
Jamal Abdillah menjayakan konsert solonya, baru-baru ini.
Assalamualaikum dan salam perkenalan. Izinkan Kak Jah berkongsi cerita dengan pembaca dalam kolum Pot Pet ini ya. Kak Jah percaya ramai dalam kalangan pembaca kalau diajak pergi tengok konsert pasti tak akan menolak, tambahan pula kalau artis kesukaan yang menjayakan persembahan.
Inilah masanya untuk peminat mengeluarkan bakat nyanyian semula jadi tatkala menonton penyanyi kegemaran. Kak Jah percaya mana ada orang yang datang menonton konsert hanya mendiamkan diri tanpa ‘berkaraoke’ bersama dengan si penyanyi.
Alhamdulillah, sejak Januari sehingga Februari 2025 lalu boleh dikatakan setiap minggu ada saja konsert yang berlangsung di bumi bertuah ini.
Jika sebelum ini kebanyakan konsert yang diadakan sering mengetengahkan penyanyi dari luar, namun kali ini artis tempatan juga berpeluang menyanyi di pentas berskala besar kerana semakin ramai yang berani dan berkemampuan menjadi penganjur.
Antara konsert yang telah berlangsung adalah Konsert Rentas Masa (31 Januari), Konsert Tomok & Siti Nordiana - Memori Mungkin Berulang (1 Februari), Konsert Nidji 2.3: The New Chapter (2 Februari), Konsert Muzik Harmony Charly Van Houten (7 Februari), Konsert Hitam Manis (8 Februari), Konsert Sixth Sense Hori2ontal – Celebrating 20 Years (9 Februari), Konsert Dato’ Jamal Abdillah – Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura (15 Februari) dan beberapa konsert lain.

Siti Nordiana dan Tomok juga menjayakan Konsert Memori Mungkin Berulang.
Apabila konsert yang dianjurkan bertali arus, peminat pun tak tahu nak pilih mana satu untuk dilaburkan wang mereka. Tiket paling murah pun sekurang-kurangnya berharga RM100 lebih.
Tambahan pula sejak awal Januari mana-mana peminat muzik yang sudah berkeluarga pasti fikir dua tiga kali untuk membeli tiket kerana wang itu lebih diperlukan untuk keperluan anak-anak bersekolah. Begitu juga apabila Syawal semakin hampir, banyak perkara yang perlu difikirkan dan bukan hiburan semata-mata.
Meskipun pengumuman konsert berkenaan diuar-uarkan pada tahun lepas (2024), namun ada juga konsert yang Kak Jah pergi tampak ada ruang kosong, aci boleh berubah tempat duduk lagi.
Satu lagi yang Kak Jah perasan, kalau ada yang hadir konsert diiringi anak-anak yang kita tahu penyanyi tersebut bukan era golongan Gen Z, kemungkinan tiket yang diperolehi itu bukan dibeli sebaliknya mendapat secara percuma. Logiknya, kita akan beli tiket kalau betul-betul suka dengan penyanyi tersebut.
Walaupun penyanyi tersebut merupakan seorang legenda, ada ketikanya penganjur tidak boleh bergantung kepada nama semata-mata. Penganjur kena lihat kuasa pembeli tiket dan bukan demi mengukir nama sebagai penganjur yang aktif menganjur konsert. Apa guna anjur konsert kalau tidak mendatangkan keuntungan kepada semua yang terlibat.
Menggabungkan beberapa nama ternama di satu pentas belum tentu menjadi daya tarikan untuk orang ramai membeli tiket. Pada pandangan penganjur, penonton beruntung sebab di satu pentas dapat mendengar pelbagai lagu yang disampaikan oleh beberapa penyanyi berbeza.
Pandangan peminat dengan penganjur mungkin tidak sama. Sebagai seorang peminat kepada penyanyi berkenaan, sudah tentulah dia nak dengar lebih daripada tiga buah lagu yang dinyanyikan oleh idolanya itu agar berbaloi dengan wang yang dilaburkan.
Memanglah ada penyanyi ternama lain tapi kalau itu bukan pujaannya, sudah pasti peminat itu berfikir dua tiga kali sebelum membeli tiket.
Lagi satu kalau gabungkan ramai penyanyi yang rata-rata ada kelompok peminat sendiri, konsert itu umpama program Hiburan Minggu Ini yang boleh ditonton di kaca televisyen. Penyanyi itu keluar menyanyi dua tiga lagu, kemudian digantikan oleh orang lain pula.
Sekiranya pentas itu milik seorang penghibur, sudah pasti penyanyi itu boleh berkongsi momen indah tentang lagu yang didendangkan dan berkomunikasi dengan penonton secara dekat.
Jika hanya seorang saja ‘Superstar’ yang beraksi di pentas, kemungkinan besar penyanyi itu akan membuat pelbagai persiapan dan gimik untuk menghiburkan penonton yang hadir.

Sembilan orang penyanyi menjayakan Konsert Rentas Masa.
Daripada penilaian Kak Jah yang hadir beberapa konsert, ada penyanyi menganggap konsert mereka itu sebagai satu tugasan biasa saja iaitu “aku dibayar untuk menyanyi”. Hal-hal lain bukan urusan aku.
Sebuah konsert yang mega memerlukan persiapan yang padu dari segi pilihan lagu, penataan cahaya untuk disesuaikan dengan lagu yang disampaikan kerana jika kena dengan gayanya, lagu itu tampak lebih bermakna.
Harap selepas ini kalau ada penganjur yang nak buat konsert, fikirlah dari pelbagai sudut dan bukan main tangkap muat saja.
Penyanyi pun janganlah rasa diri terlalu diva sangat kalau masih setahun jagung dalam industri seni. Jika ingin juga nak merasai ala-ala konsert buatlah mini showcase dulu. Biar kecil janji persembahan itu menjadi bualan ramai. Kemudian bila sampai masa barulah all out buat konsert mega. - KitaReporters
Tags: