Seni & Sukan 11 Mar, 2022

Video| Empat pemuda dalam MADAM cipta lagu buat Nona! Mat rock bawa lagu cintan ke akhir hayat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Nama kumpulan ini MADAM dan nama lagu single pula ‘Nona’.

Agak menarik kan kemunculan band rock pertama Rocketfuel Entertainment ini yang mengangkat kaum Hawa bersama mereka yang dianggotai empat pemuzik muda lelaki kesemuanya.

Mereka terdiri daripada Putera (vokalis), Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (gitaris).

Tetapi kenapa pilih nama MADAM yang bunyinya seakan panggilan wanita Inggeris iaitu ‘madame’ atau ‘puan’ dalam bahasa Melayunya?


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan penyanyi

Dari kiri: Fadhil, Herman, Putera dan Azuan. 


Sebenarnya MADAM adalah singkatan pada maksud ‘Men of Another Day Another Music’, semakin berkembang secara muzikal sebagai sebuah band rock dengan menampilkan pendekatan tersendiri.

Nona pula panggilan buat gadis-gadis belum berkahwin merupakan lagu tentang cinta yang ingin dibawa ke akhir hayat,” terang Herman.

Ia menceritakan tentang sebuah kisah bagaimana seorang lelaki yang bertemu dengan seorang wanita lalu jatuh cinta dengan keindahan paras dan peribadi wanita itu. 

“Buat pertama kalinya, MADAM muncul dengan single cetusan ilham kami sendiri tanpa penglibatan mana-mana komposer luar. 

“Saya sendiri yang menulis lirik Nona manakala melodinya pula disempurnakan oleh kami berempat,” cerita Putera.

Memandangkan ini pertama kali MADAM  menghasilkan sebuah lagu secara langsung dari awal sehingga akhir, Azuan berkata, sedikit masa diperlukan untuk memastikan karya yang  mereka ciptakan memuaskan dan sesuai dengan selera pasaran masa kini.

Single terakhir MADAM berjudul 'Kekasihku' telah diriliskan hampir setahun yang lepas, setelah itu band tersebut agak sepi tanpa kehadiran single baharu.



“Selepas muncul dengan tiga single hasil ciptaan komposer lain sebelum ini, kami berbincang dengan pihak Rocketfuel untuk menghasilkan karya sendiri, dan setelah beberapa kali perbincangan dilakukan serta beberapa lagu dicadangkan, barulah proses rakaman Nona dapat dimulakan, " akui Kumpulan MADAM.

Masih mengekalkan genre rock yang merupakan ‘trademark’ MADAM, namun menariknya lagu Nona  diberikan kelainan dengan suntikan elemen muzik nusantara atau ‘Kemelayuan’ dalam paduan moden yang lebih rancak. 

“Kami sengaja membawa ‘mood’ yang lebih gembira dalam lagu ini berbanding sebelumnya, kerana single-single kami terdahulu hadir dengan nada yang sedih, dan dengan terlahirnya Nona, ia menanda kematangan MADAM dalam membawa muzik rock yang pelbagai,“ tambah Herman.



Hampir sebulan tempoh yang diperuntukkan untuk menyiapkan Nona. Proses rakaman memakan masa selama tiga hari saja, manakala proses pengubahsuaian serta mixing mengambil masa yang lama demi mencari dan membentuk muzik mengikut citarasa MADAM.

Menurut Fadhil, video muzik (MV) MADAM pada kali ini keluar dari imej kebiasaan mereka sebelumnya, dengan menampilkan sesuatu yang baharu, tema estetika Jepun dipilih dengan menggambarkan Nona sebagai seorang gadis geisha.

“Banyak perubahan yang kami rasakan sejak awal kemunculan hingga sekarang. Kini, kami lebih terbuka untuk menerima genre muzik lain, dan dengan munculnya Nona, kelainan yang kami terapkan adalah dari segi pemilihan bunyi, instrumen dan elemen,” sambung Putera.



Sementara itu, Erick Yew, selaku Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment berpendapat sejak kemunculan MADAM dengan single pertamanya, mereka lihat band ini semakin berkembang dan mula mengukuhkan tapaknya di industri muzik Malaysia.

“Syabas saya ucapkan buat mereka dan semoga single Nona hasil ciptaan mereka sepenuhnya ini menguatkan lagi pengaruh MADAM terhadap penggemar muzik rock tempatan,” jelas Yew.

Akhiri Putera, “Setelah jurang masa yang agak lama dengan single sebelum ini, MADAM berharapan agar single Nona dapat mengubati rindu buat peminat dan mendapat tempat di hati pendengar, bukan sahaja peminat bahkan pendengar baru yang belum mengenali MADAM seterusnya menaikkan lagi nilai muat turun dan jumlah tontonan.

“Semoga karya seperti ini diharapkan mampu mengukuhkan lagi kedudukan MADAM dalam memeriahkan industri muzik tanah air,” katanya lagi. - KitaReporters


10
11
0
8
0
You will be interested