DALAM keadaan masih berpantang, selebriti terkenal Noor Neelefa Mohd Noor, 33, melakukan kerja amal dengan berkongsi rezeki untuk memberi minuman susu Nilofa berperisa durian secara percuma kepada orang ramai.
Berita itu diumum menerusi Instagram @nilofagroup. Minuman susu Nilofa mempunyai beberapa perisa, namun cuma perisa durian diberi secara percuma.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan minuman
Menurut Neelofa, ia adalah kempen terbesar dalam sejarah Nilofa memberikan minuman susu tersebut kepada orang ramai secara percuma.
Pemberian susu berperisa durian bermula sejak Rabu 2 Mac 2022 mulai jam 10 pagi hingga 4 petang dan akan berakhir pada hujung bulan ini.
Seseorang boleh mengambil sebanyak mana dikehendaki dengan membawa kenderaan masing-masing dan boleh disedekah kepada orang-orang yang memerlukan.
Namun dalam satu perkongsian dalam Insta Story Nilofagroup pada Jumaat, 4 Mac 2022, pengambilan susu durian percuma ditunda sementara waktu atas sebab yang tidak dapat dilelakkan.
Kata Neelofa, pihaknya akan mengumumkan tarikh dan tempat baru untuk pemberian percuma susu berkenaan secepat mungkin.
“Dengan rendah diri, kami dari pihak Nilofa ingin memohon maaf atas penangguhan pengambilan Susu Durian Percuma kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan seperti: 1. Keadaan lalu lintas yang tidak terkawal dan 2. Tujuan memperkasakan lagi SOP pengambilan susu.”
Selain pemberian susu berperisa durian secara percuma, Nilofagroup turut memberi harga istimewa untuk susu berperisa mangga. Untuk susu berperisa mangga beli sekarton dengan harga RM80 akan menerima sekarton lagi secara percuma.
Pemberian susu berperisa durian itu tular dalam media sosial apabila video seorang pengguna Tiktok yang merakam keadaan lalu lintas yang agak sesak berdekatan ibu pejabat susu keluaran selebriti terkenal ini.
Susu jenama Nilofa itu diberikan secara percuma kepada sesiapa sahaja dan mereka boleh mengambilnya dalam jumlah yang tidak terhad.
Walau bagaimanapun, menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Zayed Zulfikli @ZZulfikli, dia menyatakan bahawa dia salah seorang individu yang pergi mengambil susu tersebut.
Dalam ciapan yang ditulis olehnya, dia mendakwa susu Nilofa itu tidak laku dan diberikan secara percuma memandangkan tarikh pembuatannya adalah pada 2020 manakala tarikh luputnya pada bulan Mac 2022.
Maka dakwanya, inisiatif ‘memberi sedekah’ itu dibuat bagi menghabiskan stok susu durian yang tidak terjual sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Dia juga membuat review jujur dengan medakwa bahawa perisa durian untuk susu keluaran Nilofa ini tidak berapa sedap.
Perkara itu turut disokong oleh pengguna media sosial yang lain dengan memaklumkan perkara sama.
Mereka juga menjelaskan bahawa kebanyakan daripada tarikh tamat tempoh elok digunakan adalah kira-kira seminggu hingga dua minggu sahaja lagi.
Jadi kata mereka, cara paling mudah untuk menghabiskan stok yang masih banyak di ibu pejabat adalah dengan cara memberi sedekah kepada orang ramai.
Walaupun ada yang kurang setuju dengan cara pemilik susu berkenaan menghabiskan stok, tetapi masih ramai yang menyokong tindakan murni dilakukan oleh Neelofa dengan bersedekah kepada orang ramai.
Oleh itu, mereka yang belum pernah merasai sendiri susu jenama Nilofa ini boleh sama-sama menikmatinya tanpa perlu mengeluarkan duit. - KitaReporters