Seni & Sukan 31 Oct, 2020

Filem James Bond sangkut! MGM tanggung faedah RM4j sebulan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

PEMINAT filem James Bond di seluruh dunia terus menunggu bila filem No Time To Die, filem Bond terbaharu dan terakhir lakonan Daniel Craig sebagai ejen 007, akan memasuki pawagam. Bukan sahaja peminat menunggu, syarikat pengeluar filem berkenaan, Metro-Goldwyn-Mayer (MGM) juga tidak sabar hendak mengedarkan filem berkenaan. : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan Hollywood: 

https://kitareporters.com/search?search=hollywood


Ini kerana MGM menanggung beban kewangan yang bukan sedikit akibat kelewatan tayangan filem berkenaan. Ia terpaksa membayar AS$1 juta (RM4.156 juta) setiap bulan kepada bank sebagai faedah pinjaman pembikinan filem tersebut. 

Beban pembayaran ini akan berterusan ditanggung sehingga filem itu diedarkan yang membolehkan syarikat berkenaan memperoleh pendapatan bagi melangsaikan hutang.

Memetik laporan Screen Rant, MGM membelanjakan lebih AS$250 juta (RM1.039 bilion) bagi pembikinan filem Hollywood arahan Cary Joji Fukunaga itu yang merupakan filem James Bond ke-25. 


MGM menanggung beban bayaran faedah RM4.156 juta kepada bank setiap bulan atas pinjaman pembikinan filem 'No Time To Die'.



Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan filem tersebut yang sudah lama siap masih tidak dapat ditayangkan. Tarikh tayangan yang dijadualkan tidak dapat dipenuhi.

Pada asalnya, filem ini dijadual ditayangkan pada April 2020. Apabila Covid-19 mengganas di seluruh dunia sejak akhir 2019 lalu, tayangan ditunda kepada November 2020 ini. Namun dengan keadaan pandemik ini yang masih belum reda, tayangan dijadualkan semula pada April 2021 pula.


DANIEL CRAIG bersama Ana de Armas dalam satu adegan 'No Time To Die' - Kredit foto: Just Jared


Dalam keadaan pandemik ini, syarikat MGM yang mengeluarkan No Time To Die tidak berani menggambil risiko mengedarkan filem tersebut.

Ini kerana selain pawagam yang masih banyak ditutup, MGM juga bimbang orang ramai tidak akan menonton filem berkenaan walaupun filem Bond baharu ini dinanti-nanti di seluruh dunia.

Dengan bahana Covid-19 yang masih membahang, orang ramai akan merasa lebih selamat tinggal di rumah atau hanya keluar bagi aktiviti  penting dan perlu. Ini pastinya tidak termasuk ke pawagam.


Kredit foto: firstpost.com


Kebimbangan MGM ini khususnya berdasarkan padah yang diterima oleh Warner Bros. Syarikat itu mengambil risiko besar mengedarkan filem Tenet arahan Christopher Nolan pada September 2020 lalu dalam gelombang Covid-19. Akibatnya filem ini gagal di pasaran.

Ini merupakan satu ingatan dan pengajaran kepada MGM. Jika syarikat itu mengedarkan juga No Time To Die sekarang, kemungkinan besar filem itu juga akan gagal di pasaran. 

Inilah dilema besar yang dihadapi MGM. Beban kewangannya begitu berat dan pulangan yang diharapkan untuk menjelaskan beban hutang masih di awang-awang.

Sekalipun dijadualkan semula untuk tayangan pada April 20121, ia mungkin ditunda lagi jika pandemik Covid-19 masih belum reda. Jika ini berlaku bertambah parah beban MGM.

Jika syarikat mengambil risiko juga mengedarkan filem berkenaan, ia mungkin tidak mendapat pulangan yang diharapkan. Malah ia mungkin menerima nasib sama seperti filem Tenet  Warner Bros.


Pengarah 'No Time To Die', Cary Joji Fukunaga. - Kredit foto: Vulture.


Kerana kemelut ini, MGM pernah bercadang mengedarkan No Time To Die dalam bentuk streaming, misalnya melalui rangkaian Netflix atau Apple TV.

Langkah ini telah dilakukan oleh syarikat Disney yang mengedarkan filemnya Mulan dan Soul  melalui streaming milik rangkaian Disney sendiri.

Kerana itu kos streaming tidak terlalu tinggi. Sebaliknya jika MGM mahu membuat streaming  ia perlu menjual No Time To Die kepada syarikat lain dengan harga tinggi bagi memperoleh keuntungan.

MGM dikatakan pernah meletakkan harga sehingga AS$600 juta (RM2.493 bilion) kepada mana-mana syarikat untuk tayangan secara streaming. Namun harga ini dianggap tinggi dan tiada syarikat yang bersedia menerimanya.



Pada masa sama, MGM juga masih berminat menayangkan No Time To Die di pawagam kerana itulah tradisinya selama ini, bertujuan memberi kepuasan maksimum kepada penonton.

Namun tidak diketahui berapa lama MGM mampu bertahan menanggung beban hutang, tambahan jika filem berkenaan tidak ditayangkan menjelang tarikh baharu April 2021. Adakah ia akhirnya terpaksa menayangkan melalui streaming  juga dengan pendapatan berkurangan?


DANIEL CRAIG menamatkan kariernya sebagai bintang Bond melalui 'No Time To Die'. 


No Time To Die filem kelima dan terakhir Daniel Craig sebagai James Bond selepas kemunculan pertama dalam Casino Royale pada tahun 2006. Ia turut dibintangi Rami Malek memegang watak jahat Safin; Lashana Lyn sebagai Nomi dan Ana de Armas sebagai Paloma.

Bintang lain ialah Lea Seydoux, Chirstoph Waltz, Naomie Harris, Ben Whishaw, Ralph Fiennes dan Jaffrey Wright. - KitaReporters



RAMI MALEK memegang watak jahat dalam 'No Time To Die'. - Kredit foto: Hypebeast.


LEA SEYDOUX turut membintangi 'No Time To Die'. - Kredit foto: universalexports.com

0
1
1
0
0
You will be interested