Seni & Sukan 28 Oct, 2020

Luahan Perasaan Zynakal! Kenali, fahami perasaan orang lain!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

SUDAH menjadi resam manusia, seribu kebaikan yang dilakukan akan hilang dalam sekelip mata dengan satu kesilapan. Malah kesilapan itulah yang akan dikaitkan dengan peribadi kita, pada hal semua orang ada kekhilafan. Bukan setakat itu saja, manusia juga gemar menilai seseorang secara luaran tanpa mengenali peribadi sebenar individu tersebut. : KitaReporters


Single baharu, Perasaan merupakan luahan isi hati Zynakal.


Lagi cerita-cerita berkaitan single terbaru:

https://kitareporters.com/search?search=single+terbaru


Situasi itulah yang sering dilalui oleh Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli.

Menurut Zyn, sudah menjadi lumrah manusia suka mengadili tanpa mengenali atau memahami dahulu seseorang atau sesuatu keadaan. Katanya, kadangkala manusia lupa bahawa orang yang mereka benci itu pun ada perasaan juga.

Sekitar Ogos 2019, nama Zyn menjadi bualan ramai kerana kontroversi yang melibatkan dirinya dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjayanya sebagai penyanyi.

Mengambil iktibar dan bangkit daripada masalah kesihatan mentalnya yang mencetus kejadian kontroversi tersebut, Zyn muncul dengan lagu Sakit, kolaborasi bersama Yonnyboii pada Disember 2019.

“Biasalah dalam masyarakat kita, ada manusia yang suka menilai orang lain tanpa usul periksa. Peliknya orang yang mereka benci itu bukannya kenalan rapat pun.

“Mengata orang atau memberi komen yang negatif memang seronok tapi pernah tak fikir, jika diri kita yang berada dalam situasi orang yang dikatakan itu. Kiranya, single Perasaan ini adalah apa yang saya alami dan ini adalah isi hati saya,” jelas Zyn tentang lagu ciptaan baharunya itu.


Zyn berharap orang ramai tidak menilai seseorang tanpa mengetahui situasi sebenar yang dilalui oleh orang berkenaan.



Sejak berkongsi video petikan lagu ini dalam laman Instagramnya pada 22 September 2020 lalu, video tersebut sudah ditonton lebih 260,000 kali dan mendapat reaksi positif peminat.

Menyifatkan lagu Perasaan adalah cerminan rasa apa yang ada di hati sanubarinya, Zyn berkata, dari dulu, muzik menjadi wadah untuknya meluahkan apa yang terbuku di hati. 

“Lagu ini cuba menyelami perasaan mereka yang dalam kesedihan namun perasaan mereka itu diperlekehkan atau dinafikan. Sudah menjadi lumrah manusia suka mengadili tanpa mengenali atau memahami dahulu seseorang atau sesuatu keadaan.

“Kadang-kadang kita lupa orang yang kita benci itu pun ada hati dan perasaan juga. Jadi berpada-padalah dalam setiap perbuatan, kerana kesannya ke atas orang lain kita tidak tahu. Itulah yang saya cuba sampaikan melalui lagu Perasaan ini,” jelasnya yang masih berduka di atas kehilangan ibu tersayang, Allahyarham Zuraidah Ibrahim pada 26 September 2020 lalu.


Zyn mengadakan persembahan pertama di televisyen sewaktu program Big Stage baru-baru ini.


Lagu Perasaan yang merupakan single pertamanya di bawah label Warner Music Malaysia itu boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 23 Oktober 2020 lalu.

Karya Zyn yang dicipta berdasarkan pengalaman peribadinya ternyata mendapat sambutan hangat dan buktinya adalah lagu Sakit yang liriknya dihasilkan oleh beliau. 

Lagu Sakit gubahan Yonnyboii itu mendapat sambutan positif daripada pendengar sehingga berjaya menduduki #1 pada carta RIM ‘Lagu Yang Paling Banyak Distrim’ selama 14 minggu berturut-turut dan sehingga ke hari ini masih kekal dalam carta tersebut untuk minggu yang ke-39.

Sejak kemunculannya pada tahun 2018, untuk pertama kalinya Zyn berpeluang muncul di kaca televisyen membuat persembahan sebagai artis undangan dalam program Showcase Big Stage 2020 pada 4 Oktober 2020 lalu.

Setiap lagu yang dihasilkan oleh Zyn berdasarkan pengalamannya.


Zyn bermula dalam industri muzik sebagai komposer pada tahun 2017 menerusi lagu Sabar, nyanyian Ismail Izzani yang diciptanya bersama Omar K, Adib Hamdi dan Ismail Izzani. 

Pada tahun 2018, Zynakal mula menempa nama sebagai penyanyi menerusi single debutnya Terbang, lagu ciptaanya bersama Sufian Suhaimi, Sabbala dan Faiz Ruzaini.

Pernah berkolaborasi bersama Caprice, MK dan Tuju menerusi lagu BAL pada tahun 2019. Namun namanya makin popular pada penghujung tahun 2019 apabila muncul berkolaborasi dengan Yonnyboii menerusi lagu Cemburu dan Sakit.

Malah Zyn juga pernah muncul berama Mark Adam dan Shuib Sepahtu dalam lagu Teh Terakhirku pada Julai 2020 lalu. : KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested