Seni & Sukan 22 Nov, 2024

Isi Tabung Kebajikan PDRM! Jamal, Ziana dan Ella tampil pada Majlis Makan Malam Amal Blue Serenade!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Sempena Tahun Melawat Melaka 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Kelab Jabatan Pengurusan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan majlis makan malam amal bertemakan “Blue Serenade Charity Dinner” pada 28 Disember 2024 (Sabtu) di Melaka International Trade Centre (MITC).

Acara yang julung kali diadakan itu akan bermula pada jam 8 malam hingga 11 malam, menampilkan tiga penyanyi legenda, Dato Jamal Abdillah, Ziana Zain dan Ratu Rock Ella bersama bekas pemain gitar utama kumpulan Wings, Jo Branko dan Douglas Lim termasuk persembahan eksklusif Orkestra PDRM yang dianggotai 75 pemuzik handalan.



"Program makan malam amal ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi Tabung Kebajikan PDRM, sekali gus membantu kebajikan warga pasukan keselamatan tersebut,” ujar Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato’ Seri Azmi Abu Kassim pada sidang media ‘Blue Serenade Charity Dinner ‘ yang berlangsung di Bukit Aman pada  20 November 2024.

Turut hadir Jamal Abdillah dan Jo Branko atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir yang juga popular dengan panggilan Joe Wings ketika bersama kumpulan Wings.

Bercakap lanjut, Azmi (gambar bawah, dua dari kiri) memaklumkan dana yang diperoleh bukan sahaja akan digunakan untuk memperkukuh kedudukan kewangan tabung kebajikan PDRM tetapi juga untuk membantu menambah baik peralatan muzik Orkestra PDRM agar sentiasa terpelihara dan tidak lapuk.



Ketika ditanya mengenai sasaran jualan untuk konsert, beliau menjelaskan bahawa matlamat utama bukanlah untuk meletakkan sasaran yang besar tetapi fokus kepada tujuan amal.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran dari segi kewangan cuma berharap sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, kelab, serta persatuan amal untuk menjayakan usaha murni ini. Ia bukan sahaja bertujuan menambah dana kebajikan tetapi juga merapatkan hubungan antara pihak polis dan masyarakat,” tambah Azmi.



Selain majlis Amal “Blue Serenade Charity Dinner” Bersama Orkestra PDRM pada sebelah malam, PDRM juga akan mnganjurkan Karnival 'Community Policing' (Pengawasan Setempat) pada sebelah pagi hingga petang pada hari yang sama.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya reruai pameran dan jualan, diskaun khas untuk saman trafik PDRM serta sesi ‘Meet & Greet’ bersama kepimpinan tertinggi PDRM dan pengaruh media sosial serta pertunjukan udara dan terjunan tepat.

Mengakhiri penjelasannya, Azmiturut berharap penganjuran ini dapat memberi impak positif kepada kebajikan anggota PDRM sambil mempromosikan hubungan mesra dengan komuniti setempat.


Jamal Abdillah dan Jo Branko. - Foto: FAS


Sementara itu, ditanya mengenai persembahan, Jamal Abdillah memberitahu akan menyampaikan lebih kurang 5 hingga 6 buah lagu termasuk medley,  antaranya  adalah lagu ‘Gadis Melayu’ dimana beliau akan berkolaborasi dengan Jo Branko. 

“Setekat ini belum ada perancangan untuk berduet bersama Ziana mahu pun Ella yang akan bersama pada malam tersebut selain Jo Branko yang akan mengiringi saya untuk lagu ‘Gadis Melayu’,” tambah pemilik nama sebenar, Jamal Ubaidillah Mohd Ali ini. 



Dalam perkembangan lain, Jamal turut melahirkan sokongan dan galakkannya terhadap keputusan anaknya Zaki Yamani yang akan bersaing dalam program nyanyian realiti, ‘One In A Million’  (OIAM) yang kembali dianjurkan Media Prima selepas 15 tahun dengan judul baharu ‘Calpis Soda One In A Million’ selari dengan nama penaja utamanya,

“Ini satu platform yang baik untuk proses pembelajaran bagi Zaki menjadi seorang artis dan dia harus menyediakan lagu-lagu yang ‘super’ untuk pertandingan kerana bukan semua lagu boleh dibawa untuk pertandingan. 

"Jadi dia kena pilih dari sekarang dan harus berusaha sungguh-sunguh,” jawab Jamal memberikan pandangannya terhadap keputusan Zaki menyertai pertandingan Calpis Soda OIAM. - KitaReporters


Jamal menyokong keputusan anaknya Zaki Yamani sertai 'Calpis OIAM'.


10
8
0
18
0
You will be interested