GOL Safee Sali ketika mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 2015, mara ke pusingan kedua ‘Cabaran Berapit Piala AFC’ selepas bekas penyerang Harimau Malaya itu menewaskan pencabarnya, Altymyrat Annadurdyyev dalam pengundian dalam the-afc.com selama dua hari. : KitaReporters
SAFEE (kiri) memenangi pusingan pertama Cabaran Berapit Piala AFC yang menilai 32 gol pemain-pemain kelab Asia sepanjang sedekad sejak 2010. - Kredit foto AFC.
Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:
https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak
Safee memenangi 95 peratus undi popular secara dalam talian oleh para pengunjung laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini manakala pemain kelab Turkmenistan, Altyn Asyr itu sekadar mendapat lima peratus dalam pusingan pertama cabaran.
Dia melakukan libasan kaki kanan ala sepak takraw sejauh 10.97 meter untuk membolosi gawang East Bengal (India) dalam saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 24 Februari 2015 lalau yang dimenangi JDT 4-1.
Laman itu tidak pula menjelaskan angka undi yang dimenangi kedua-dua pemain berkenaan mahupun jumlah keseluruhan pengundi yang menyertainya sejak pengundian dibuka Rabu lalu, 14 Oktober 2020 dan berakhir hari ini, Jumaat 16 Oktober 2020.
Safee kini menyertai PJ City FC namun pernah menyarung jersi Merah Biru dari 2013 hingga 2017 malah membantu ‘Sang Harimau Selatan’ muncul pasukan pertama Asia Tenggara yang menjuarai Piala AFC pada 2015 dengan menewaskan Istiklol FC (Tajikistan) 1-0.
SAFEE Sali melonjak meraikan golnya ketika bersama JDT pada 2015. - Kredit foto FB Safee.
Dalam pusingan kedua, golnya akan ditentang oleh pemenang antara Mohammad Al Wakid (Al Jaish) dan Sunil Chhetri (Bengaluru FC) yang keputusannya bakal diketahui dalam laman the-afc.com pada pukul 4 petang esok, Sabtu 17 Oktober 2020.
Mohammad dicalon bagi gol menentang Al Jazeera dalam separuh akhir Zon Asia Barat Piala AFC 2019 sementara Chhetri ketika melawan JDT pada separuh akhir kedua Piala AFC 2016 yang dimenangi kelab India itu 3-1.
Keputusan kemenangan Safee ke atas Annadurdyyev boleh disaksikan di pautan afc.com ini: https://www.the-afc.com/competitions/afc-cup/latest/news/bracket-challenge-ro32-safee-sali-jdt-vs-altymyrat-annadurdyyev-altyn-asyr
CABARAN Berapit Piala AFC pusingan pertama antara Safawi Rasid (JDT FC) melawan Khalil Bani Atiyah (Al Faisaly, Jordan). - Kredit foto AFC.
Sementara itu, jaringan seorang lagi pemain JDT FC, Safawi Rasid turut dicalonkan dalam pusingan pertama Cabaran Berapit Piala AFC dengan ditentang oleh gol pemain Jordan, Khalil Bani Atiyah yang mewakili kelab Al Faisaly ketika melawan Al Ansar.
Dari luar kotak penalti hasil umpanan S. Kunanlan, sayap kanan yang kini dipinjamkan semusim ke Portimonense SC, Portugal ini melepaskan rembatan kaki kirinya yang kencang sehingga menerjah gawang kelab Singapura, Tampines Rovers.
JDT FC menang 2-1 pada pertembungan Kumpulan H Piala AFC 2018 yang disaksikan 8,750 hadirin di Stadium Tan Sri Hassan Yunos tanggal 14 Mac 2018.
Khalil turut menyumbat gol dengan kaki kiri ketika hanya berdepan penjaga gol kelab Lebanon itu dalam kotak penalti pada perlawanan 27 Februari 2018 di depan 4,000 penonton di Stadium Kota Sukan Camille Chamoun, Beirut.
SAFAWI (kiri) turut mahir menggelecek bola untuk mencari ruang melepaskan rembatan kencang kaki kirinya ke gawang lawan. - Kredit foto FB JDT.
Pada 11 September 2020 lalu, gol rembatan kidal Safawi sejauh 22 meter terhadap Shandong Luneng (China) dalam Liga Juara Asia (ACL) 2019 dipilih sebagai pemenang ‘Gol ACL Dekad Ini’ selepas meraih 34 peratus atau 6,777 daripada 19,933 undi para pengunjung the-afc.com.
Pengundian bagi gol-gol Safawi-Khalil ini akan berakhir pada pukul 4 petang Ahad, 18 Oktober 2020.
SAFAWI (belakang, dua dari kiri) dan pengumpan gol rembatan kidalnya buat JDT dalam Piala AFC 2018, S. Kunanlan (depan, kanan). - Kredit foto JDT.
Kepada para penyokong bola sepak negara sama ada Harimau Malaya atau Harimau Selatan, ayuh kita ramai-ramai mengundi Safawi di https://www.the-afc.com/competitions/afc-cup/latest/news/bracket-challenge-ro32-safawi-rasid-jdt-v-khalil-bani-atiyah-al-faisaly - KitaReporters