Seni & Sukan 21 May, 2021

PKPD: Penduduk Besut serbu pasar raya, kedai! Polis pula tutup 3 laluan utama! Buat enam SJR!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Penduduk beratur untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di bandar Jertih. - Kredit foto: Media Sosial


TINDAKAN penduduk daerah Besut, Terengganu, yang panik berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh daerah itu bermula 22 Mei 2021 menyebabkan beberapa jenis barang keperluan habis di pasaran.

Penduduk terbabit menyerbu premis jualan di beberapa pekan utama termasuk bandar Jertih, Kuala Besut dan Kampung Raja, untuk membeli barang keperluan yang mendapat permintaan tinggi termasuklah telur, ayam dan lampin pakai buang (pampers).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD

Penduduk Besut beratur panjang di pasar-pasar raya untuk membeli barangan keperluan sebelum pelaksanaan PKPD. - Kredit foto: FB Nur Syawani


Bagaimanapun, penduduk kecewa selepas beratur beberapa jam sama ada di pasar raya atau kedai biasa untuk mendapatkan barangan berkenaan kerana semua keperluan tersebut dikatakan habis dijual.

Kehabisan barang keperluan berkenaan berpunca daripada sikap orang ramai yang panik dan berebut-rebut untuk mendapatkan barang keperluan sebagai bekalan bagi menghadapi PKPD yang dilaksanakan di seluruh daerah itu berkuat kuasa sabtu, 22 Mei hingga 4 Jun 2021.

PKPD di daerah Besut pada awalnya membabitkan penduduk di RAKR Pelagat Tiga, Jertih, tetapi kemudian diperluaskan kepada 28 mukim yang meliputi keseluruhan daerah Besut.




Penduduk, Ramlah Che Mat, 48, berkata beliau terpaksa keluar membeli belah lebih awal kerana bimbang tidak dapat keluar ke bandar berikutan pelaksanaan PKPD.

Katanya, keadaan bertambah sukar kerana semua jalan utama seluruh daerah itu kini telah diletakkan Sekatan Jalan Raya (SJR) oleh pihak berkuasa menyebabkan penduduk tidak boleh lagi keluar dan masuk dengan mudah.

Sementara itu, Polis Daerah Besut akan menutup tiga laluan utama di daerah itu bagi mengekang pergerakan penduduk berikutan pelaksanaan PKPD di daerah itu

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata penutupan jalan terbabit berkuat kuasa pada 22 Mei 2021 serentak dengan pelaksanaan PKPD.


Abdul Rozak Muhammad


Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Seberang Kastam melalui Jambatan Kuala Besut, Bulanatn Kampung Lampu menghala ke Jalan Seberang Jertih (Kampung Nangka), Jalan Seberang Jertih ke Bulatan Kampung Lampu, Jalan Seberang Jertih ke Bulatan Kampung Lampu (Kampung Nangka).

Selain itu, polis juga turut mengadakan enam SJR iaitu di Kampung Lampu, Nyior Tujuh, Gong Nering, Gong Medan, Lubuk Kawah dan Seberang Jertih.

“Hanya mereka yang mempunyai surat kebenaran rentas daerah dan negeri daripada polis sahaja akan dibenarkan melalui SJR terbabit,” katanya. - KitaReporters



Jambatan Kuala Besut yang menghubungkan dengan Kampung Raja ditutup kepada semua kenderaan. - Kredit foto: Facebook Cakna Besut Terengganu (CBT)

14
12
24
5
7
You will be interested