Seni & Sukan 08 Jun, 2020

Liga M3 dibatalkan! Kerana Covid-19, kos tinggi patuhi SOP!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PIALA FA, Piala Pencabar, Piala Presiden dan Piala Belia malah Liga Futsal Perdana Malaysia musim 2020 semuanya telah dibatalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) gara-gara pandemik Covid-19. Kini Liga M3 pula diumumkan dibatalkan!! : KitaReporters

DUA pasukan liga amatur, Northern Lion FC (kanan) dan Harini FC antara yang terkesan dengan pembatalan Liga M3 selepas Piala FA, bulan lalu akibat Covid-19. - Kredit foto: MFL


‘Korban’ terbaharu pandemik maut itu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menegah penganjuran sukan bersentuhan badan ialah Liga M3 kendalian Liga Bola Sepak Amatur (AFL), pertandingan yang rankingnya di bawah Liga Super dan Perdana atau dulunya dikenali sebagai Liga FAM

Kata Pengerusinya, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi, keputusan itu diambil atas faktor kesihatan dan keselamatan masyarakat selain mengambil kira impak kepada kedudukan kewangan kelab amatur Liga M3. 

“Pembatalan saingan Liga M3 musim ini juga berpandukan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan. 

“Memandangkan kebanyakan perlawanan Liga M3 dilangsungkan di venue terbuka, pasti sukar melaksanakan SOP itu khususnya dalam memantau pergerakan individu yang terlibat selepas MKN juga tidak membenarkan sebarang perhimpunan awam. 

“Hakikat ini ditambah dengan kekangan kewangan pasukan-pasukan Liga M3 dalam mengikuti SOP atau menyediakan peralatan yang diwajibkan MKN dan kementerian bagi proses saringan Covid-19 seperti cecair pembasmi kuman atau alat pengimbas suhu badan. Kos berkenaan yang ditanggung tuan rumah turut akan bertambah,” katanya.

MOHD. Yusoff Mahadi pada sesi taklimat Liga M3 di Wisma FAM pada Januari 2020. - Kredit foto: MFL 


Kata Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM, masih terdapat 16 baki perlawanan Liga M3 musim 2020 tidak termasuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan final. 

Saingan Liga M3 telah ditangguhkan selepas PKP dikenakan pada 18 Mac 2020. 

“Selain kos tambahan berkenaan SOP, AFL juga tidak bercadang untuk meneruskan Liga M3 pada September 2020 memandangkan baki perlawanannya, tidak dapat ditamatkan pada penghujung Disember ini. 

“Kebanyakan pemainnya merupakan kakitangan kerajaan atau syarikat swasta yang hanya boleh bermain pada hujung minggu dan luar waktu bekerja,” jelas Yusoff dalam siaran media oleh AFL pada Isnin, 8 Jun 2020. 

Kian memeritkan katanya ialah AFL mendapati penaja-penaja pasukan sudah tidak menyambung kontrak dan ada yang terpaksa mengundur diri gara-gara perniagaan mereka turut mengalami kerugian terjejas akibat Covid-19.

SENARAI pasukan amatur yang memeriahkan saingan Liga M3 dan M4 serta Piala FA. - Kredit foto: MFL


Tanpa penajaan maka tergendalalah sebahagian besar persediaan pasukan, ujarnya yang menambah, AFL kini cuba merancang mekanisme terbaik dalam membantu mereka meneruskan perjuangan pada tahun hadapan. 

“AFL akan sentiasa terbuka kepada semua cadangan atau pandangan pasukan-pasukan M3 berhubung masalah yang mereka hadapi. 

"Proses penstrukturan Liga M3 yang memasuki minggu ketiga dan sepatutnya bermula pada 2021 akan dikaji semula secara terperinci. 

“Kami juga kena memahami detik sukar pasukan-pasukan sekarang sebelum membuat sebarang keputusan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM. 

Mengenai Liga M4 pula katanya, penganjur-penganjurnya turut disarankan agar membatalkannya, namun segala urusan penamatan kontrak atau pemain dan pegawai pasukan harus mematuhi Akta-akta kontrak selain mencapai persetujuan bersama. 

Sebanyak 12 pasukan yang terdiri daripada Liga M3 dan Liga M4 yang telah layak ke pusingan kedua Piala FA 2020 (sepatutnya berlangsung Februari 2020) juga telah terbatal kelayakan mereka secara automatik sejak 1 Mei 2020 ekoran keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

HASRAT segelintir pasukan kerdil M3 dan M4 untuk cuba mencipta kejutan pada Piala FA 2020 juga tidak kesampaian. - Kredit foto: MFL

0
0
0
0
0
You will be interested