Dua permata muzik dari dua negara jiran, Ernie Zakri dari Malaysia dan Anggi Marito dari Indonesia, kini bersatu dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi pelancaran single terbaharu mereka, "Kisah Penuh Kecewa".
Lagu 'power ballad' yang menyentuh jiwa ini bukan sekadar melodi, malah ia adalah cerminan emosi perpisahan cinta yang sarat dengan kekecewaan, namun disulam indah dengan semangat ketabahan dan kekuatan untuk bangkit semula.
"Kisah Penuh Kecewa" merupakan hasil nukilan bersama Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito, dan S/EEK.
Gabungan kekuatan vokal dan emosi mendalam daripada kedua-dua penyanyi ini diramal akan memukau peminat muzik di Malaysia dan Indonesia, serta seluruh rantau yang menghargai karya-karya bernuansa emosi.
Ernie Zakri, yang juga merupakan pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39), menjelaskan bahawa lagu ini mengisahkan tentang cinta yang berakhir bukan kerana hilangnya rasa sayang, tetapi disebabkan salah seorang pasangan memilih untuk tidak lagi meneruskan hubungan.
Walaupun diselubungi kekecewaan, lagu ini menyerlahkan kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.
"Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran," jelas Ernie, menggambarkan intipati lagu tersebut.
Proses rakaman lagu ini turut memberikan pengalaman yang bermakna buat Ernie di mana beliau terpaksa merantau ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi di sana, walaupun berdepan cabaran berpuasa pada bulan Ramadan ketika rakaman dijalankan.

Ernie Zakri dan Anggi Marito.
“Rakaman berjalan dengan baik, tidak banyak cabaran. Cuma ketika itu kita sudah memasuki bulan Ramadan, jadi agak mencabar juga bila tak boleh minum air ketika rakaman. Kalau sakit tekak pun kena tahan. Tapi selain itu, alhamdulillah semuanya berjalan lancar," kenangnya.
Ernie turut melahirkan rasa teruja dan bertuah dapat bekerjasama dengan tenaga kreatif berbakat seperti Clara Riva (penulis lagu), S/EEK (penerbit muzik), serta IRVNAT selaku pengarah vokal yang memberikan bimbingan teknikal sepanjang proses rakaman selain dapat bekerjasama dengan Anggi, yang disifatkannya sebagai salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia, menjadikan projek ini sangat bermakna dalam kerjaya seninya tahun ini.
Menurutnya, kolaborasi antara beliau dan Anggi membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan, meskipun berbeza latar negara.
Gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan "Kisah Penuh Kecewa" sebuah lagu balada yang bukan sahaja menyentuh hati, malah memberikan ruang kepada pendengar untuk merasai sendiri perjalanan perpisahan yang pedih, namun penuh kekuatan.
"Lagu ini sangat 'straightforward' dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan dengan mesejnya. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini, dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman," kata Ernie lagi.

Sementara itu, bagi Anggi Marito, pemenang tempat ketiga program Indonesian Idol musim ke-11, peluang untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan yang amat besar.
Sebagai seorang peminat Ernie, Anggi menyifatkan penyanyi lagu "Aura" itu bukan sahaja mempunyai vokal yang hebat, tetapi juga mampu menyampaikan rasa dengan begitu mendalam dan menyentuh jiwa.
“Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam. Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya,” ujar Anggi penuh teruja.
Beliau turut berkongsi bahawa proses penulisan lagu "Kisah Penuh Kecewa" yang dilakukan bersama penulis lagu Clara Riva berjalan dengan lancar dan pantas, meskipun pada awalnya mereka mencari arah dari segi konsep dan tema lagu, keserasian vokal Ernie dan Anggi akhirnya membawa mereka kepada keputusan untuk menjadikan lagu ini sebuah 'power ballad' yang sarat dengan emosi.
“Penulisan lagu ini hanya memakan masa beberapa jam. Kami mengambil kira karakter suara saya dan Ernie, dan akhirnya sepakat untuk menghasilkan lagu yang menyentuh seperti ini. Ditambah pula dengan susunan muzik oleh S/EEK, lagu ini jadi lengkap dan sangat istimewa,” kongsi Anggi.

Dengan mesej jujur dan melodi yang menyentuh hati, Ernie dan Anggi berharap agar "Kisah Penuh Kecewa" dapat diterima baik oleh pencinta muzik di kedua-dua negara serta menjadi penguat semangat bagi mereka yang sedang melalui fasa kekecewaan dalam percintaan.
“Kami mahu pendengar benar-benar merasai isi hati lagu ini. Semoga ia dapat diterima dengan baik oleh semua pencinta muzik, sama ada di Indonesia mahupun di Malaysia,” sambung Ernie penuh harapan.
"Kisah Penuh Kecewa" bukan sekadar lagu duet biasa; ia adalah gabungan dua jiwa seni yang menyampaikan kisah tentang patah hati, kejujuran dalam mencintai, dan perjuangan untuk melepaskan.
Dibalut dengan melodi megah dan lirik yang menyayat jiwa, lagu ini dijangka akan menjadi siulan dan penghibur bagi mereka yang sedang mencari kekuatan untuk bangkit semula daripada kecewa. - KitaReporters
