Seni & Sukan 12 Aug, 2024

Video| 2 dalam 1! Azmi Saat lancar single Majnun! Karyawan lancar pasukan & jersi kelab bola sepak!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Bila disebut ‘Laila Majnun’ pastinya fikiran kita akan melayang  pada karya yang difilemkan sebagai filem Melayu hitam putih pertama pada tahun 1934 lakonan pelakon bangsawan, M. Suki yang dihasilkan oleh pengarah dari India, B.S. Rajhans terbitan syarikat Motilal Chemical yang beroperasi di Singapura.

Karya ini diadaptasi daripada cerita cinta klasik rakyat Timur Tengah waima ‘Majnun’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘Gila’. 

Setelah filem tersebut diterbitkan semula pada tahun 1962 dengan menampilkan pasangan popular dalam filem, Allahyarham Nordin Ahmad dan Allahyarham Latifah Omar ia terus diingati sehingga ke hari ini.

Mengembalikan kisah yang memberi mesej ‘mencintai itu tidak semestinya perlu memiliki’ menjadi pilihan single terbaharu Azmi Saat dengan judul ‘Majnun’.


Dari kiri: Fauzi Ahmad, Azmi Saat, Freddie Fernandez dan Azri Osman yang bersama melancarkan single 'Majnun' pada program Santai Seni @TAR baru-baru ini.



“Dalam bahasa Arab, ‘Majnun’ itu bermaksud ‘gila’,” ujar Azmi memulakan bicara pada majlis pelancaran single terbaharunya itu yang berlangsung serentak dengan program ‘Santai Seni @ TAR' serta pelancaran pasukan bola sepak dan jersi rasmi Persatuan Karyawan Malaysia untuk Kelab Bola Sepak Karyawan atau dalam bahasa Inggerisnya, ’Karyawan Football Club’.

Ketiga-tiga acara berkenaan berlangsung di hadapan panggung wayang ikonik, Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Ahad, 11 Ogos 2024 lalu dengan kehadiran Presiden Karyawan Malaysia, Dato Freddie Fernandez bersama bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Dato Dollah Salleh dan Dato Subadron Aziz serta barisan team bola sepak Karyawan yang diketuai Hairee Kool.

Turut hadir Pengurus Besar MAP Music, Azri Osman dan Ketua Unit CATS DBKL, Fauzi Ahmad serta Ahli Jawatankuasa Karyawan antaranya Rozita Rohaizad, Radhi Khalid serta Kamal Kasim.



Berkongsi lanjut mengenai single ‘Majnun’, Azmi Saat turut tidak ketinggalan menyebut nama Laila waima 'Laila Majnun' sudah sinonim mengenai pasangan yang terkenal kerana cintanya Laila kepada kekasihnya ditolak sehingga lelaki itu menjadi gila dan dinamakan ‘Majnun’.

“Jadi bukan bererti ‘Laila Majnun’ itu bermaksud ‘Laila Gila’ ya… “, ujar Azmi dalam ketawa kecil saat menceritakan kisah di sebalik lagu terbaharunya itu.

Malah vokalis kumpulan Caliph Buskers ini memberitahu, lagu ‘Majnun’ menceritakan tentang pahit yang harus ditelan oleh Majnun apabila cintanya terhalang tetapi hanya bayang dibuai mimpi kerana mencintai itu tidak semestinya perlu memiliki dan tak semua yang dimiliki itu dicintai. 

"Walaupun perit, namun itu adalah keindahan cinta yang sejati, rasa yang tersemat mati di dalam hati, selamanya,” jelas Azmi berhubung lagu solonya itu di bawah terbitan Media Asia Production Sdn Bhd atau MAP Music.

Menurut Azmi sepanjang menghasilkan rakaman ‘Majnun’ beliau terpaksa cuba sebaiknya untuk menyatu dengan perasaan dan emosi bagi menyampaikan sebuah penceritaan yang menambat sanubari pendengar. 


Pelancaran pasukan bola sepak dan jersi pasukan Kelab Bola Sepak Karyawan.


Sementara itu, pada majlis yang sama, turut menyaksikan pelancaran pasukan dan jersi rasmi pasukan Kelab Bola Sepak Karyawan yang mendapat tajaan dari Panca Abadi Automobil Sdn Bhd dan juga sokongan daripada jenama selipar premium ANH. 

Menurut Freddie Fernandez, suatu ketika dahulu, Karyawan mempunyai biro sukan yang agak aktif dan telah menerima pelbagai pelawaan bagi perlawanan persahabatan dari Semenangjung sehingga ke Sabah dan Sarawak, terutama pasukan bola sepak dan bowling, namun la terhenti agak lama disebabkan pelbagai keadaan terutama sewaktu pendemik.

“Baru-baru ini Hairee Kool datang berjumpa menyarankan agar pasukan bola sepak diaktifkan kembali dengan mengemukakan barisan pemain hebat yang terdiri dari para selebriti,” jelas Freddie sambil memaklumkan beberapa rakan rapat Karyawan yang terdiri dari ikonik bola sepak begara iaitu Dollah Salleh, Subadron Aziz dan Faiz Subri “PUSKAS” bersetuju menjadi penasihat pasukan.

Sambung Freddie, mereka akan membuat penampilan pada mana-mana siri perlawanan yang bersesuaian. 

“Ini satu kombinasi yang hebat dan gah bagi pasukan bola sepak Karyawan,” tambah Freddie Fernandez. 



Dalam pada itu, selaku Kapten dan Koordinator Pasukan, Hairee Kool memaklumkan dengan wujudnya pasukan bola sepak Karyawan akan memberi ruang kepada rakan-rakan artis untuk merapatkan lagi ukhwah dan juga terus sihat. 

“la aktiviti yang amat kami gemari dari zaman remaja dan pastinya rehlah sebegini juga satu ruang bagi para peminat untuk bertemu kami di padang bola. Nak tengok Johan Raja Lawak, Anye Yassin dan rakan-rakan artis lain buat “lawak" gelecek bola, silaiah jemput ‘Karyawan Football Club’,” ujar Hairee Kool.


Hairee Kool (baju-T merah) memperkenal antara barisan pasukan Kelab Bola Sepak Karyawan.


Bagi sesiapa yang ingin menjemput Pasukan Bola Sepak Karyawan bagi perlawanan persahabatan boleh menghubungi terus Koordinator pasukan iaitu Hairee Kool melalui talian 011-64595069 atau Freddie  Fernandez melalui talian  012-2071400. 

“Kebiasaannya kami akan mengenakan fee dalam kadar tertentu sebagai bayaran token kepada pemain selebriti ini dan beberapa persen akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan Karyawan, bagi membantu artis yang uzur dan menghadapi masalah.

“Kami mahu terus berseni dengan badan yang lebih sihat,” ujar Freddie bersemangat mengakhiri perbualan. - KitaReporters


Program Santar @ TAR yang dianjurkan dengan kerjasama DBKL turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan muzik jalanan, iaitu Kumpulan Silvertone Feat Ebadey Jackson sebagai penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu Michael Jackson.

12
14
0
10
0
You will be interested