Seni & Sukan 30 Oct, 2020

Karya Oscar Wilde dalam Mencari Rahmat! Pencarian 10 tahun!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

BERDASARKAN inspirasi dari naskhah sasterawan terkenal Irish, Oscar Wilde, ‘The Importance of Being Earnest’, filem yang diberi judul ‘Mencari Rahmat’ mengambil masa selama 10 tahun untuk pengarahnya, Al Jafree Md Yusop menyiapkan skripnya. Kenapa lama sangat tu? : KitaReporters


Salah sebuah babak dalam 'Mencari Rahmat' lakonan Nam Ron dan Adibah Noor.


“Ini kerana kesukaran mengadaptasikan karya Oscar Wilde ini ke dalam bahasa Melayu,” ujar Al Jafree ringkas tentang pembikinan filem sulung arahannya itu.

Selain itu, kata Al Jafree, beliau perlu memilih pelakon yang mempunyai pengalaman luas dalam pentas teater disebabkan watak-watak dan lakonan dalam filem berkenaan menuntut mereka mempunyai pengalaman teater waima dailog yang panjang dan cara ‘blocking’ filem ini hanya mampu dilakonkan pelakon terbabit.

“Memang agak sukar untuk membariskan pelakon-pelakon yang tiada pengalaman teater untuk membintangi filem ini,” jelasnya.

Tidak hairanlah, daripada barisan pelakon yang dipilih terdiri daripada yang berpengalaman di panggung teater diterajui Nam Ron, Amerul Affendi bersama Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi.


(Dari Kiri), Nadia Aqilah, Amerul Affendi, Sharifah Amani dan Adibah Noor antara pelakon teater hebat.


Wah! Memang berpengalaman habis pelakon-pelakon yang dipilih di pentas teater tu dan pasti hebat juga filem yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 31 Disember 2020. 

Disoal kenapa memilih karya ‘The Importance Of Being Earnest’  yang  pernah dipentaskan pada tahun 1895 di St. James's Theatre, London, jawab Al Jafree, “saya melihat naskhah komedi yang cukup terkenal itu yang mengisahkan tentang dua orang lelaki iaitu John Worthing dan Algernon Moncrieff yang mempunyai identiti khayalan masing-masing cukup unik.

“Ia mempunyai keistimewaan tersendiri dan ternyata telah memberi ilham kepada saya untuk menghasilkannya sebagai sebuah filem.” tambah Al Jafree (gambar bawah, baju putih), sambil memberitahu keinginannya untuk menghasilkannya kepada filem timbul setelah membaca naskhah Oscar Wilde itu pada tahun 1981.

“Saya anggap karyanya sangat  menarik, terutama sekali subjeknya sangat relevan dan begitu sesuai pada masa sekarang ini,” sambungnya sambil berharap filem sulungnya itu akan mendapat sambutan penonton.



Sementara itu, pelakon utamanya, Nam Ron berkata, dia tertarik untuk dalam pembikinan filem berkenaan kerana kelainan terhadap watak yang dibawakan serta jalan ceritanya yang menarik. 

Menurutnya, untuk filem ini ia sepenuhnya bergantung kepada lakonan dalam ‘menghidupkan’ watak yang dibawakannya itu.

“Kelainan watak saya kali ini adalah ia sebuah filem yang bergerak atas ‘performance’, maknanya ia berteraskan kepada ‘performance base’,” Nam Ron berpendapat.

Mengenai kerjasama dengan Al Jafree, Nam Ron melihat pengarah berkenaan sangat mementingkan lakonan yang mantap daripada para pelakon supaya setiap watak itu dapat memberikan impak kepada penonton. 



Mencari Rahmat’ berkisar mengenai Razak, seorang ahli perniagaan di Pulau Pinang yang berjaya namun dia seorang yatim piatu yang diambil sebagai anak angkat oleh Tan Sri Omar dan Puan Sri Jamilah apabila mereka tidak mempunyai  anak lelaki. 

Apabila Tan Sri Omar dan isterinya meninggal dalam satu kemalangan, Razak telah diwasiatkan menjaga cucu perempuannya Ratna, 19 yang juga telah kehilangan ibu dan bapanya. 

Razak ialah seorang yang suka berfoya-foya, berparti liar tapi pada masa yang sama dia juga perlu menunjukkan teladan yang baik pada Ratna.

Oleh itu dia mencipta seorang adik bernama Rahmat yang kononnya banyak masalah dan tinggal di Kuala Lumpur. Dia terpaksa selalu ke KL untuk menyelamatkan adiknya Rahmat. Itulah alasan Razak supaya dia dapat berparti di KL. 

Azman pula ialah seorang pemuda yang juga yatim piatu. Dia dibela oleh makciknya Datin Azizah dan suaminya Datuk Zainal.  Datin Azizah mempunyai seorang anak perempuan bernama Rose. Rose ialah teman wanita Razak. 

Azman yang bosan duduk di rumah, telah mencipta pula seorang kawan bernama Bunyamin. Menurutnya, Bunyamin selalu sakit dan dia terpaksa melawat Bunyamin untuk menjaganya. 

Ini adalah kerana Bunyamin pernah selamatkan nyawanya ketika sama-sama belajar di UK dulu. Itu pula adalah alasan Azman supaya dia boleh keluar dari rumah itu untuk berparti sama seperti pembohongan yang dilakukan oleh Razak.

Apa kesudahannya kisah Razak dan Azman ini?

Sudah tentu, anda perlu  tonton ‘Mencari Rahmat’ apabila di ditayangkan di pawagam pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu marilah kita sama-sama juga ‘mencari rahmat’ agar pandemik COVID-19 dapat diputuskan menjelang akhir tahun ini supaya kita semua dapat ke pawagam menonton ‘Mencari Rahmat’. 

Moga dipermudahkan! - KitaReporters




0
0
0
0
0
You will be interested