Seni & Sukan 01 Mar, 2024

Video| Peranan kelab, persatuan pengaruhi pembentukan peribadi! AKSIS iktiraf kecemerlangan pelajar!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


Memikul tanggungjawab sebagai pemimpin kelab atau persatuan dalam organisasi di kampus adalah antara latihan dalam pembentukan peribadi pelajar. 

Pada peringkat ini, pelajar akan mempunyai kecenderungan untuk menyumbang idea, mempraktikkan kemahiran pengucapan awam, mempunyai daya fikir kreatif dan kritis serta berupaya menyelasaikan masalah. 

Kebanyakan tindakan dan perilaku yang diperoleh melalui pergaulan, percampuran dengan pelajar lain, staf, komuniti dan perhubungan melalui jaringan yang dibina bersama pihak industri akan memberi nilai tambah terhadap kematangan mereka.

Secara tidak langsung, hal ini akan memberi kesan kepada kaedah memimpin dalam mengaplikasi kaedah yang boleh diguna pakai mengikut kesesuaian dalam pengurusan program. 

Kejayaan sesebuah program atau aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan memerlukan sebuah pengorbanan dengan nekad yang utuh agar ia berjaya dan semua ahli serta jawatankuasa terlibat gembira merasai kejayaan dalam bentuk kerja berpasukan.

Perwatakan sebagai pemimpin akan terbina melalui pengalaman yang dilalui mengikut peringkat umur kehidupan dari kecil sehingga dewasa. Keterlihatan watak dan perwatakan antara pemimpin dan pengikut juga boleh dilihat melalui aktiviti berpersatuan. 



Bagi mengimbangi perwatakan pelajar dan keperluan mereka sebagai bekalan apabila berada dalam komuniti masyarakat dan industri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM (AKSIS).  

Dalam usaha mengimbangi keperluan secara holistik dan mengukuhkan kebitaraan bidang pelajar USIM, AKSIS dianjurkan untuk mengiktiraf sumbangan dan bakat pelajar melalui penganjuran aktiviti yang memberi impak yang dijalankan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Selain itu, penganjuran aktiviti yang melibatkan komuniti dan memberi manfaat bersama turut diiktiraf untuk dipertanding kerana program seumpama ini berpotensi menghasilkan jaringan USIM bersama pihak luar.

Sejumlah 83 pencalonan diterima daripada pelbagai jabatan, fakulti dan badan persatuan pelajar bagi penganjuran kali ke-12 ini. Sementara itu, sejumlah 35 calon telah disaring pada peringkat seterusnya bagi melalui sesi temu duga dan role play yang diadili panel penilai yang telah dilantik.



Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menyifatkan bahawa universiti adalah medan terbaik kepada pelajar untuk menekuni masa yang ruang pembelajaran yang bukan sahaja tertumpu dalam bilik kuliah namun di luar kuliah dan meluaskan lingkungan sosial yang mampu membangunkan peribadi dan memberi manfaat. 

Beliau hadir menyempurnakan perasmian Majlis AKSIS dan turut menyampaikan anugerah Penghargaan Khas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti kepada Kelab Seni Budaya USIM yang dinobatkan sebagai pemenang. 

Tokoh AKSIS disandang oleh Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sesi Akademik 2022/2023. Aufa Abdullah pula telah diangkat sebagai Ikon Graduan Integrasi IImu Naqli dan Aqli (GIINA) USIM.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penilai menyifatkan bahawa AKSIS adalah landasan untuk menyaring calon-calon USIM ke anugerah Tokoh Siswa peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Melalui pengiktifaran yang diberikan, pelajar digalakkan meningkatkan impak pelaksanaan program yang memberi manfaat dalam jangka masa panjang kepada kumpulan sasar. Beliau turut menambah bahawa penerokaan ilmu dan pengalaman menyumbang kepada nilai tambah aspek kemahiran insaniah pelajar.

Anugerah AKSIS juga memperlihat kelab di bawah Pusat Kebudayaan USIM telah memenangi empat anugerah iaitu Anugerah Kepimpinan Kebudayaan oleh Pengerusi Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni, Danish Zhafran Onn; Anugerah Kepimpinan Keusahawanan diperoleh pengerusi Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni, Muhammad Fikri Hairulazmy; dan Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek telah dimenangi Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Najmi Adli Mustaffa.



AKSIS pada kali ini turut menyaksikan Dato’ Nash sebagai penerima anugerah sumbangsih kategori individu. Beliau merupakan Karyawan Seni USIM yang dilantik sejak 2016 hingga kini dan telah banyak memberi sumbangan terhadap program seni budaya di USIM. Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM pula telah dipilih sebagai pemenang Sumbangsih kategori organisasi. 

Sejumlah 19 anugerah telah disampaikan kepada 21 penerima yang diadakan di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM. 

Turut hadir ke majlis ini adalah ketua-ketua Jabatan, timbalan-timbalan Dekan HEPA serta badan dan persatuan pelajar dan turut disiarkan secara langsung melalui platform USIM TV. - KitaReporters/USIM

14
14
0
11
0
You will be interested