Kerajaan Malaysia berikrar memastikan persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.


"Ini bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran, tetapi dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia, " kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu hantaran dalam akaun rasmi Facebooknya pada 22 Disember 2025.
Menurut laporan, Malaysia telah menetapkan tarikh penganjuran Sukan SEA 2027, temasya edisi ke-34 itu, pada 18 September hingga 29 September 2027 dan bakal berlangsung di empat kluster utama iaitu di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Manakala Sukan Para ASEAN ke-14 pula akan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027.

Terdahulu, Perdana Menteri merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand baru-baru ini.
"Kejayaan ini adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.
"Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani pada peringkat serantau dan antarabangsa," tegasnya.

Menurut beliau, lebih daripada itu, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang menyatukan kita merentas kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.
"Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media