Seni & Sukan 12 Jun, 2022

Tahniah! 50 tahun Malaysia negara tuan rumah kepada pejabat serantau ICRC! Kerjasama kemanusiaan!

@editor 1
Semua kenyataan akhbar/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com atau kita.reporters@gmail.com

Share this


TAHUN 2022 merupakan satu titik sejarah penting dan bermakna bagi Malaysia yang menjadi negara tuan rumah kepada pejabat serantau pertama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (International Committee of the Red Cross, ICRC) di Asia Tenggara

Jubli emas yang menandakan 50 tahun ICRC di Malaysia ini menjadi lebih bermakna kerana ia selaras dengan ulang tahun ke-60 penyertaan Malaysia ke Konvensyen-konvensyen Geneva 1949 yang merupakan perjanjian teras undang-undang kemanusiaan antarabangsa. 

Sempena sambutan istimewa ini, satu majlis yang dianjur bersama oleh ICRC dan Kementerian Luar Negeri (KLN) diadakan di Zenith Putrajaya pada 9 Jun 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ICRC



“Kami berterima kasih kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia, kerana pada November 1972, 10 tahun selepas Malaysia menyertai Konvensyen-konvensyen Geneva 1949, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri ketika itu Tun Abdul Razak mengalu-alukan ICRC dengan besar hati untuk menubuhkan Delegasi Serantau Asia Tenggara ICRC yang pertama di Malaysia,” kata Biljana Milosevic, ketua delegasi serantau Kuala Lumpur dalam satu kenyataan media pada 9 Jun 2022. 

Beliau mengulas mengenai pelbagai kerjasama ICRC dengan pihak berkuasa dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), dari bantuan yang diberikan bersama PBSMM kepada ratusan ribu pelarian Vietnam di Pulau Bidong kepada kursus pertama dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia pada 1988 dan lawatan yang berterusan ke tempat tahanan, sehingga hari ini.

Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, merakamkan penghargaan atas sumbangan ICRC selama ini kepada Malaysia dan rakyatnya sejak 50 tahun lalu. 

Dalam ucaptamanya, Saifuddin menegaskan komitmen Malaysia untuk melindungi dan mempromosikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengukuhkan kerjasama dengan ICRC. 

Beliau mengakui bahawa kerjasama berterusan antara ICRC dan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan telah terbukti memainkan peranan penting dalam menambah baik pelaksanaan dan promosi undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Malaysia.



Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, pengerusi kebangsaan PBSMM, menggariskan persahabatan lebih 50 tahun dengan ICRC dalam perjalanan kemanusiaannya. 

“ICRC telah menjadi salah satu rakan kongsi utama kami dalam tindak balas kemanusiaan, dari Orang Perahu Vietnam ke pandemik Covid-19 baru-baru ini. 

"Kami berharap untuk mengukuhkan kerjasama dengan ICRC untuk masa yang akan datang demi mengurangkan penderitaan manusia dan meneruskan objektif kemanusiaan kami,” kata YTM Tunku Puteri Intan Safinaz, dalam kenyataan media itu.

Aktiviti pertama ICRC di Malaysia boleh dijejak kembali ke tahun 1940-an. Beberapa dekad kemudian, pada 1972, surat dari Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri ketika itu Tun Abdul Razak Hussein, secara rasmi menjemput ICRC untuk menubuhkan pejabat serantau pertamanya untuk Asia Tenggara di Kuala Lumpur. 

Pejabat ICRC tersebut dibuka pada Mac tahun berikutnya dan masih memainkan peranan yang penting di rantau ini 50 tahun seterusnya. 

Sambutan pada 9 Jun 2022 itu juga dihadiri Christine Cipolla, Pengarah Serantau ICRC untuk Asia Pasifik, yang secara rasmi mewakili Presiden ICRC Peter Maurer dalam majlis ini. 

Beliau berkata bahawa, “ICRC memuji Malaysia kerana komitmen yang berterusan terhadap tindakan kemanusiaan dan terus mempengaruhi perbincangan dasar global dan perdebatan mengenai kebimbangan kemanusiaan pada hari ini. Kami berterima kasih atas hubungan rapat yang lama terjalin dengan Malaysia.” - KitaReporters


12
18
0
8
0
You will be interested