dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan analisis mereka sebelum memberi nasihat kepada pihak KPM.

“Sebagai contoh, ramai guru dikuarantin sekali gus mengganggu pembelajaran pelajar baru kita akan putuskan untuk penutupan operasi sekolah terbabit,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Sekolah Menengah Tasek Gelugor pada Sabtu 3 April 2021.

Pada majlis itu, 31 sekolah menerima peruntukan antara RM20,000 hingga RM200,000 untuk penyelenggaraan dan baik pulih sekolah.

Dr Mohd Radzi menjelaskan SOP (prosedur operasi standard) berkaitan kes Covid-19 adalah jelas iaitu sebarang keputusan dibuat kementerian adalah berdasarkan nasihat PKD kerana mereka lebih pakar.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dilapor menggesa agar tindakan drastik termasuk penutupan diambil terhadap sekolah yang melaporkan kes Covid-19.

Dalam masa sama, Dr Mohd Radzi menyarankan supaya seluruh guru mendaftar segera di aplikasi MySejahtera bagi mendapat suntikan vaksin berikutan mereka antara kumpulan penting yang diberi vaksin.

"Proses vaksinasi kepada guru sedang dijalankan dan kita meminta mereka membuat pendaftaran segera," katanya. - KitaReporters


Radzi Jidin (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Anuar Ahmad Pengetua Sekolah Menengah Tasek Gelugor .Kredit Foto MalaysiaGazette.

 

 

1
1
0
0
0
You will be interested