Seni & Sukan 25 Oct, 2020

Ketibaan jemaah umrah luar! Arab Saudi buat persiapan rapi!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
SELEPAS fasa satu dan dua terlaksana dengan baik, fasa ketiga pelaksanaan ibadah umrah secara berperingkat-peringkat yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi sesi 2020, insya-Allah bermula pada Ahad 1 November 2020 melibatkan 60,000 orang jemaah pada setiap hari. : KitaReporters
Pintu gerbang yang meletakkan replika al-Quran besar merupakan sempadan wilayah Mekah jika anda melalui lebuh raya Jeddah Mekah. - Kredit Foto: Masnira Ramli.

Lagi cerita-cerita berkaitan umrah:

https://kitareporters.com/search?search=umrah


Sehubungan itu, bagi menjamin aspek keselamatan dan pencegahan jangkitan wabak Corona Virus 2019 (COVID-19) dalam kalangan jemaah umrah supaya tidak menular, kini kerajaan sudah bersiap sedia dan membuat persiapan rapi dengan pelbagai protokol serta pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat  semasa menerima kehadiran kumpulan jemaah berkenaan.

Bagi memestikan ibadah umrah berjalan lancar seperti dirancang, lebih 700 buah syarikat dan badan pengendali perkhidmatan ibadah umrah di negara itu diberi lesen kelulusan serta bersiap sedia menunggu kedatangan kumpulan umat Islam dari luar yang tidak berisiko dengan wabak pandemik berbahaya tersebut.


Jaminan ini diberikan oleh Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Abdul Rahman Shams yang bertanggung jawab mengenai bahagian urusan Umrah, semasa bercakap kepada saluran penyiaran Al Ekhariya  yang dilapurkan oleh Saudi Gazette pada Rabu 21 Oktober 2020 lalu sambil menyatakan langkah ketat ini terpaksa dilaksanakan  bagi menjamin tidak berlakunya sebarang jangkitan virus COVID-19 dalam kalangan jemaah seperti pada fasa pertama sebelum ini yang disahkan tidak ada kes tercatat sehingga kini.
Setiap syarikat atau badan pengendali perkhidmatan umrah berlesen akan menyelesaikan segala urusan penerimaan kemasukan jemaah umrah dari luar negara.
Mekanisme tempahan untuk menunaikan ibadah umrah dari luar Arab Saudi hanya dibenarkan melalui syarikat mahupun badan pengendali yang sah dan berlesen sahaja, manakala kedatangan para jemaah perlu secara berkumpulan bukan individu.

Di atas tapak Hotel Hilton yang terletak berhampiran kawasan Masjidil Haram inilah rumah Saidina Abu Bakar R.A. - Kredit Foto: Prof.Dr.Saidfudin.
Sejumlah 120,000 jemaah telah menunaikan ibadah umrah dan 45,000 orang solat fardu lima waktu di Masjidil Haram sepanjang fasa kedua setelah kebenaran semua umrah secara berperingkat selama dua minggu sejak 18 Oktober 2020 lalu.

Aplikasi khas Eatmarna yang diguna pakai bagi jemaah haji dan pada ibadah umrah fasa pertama sebelum ini turut dilaksanakan bagi mereka yang terpilih menunaikan umrah fasa ketiga ini.

Untuk tujuan ini Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah sudah memulakan persiapan bersama syarikat serta ejen pengendali perkhidmatan umrah di luar negara di samping menerima kedatangan kumpulan jemaah umrah fasa ketiga itu nanti.
Dengan bermulanya kembali ibadat umrah sesi 2020 sejak 4 Oktober 2020 lalu setelah tertangguh selama tujuh bulan sejak Mac 2020, beberapa media tempatan di Arab Saudi melaporkan banyak percubaan pihak tidak bertanggungjawab memberi maklumat yang salah selain aplikasi palsu antara lain bertujuan menipu jemaah umrah berjaya dikesan kerajaan. 

Melalui perbincangan dengan pihak berwajib antaranya Kementerian Haji dan Umrah, Pengurusan dua masjid Haramain (Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi), polis dan pihak berkaitan perkara tersebut akan dilaporkan segera.


Jemaah Umrah fasa kedua diberikan sebotol air zam zam sebaik tiba di Masjidil Haram Mekah. - Kredit Foto : FB Haramain Sharifain.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Haji dan Umrah yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Hotel-Hotel di Mekah, Hani Al Omairi memberi keyakinan bahawa kumpulan jemaah umrah dari luar akan diberi layanan terbaik oleh syarikat dan badan pengendalikan perkhidmatan umrah terlibat kerana setiap syarikat berlesen itu sudah mengadakan persiapan awal mendedahkan para pekerjanya bagi tujuan ini melalui kursus-kursus tertentu.
Antaranya termasuklah kursus cara menangani krisis, urusan dengan orang ramai, penerimaan jemaah umrah, menawarkan khidmat terbaik di lapangan terbang dan hotel penginapan, mengawasi aktiviti keluar masuk jemaah di Masjidil Haram dengan panduan yang sesuai serta cara membuat temu janji melalui aplikasi Eatmarna bagi kelulusan permit umrah. 

