SETIAP kali hujan, padang permainan di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur akan menakung air. Air yang bertakung mengambil masa beberapa hari untuk mula kering. Kawasan padang menjadi becak sebelum kering sepenuhnya untuk digunakan semula. : KitaReporters
KAWASAN permainan kanak-kanak di padang permainan Danau Kota ditakungi air.
Itu pun jika tidak hujan lagi. Jika hujan berterusan bermakna air akan terus bertakung. Jika sudah kering pun tetapi kemudian hujan, maka takungan air terjadi semula.
Begitulah rutin yang dilalui oleh padang permainan ini setiap kali hujan.
Dalam keadaan air bertakung, kanak-kanak tidak dapat menggunakan padang ini untuk bermain.
Orang dewasa juga tidak dapat bersantai di kabin atau bermain sepak takraw dan badminton di gelanggang yang disediakan.
Aduan rasmi secara bertulis telah pun dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2019 lalu, selain berjumpa pegawai DBKL di ibu pejabat dan di pejabat Cawangan Mangsa Maju.
Pegawai DBKL ada datang meninjau keadaan padang permainan tersebut.
Namun hanya setakat itu sahaja. Tiada apa-apa tindakan diambil dan tiada apa-apa susulan daripada DBKL sehingga kini.
SATU lagi sudut pemadangan taman permainan kanak-kanak Danau Kota yang ditakungi air dan becak.
PENGERUSI Persatuan Penduduk Danau Kota 23B, Ghazali Katun.
Pengerusi Persatuan Penduduk Danau Kota 23B (PPDK), Ghazali Katun memberitahu, surat rasmi yang ditujukan kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL dihantar pada September 2019.
Namun menurutnya, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil bagi mengatasi masalah air bertakung di padang permainan berkenaan.
Akibat masalah itu, bukan sahaja padang permainan tidak dapat digunakan tetapi juga mendatangkan risiko kawasan air bertakung akan menjadi tempat nyamuk membiak dan dan seterusnya boleh mengakibatkan demam denggi.
Ghazali berharap pihak DBKL akan segera bertindak mengatasi maslah tersebut kerana setelah lapan bulan aduan rasmi dibuat kedaan masih tidak berubah.
SETIAUSAHA Persatuan Penduduk Danau Kota 23B, Abdullah Othman.
Setiausaha PPDK, Othman Abdullah memberitahu, selain surat rasmi pihak persatuan juga telah bertemu dengan pegawai DBKL di ibu pejabat DBKL dan pejabat Wangsa Maju bagi mengemukakan masalah yang dihadapi.
Namun malangnya, kata beliau, sehingga kini tiada tindakan diambil seolah-olah seolah-olah aduan yang dibuat tidak dipedulikan.
Beliau percaya masalah air bertakung ini akan dapat diatasi jika pihak DBKL menambak dan meninggikan paras tanah di kawasan air bertakung, dan seelok-eloknya di seluruh kawasan padang permainan supaya sama rata agar air hujan tidak bertakung di kawasan lain pula.
BENDAHARI Persatuan Penduduk Danau Kota 23B, Guli Tahir.
Sementara itu, Bendahari PPDK, Guli Tahir berkata, padang permainan Danau Kota bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga tempat orang dewasa bersantai kerana ada kabin di padang tersebut untuk mereka berkumpul dan bermain ping pong.
Selain itu, gelanggang badminton dan sepak takraw menjadi pilihan mereka yang meminati permainan tersebut.
Oleh itu beliau berharap pihak DBKL tidak membiarkan masalah ini berlarutan dan segera bertindak menyelesaikannya agar padang permainan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk, baik kanak-kanak atau dewasa. - KitaReporters
TAKUNGAN air di sudut padang permainan bersebelahan rumah pencawang Tenaga Nasional.