Seni & Sukan 23 Oct, 2021

Hobin Jang Hobin kena Covid-19! Negeri Sembilan tarik diri Piala Malaysia! Kalah 3-0 baki 4 aksi

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

NEGERI Sembilan FC, juara Liga Perdana 2021 sekali gus dinaikkan ke Liga Super 2022. - Kredit foto: NSFC


SAINGAN Piala Malaysia 2021 yang bakal bersambung semula 29 Oktober 2021, menerima tamparan mengejut dengan pengumuman penarikan diri Negeri Sembilan FC (NSFC), bekas juara tiga kali. 

Keputusan itu diambil berikutan 20 pemain dan empat pegawai pasukan juara Liga Perdana 2021 itu disahkan dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau 10 hari oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Penarikan Si Rusa kendalian K. Devan ini diumumkan dalam laman Facebook rasminya pada 22 Oktober 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia

KENYATAAN NSFC berhubung penarikan diri daripada baki aksi Piala Malaysia 2021 akibat Covid-19. - Kredit foto: NSFC


Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada siaran media, hari yang sama, menyebut: “Negeri Sembilan FC yang mula menjalani prosedur pengasingan atau kuarantin bermula 18 Oktober 2021 hingga 27 Oktober 2021, tidak dapat meneruskan perjuangan dalam peringkat Kumpulan C kerana mereka diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari yang ditetapkan kementerian itu.

“Dalam surat makluman kepada MFL, mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan baki saingan Piala Malaysia 2021 pada peringkat Kumpulan C dan tidak melibatkan pasukan-pasukan lain demi menjaga gelembung sukan bola sepak dan menjaga keselamatan pegawai dan pemain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam siaran itu.

Negeri Sembilan FC menurutnya, melalui doktor pasukan mereka menjelaskan, pegawai dan pemain yang positif akan memperoleh beberapa kesan sampingan akibat jangkitan Covid-19 antaranya penurunan tahap kecergasan fizikal dan melemahkan, gejala jangkitan susulan, komplikasi kardiovaskular dan perubatan lain.


STUART RAMALINGAM


Justeru kesemua baki empat perlawanan Negeri Sembilan FC dalam Kumpulan C Piala Malaysia 2021 diberikan kemenangan secara automatik 3-0 kepada pasukan lawan.

“Merujuk Bahagian 13: Pematuhan SOP Penganjuran Perlawanan Piala Malaysia 2021, sekiranya terdapat pegawai atau pemain yang didapati positif Covid-19 dan mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari seperti yang ditetapkan KKM sehingga kelab itu tidak dapat menjalani latihan dan menyertai pertandingan, maka perlawanan yang melibatkannya, akan dibatalkan serta dikira kalah 0-3,” katanya.

Negeri Sembilan FC, bekas juara Piala Malaysia 1948, 2009 dan 2011, kini menduduki tempat ketiga Kumpulan C selepas mencatatkan tiga mata daripada dua perlawanan.


SI Rusa (berjersi putih) ketika menghadapi Kelantan United FC dalam Piala Malaysia di Kota Bharu, 1 Oktober 2021. - Kredit foto: NSFC


Baki empat perlawanannya ialah menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban pada 29 Oktober 2021 dan di Stadium Darul Aman, Alor Setar (2 November 2021).

Selain itu menentang Melaka United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman dan Kelantan United FC pada 6 dan 9 November 2021 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

MFL dalam pada itu kata Stuart, mendoakan kesihatan pegawai dan pemain Negeri Sembilan FC yang disahkan positif Covid-19 dan berharap mereka terus cekal menghadapi ujian ini selain mampu kembali beraksi di pentas Liga Malaysia akan datang.

“Satu perkhabaran yang sememangnya tidak diingini dan saya mewakili pihak MFL mendoakan agar kesemua pegawai dan pemain Negeri Sembilan FC akan kembali pulih seperti biasa.

“Dalam masa yang sama saya juga berharap pasukan-pasukan lain sentiasa kekal berdisiplin dan menjaga gelembung sukan demi memastikan perjalanan pasukan dalam kempen Piala Malaysia 2021, tidak terjejas,” kata Stuart. - KitaReporters


NEGERI Sembilan kempunan meneruskan kejayaan juara Liga Perdana dengan Piala Malaysia pada musim 2021 ini. - Kredit foto: NSFC

12
11
0
15
0
You will be interested