Semua aktiviti berkaitan dilakukan  melalui pengawasan langsung oleh pegawai berkelayakan dari firma umrah.

Sehingga hari ini terdapat lebih 6,500 ejen perkhidmatan umrah dari luar negara berurusan dengan 700 syarikat atau badan pengendali perkhidmatan umrah berlesen di Arab Saudi yang mengatur perjalanan ibadah umrah melibatkan jutaan umat Islam dari serata dunia. 

Di samping itu sejumlah 32 laman web dan platform lain disediakan bagi tujuan tempahan serta pembayaran urusan ibadah umrah untuk jemaah luar.


Salah satu kumpulan jemaah umrah fasa kedua dengan diketuai seorang pegawai memasuki kawasan Masjidil Haram  untuk melakukan tawaf di dataran Kaabah. - Kredit Foto Foto:  FB Haramain Sharifain.
Pembukaan semula ibadah umrah fasa ketiga ini melibat 60,000 jemaah dari luar Arab Saudi setiap hari dan kumpulan ini diberi kebenaran ziarah dua masjid agung, Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi serta Raudah yang ditutup kepada umum sejak tujuh bulan lalu, selain menunaikan rukun umrah termasuk tawaf mengelilingi Kaabah, saei antara Bukit Safa dan Marwa serta tahalul. 

Daripada petikan laporan Agensi Saudi Press, Hani memberitahu, sekitar Masjidil Haram terdapat 1,200 buah hotel dengan 270,000 buah bilik, manakala berhampiran Masjidil Nabawi 75.000 bilik hotel kelas standard antarabangsa berkualiti tinggi sedia menanti ketibaan jemaah umrah itu nanti.

Juga terdapat kira-kira 14,000 golongan muda warga Arab Saudi termasuk wanita bekerja di sektor berkenaan.

Menurut jangkaan pada musim umrah ini sekitar  SR10 billion (RM11.6 billion) aliran wang dapat dijana di mana 70 peratus daripadanya melalui operasi perhotelan, pengangkutan dan perniagaan.


Imej Masjidil Nabawi lebih menyerlah setelah karpet sedia ada ditukar dengan warna merah bagi menyambut kehadiran jemaah umrah dari luar negara pada fasa ketiga.
Kementerian Haji dan Umrah melalui setiausahanya Dr Amr Al Maddah mengesahkan tidak ada berlaku jangkitan  virus COVID-19 dalam kalangan 120,000 jemaah umrah fasa pertama  (4 hingga 17 Oktober 2020 lalu) setakat Rabu 21 Oktober 2020.
Melalui lapuran Agensi Saudi Press katanya, fasa pertama ibadah umrah berjaya diselesaikan pada Sabtu 17 Oktober 2020 hanya tertumpu kepada menunaikan rukum umrah iaitu tawaf, saei dan tahalul serta solah sunat dan zikir yang perlu diselesaikan dalam tempoh tiga jam bagi setiap orang,
Katanya, juga sehingga ini aplikasi khas Eatmarna yang digunakan sebagai medium permit kelulusan ibadah umrah telah dimuat turun oleh lebih 2.5 juta pengunjung.
Saudi Gazette dalam laporannya memetik Pengarah Keselamatan Awam, Leftenan General Khalid Al Harbi berkata kerajaan akan membuat pengambilan sekumpulan 99 orang wanita untuk diserapkan sebagai anggota polis bertugas di Masjidil Nabawi. 

Katanya, mereka yang terpilih diletakkan di bahagian tempat solat jemaah wanita dan di Raudah semasa kunjungan kumpulan wanita. - KitaReporters


Hanya lambaian yang dapat dilakukan oleh para jemaah umrah sesi 2020 semasa melakukan tawaf mengelilingi Kaabah kerana penghadang didirikan untuk mengelakkan mereka daripada menyentuh dinding Kaabah dan mengucup Hajaral  Aswad berikutan COVID-19.

Hanya doa yang dapat diucapkan kepada Junjungan Nabi Muhamad S.A.W oleh setiap orang yang melintasi Makam Baginda di Masjidil Nabawi, Madinah Al Munawarrah.

1
0
0
0
0
You will be interested