Shiha baru merasa menjadi artis popular ketika usianya sudah 34 tahun yang dianggap sudah lewat bagi sesetengah pihak, namun dia menganggap ia takdir yang ditentukan.
Nurshila Mohd Zikir yang lahir pada 2 November 1987, menjadi pemenang paling banyak pada malam AME 2021 itu.
Selain menjuarai kategori utama Top Top MeleTOP Wanita, Shiha turut memenangi empat kategori lain iaitu ‘Artis Versatil’, ‘Bintang Filem’, ‘Group/Duo’ dan ‘Lagu Meletop’.
Menurut Shiha, dia banyak belajar daripada pengalaman lalu dan menjadikan ia sebagai satu perkara yang positif.
"Kalau dahulu mungkin saya akan balas setiap kata-kata tersebut tetapi sekarang ini saya lebih fokus kepada diri sendiri dan orang sekeliling sahaja.
"Buat apa sekali pun pasti ada yang tidak kena pada mata orang lain. Saya tidak pernah ambil hati jika ada yang mempertikaikan kemenangan ini," katanya dalam pertemuan dengan petugas media selepas majlis AME tersebut.
Seperti pemenang Top Top MeleTOP lelaki, Khai Bahar, Shiha turut didakwa membeli undi. Shiha menolak dakwaan dia membayar kelompok peminat untuk mengundi bagi memenangi edisi AME kali ini.
Dan dia menganggap ia adalah undian ikhlas daripada peminat dan anggota kumpulan peminatnya Shihanizers.
"Memang puas dengan kemenangan ini. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan saya. Sebelum ini saya telah lalui fasa yang teruk dan sedar orang lain mungkin mengalami lebih lagi, jadi saya jadikan mereka sebagai inspirasi untuk berjaya.
Kata Shiha, kemenangan ini juga dianggap sebagai amanah untuk dia bekerja lebih keras sebagai anak seni.
"Memang tidak sangka dengan kemenangan malam ini. Apabila nama tercalon untuk empat kategori pun saya terkejut. Saya dah banyak menyertai pertandingan tetapi tidak pernah menang nombor satu.
Baginya kemenangan itu adalah amanah sebagai anak seni untuk berusaha lagi dalam industri. Dia mempunyai impian mahu berjaya ke peringkat antarabangsa.
Mula serius menyanyi pada tahun 2005. Shiha sudah mencipta nama di Indonesia setelah menyertai Dangdut Academy Asia musim 1 tahun 2015 dengan mendapat tempat ketiga.
Dengan usia semakin meningkat Shiha mempunyai impian untuk berjaya mencipta nama di beberapa negara.
Kerana Arul turut ada dalam interbiu itu, kedua-duanya dihujani pertanyaan petugas media membuat Shiha berharap jika ada jodoh tahun ini juga kerana usianya memasuki 35 tahun pada 2 November 2022 nanti. - KitaReporters
/