
Tunku Bendahara Kedah, Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut menunjuk aski semasa menyertai kejohanan itu.
Tahun ini (2025), Kejohanan Golf Amal 2025 berlangsung lagi dengan meriahnya di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Acara diadakan pada 16 Julai 2025 lalu itu adalah inisiatif bersama Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).
Lebih 80 pemain golf dari seluruh negara menyertai kejohanan itu yang terdiri daripada agensi korporat, penderma individu, wakil kerajaan dan rakan-rakan strategik yang turut serta dengan komitmen untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
Sempena majlis penyampaian hadiah kejohanan itu, pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan amal berjumlah RM290,000.

Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (tengah) menerima replika cek sumbangan RM80,000 daripada penaja utama Pertandingan Golf Amal YSB-PBSMM 2025 iaitu Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng yang disampaikan oleh pengerusinya, Brigedier Jeneral (K) Tan Sri Dr. Fng Ah Seng.
Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim selaku pengerusi kejohanan berkata, YSB komited untuk terus membantu golongan yang memerlukan melalui dana hasil kutipan diberikan.
Menurutnya, sumbangan akan digunakan untuk menyokong pelbagai program kebajikan dan bantuan kemanusiaan.
YSB yang ditubuhkan pada tahun 1996, kini memasuki tahun ke-28 penganjuran kejohanan golf amal tersebut sebagai satu usaha berterusan bagi menjadi platform penting dalam bidang sukan.
Melalui kejohanan sukan itu, banyak pandangan diberikan oleh pihak komuniti.

Tunku Puteri Intan Safinaz (tengah) menerima replika cek berjumlah RM35,890 daripada salah satu penaja Pertandingan Golf Amal YSB-BSMM 2025 iaitu Jin Bin Corporation Sdn Bhd yang disampaikan oleh Wilson Koay selaku Pengarah Perniagaan & Operasinya.
PBSMM pula yang beroperasi selama 77 tahun di bawah Akta Parlimen Malaysia 540, kekal komited sebagai badan auxilari kerajaan dalam bidang kemanusiaan.
Dengan rangkaian sukarelawan yang meluas itu, PBSMM aktif menjalankan operasi respons bencana, mempromosikan kesihatan awam serta melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan di peringkat nasional dan serantau.

Che Puan Besar Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun turut serta dalam kejohanan itu.
"YSB dan PBSMM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak kerana terus memberi kepercayaan dan sokongan berterusan dalam memperkukuh kehidupan masyarakat Malaysia yang berdaya tahan dan prihatin," kata Tunku Puteri Intan Safinaz selaku Pengerusi Kebangsaan PBSMM itu. - KitaReporters