Seni & Sukan 02 Jun, 2025

Rahmat penyelamat Oskar P. Ramlee! Seniman Agung Sadiq Sepakraga! Pernah main Piala Khir Johari!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

P. Ramlee (belakang, tiga dari kiri) bersama-sama pasukannya, Sangga Buana yang menewaskan Terengganu (barisan depan) 2-0 pada 19 Julai 1964 sebelum penyampaian hadiah perlawanan akhir Sepak Raga Jaring Antara Negeri-negeri Piala Emas Khir Johari di Stadium Negara, Kuala Lumpur. - Kredit foto: FAL


NAMANYA Oskar Sumbangsih P. Ramlee yang seolah-olah mirip Oskar Anugerah Akademi untuk karyawan filem Hollywood tetapi tiada pula kaitannya dengan lapangan seni lakon sebaliknya menjadi rebutan sebuah pertandingan sukan kegemaran dan hasil ilham Seniman Agung itu.

Oskar atau nama alternatif kepada piala, dihadiahkan oleh P. Ramlee (Allahyarham Tan Sri) bagi sebuah pertandingan sepak raga jaring (kemudiannya sepak takraw) di Singapura pada 1960 hingga 1964.   

Tanggal 29 Mei 2025 lalu ialah genap 52 tahun kembalinya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (nama sebenarnya) ke rahmatullah akibat serangan jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur dalam usia 44 tahun.

Jika bukan atas keprihatinan dan daya usaha Rahmat Abdul Hamid, oskar itu hanya akan terus tersimpan menjadi milik warga Singapura bernama Elias dan tidak mungkin dapat dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Taman P. Ramlee, Jalan Dedap, Kuala Lumpur sehingga hari ini.  


RAHMAT Abdul Hamid menunjukkan Oskar Sumbangsih Sepak Raga P. Ramlee yang pernah disimpannya dari 1976 hingga 1984 setelah memperolehnya daripada seseorang bernama Elias. - Kredit foto: BHS/SPH


Laporan akhbar Berita Harian Singapura siaran 23 Mei 1984 menyebut, Rahmat, Setiausaha Kelab Sukan Star United mula mengetahui kewujudan Oskar Sumbangsih P. Ramlee setelah bertemu pelakon Salleh Kamil (berwatak musuh ketat P Ramlee dalam banyak filem).

Kelab itu menurutnya, berhasrat mencari sebuah piala bagi sebuah pertandingan sepak takraw anjuran mereka dan Salleh yang turut pernah bermain dengan kelab sepak takraw Sangga Buana pimpinan P. Ramlee, menyarankan oskar tersebut sebagai hadiah rebutan atau piala pusingannya.

“Saya diberitahu supaya bertemu Elias yang menyimpannya dan berjaya mendapatkannya dengan perjanjian bertulis.

“Namun rancangan mempertanding oskar itu ditentang oleh Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) kerana menganggap, milik orang yang sudah meninggal dunia tidak harus dijadikan hadiah. Perses sebaliknya mengusulkan supaya oskar itu disimpan di Rumah Perses,” katanya.


RAHMAT Abdul Hamid (kiri) menyerahkan Oskar Sumbangsih P. Ramlee kepada Zakiah Hanum pada Julai 1984. 


Rahmat, penggiat bola sepak di Singapura sekitar era 70-an tidak bersetuju lalu memutuskan untuk menyimpan sahaja oskar ini mulai 1976, namun masih gagal mengadakan pertandingan sepak takraw dengannya.

“Saya gembira dapat menyerahkan oskar ini kepada pihak yang seharusnya menerima dan menyimpannya.  

“Saya rasa oskar ini bukanlah hak saya dan tidak layak menyimpannya. Saya percaya ramai orang tidak tahu tentangnya kerana mereka hanya mengenali P. Ramlee dalam bidang seni muzik dan filem,” katanya dalam laporan Berita Harian Singapura 29 Julai 1984.

Rahmat menyerahkan oskar itu kepada bekas Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datin Zakiah Hanum Abd. Hamid pada Julai 1984 untuk dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee.

Oskar yang berbentuk bujur ini diperbuat daripada gangsa dan pengalas atau kakinya daripada kayu dengan bahagian kiri dan kanannya dihiasi ukiran bunga padi manakala terdapat peta Singapura pada badannya.


OSKAR Sumbangsih Sepak Raga Jaring P. Ramlee boleh ditatap para peminat di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Kuala Lumpur. - Kredit foto: KB


Rahmat dimaklumkan, P. Ramlee menempah oskar itu di Jepun ketika menghadiri Festival Filem Asia Pasifik Ketujuh di Tokyo yang dipercayai pada 1959 di mana filem “Nujum Pak Blalang” dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik. 

Seniman Agung itu juga dilaporkan handal bermain sebagai apit kiri malah memiliki tandukan penyudah yang bisa mematikan bola di kawasan lawan dengan cepat sambil gemar mengalas kepalanya dengan tuala mini.

Minat dan kecintaan P. Ramlee kepada sepak raga pasti dapat dihidu para peminat menerusi filem lakonannya, “3 Abdul” dengan dialog lucu Sadiq Sepakraga oleh pendukung watak ‘Chief Kadam’, Mahmod Hitam ketika mahu mengumumkan ketibaan saudagar barang purba itu.

Begitu juga dua lagi karyanya, “Ibu Mertua Ku” dan “Antara Dua Darjat” yang menyelitkan sekumpulan pemuda bermain sepak raga bulatan di halaman rumah watak ‘Abang Ali’ dan ‘Ghazali’.   


AZIZ Sattar (kiri), 'regu siri filem Bujang Lapok' turut bergandingan dengan P. Ramlee (kanan) dalam pasukan Sekawan Bintang. - Kredit foto: BHS/SPH


Peraduan Sepak Raga Jaring Oskar P. Ramlee dijalankan dalam format regu berpasukan kalah singkir dengan sebanyak 42 pasukan menyertainya mulai Oktober 1961 di Jalan Boon Teck, Singapura setiap hari Ahad dan Rabu selama dua bulan.

Setiap pasukan yang mendaftarkan 10 pemain termasuk seorang simpanan, hanya dikenakan yuran penyertaan 3 dolar Singapura.

Isteri P. Ramlee, Saloma (Allahyarham Puan Sri Biduanita Negara) juga telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang selepas perlawanan akhir pada 7 Disember 1961 di Stadium Happy World, Singapura yang disaksikan 2,000 penonton.

Cathay Keris yang menjuarainya dengan menewaskan Nasional 3-0, telah diperkasa pemain-pemain Kampung Siglap seperti Hamid, Bakar, Idris, Buang, Awang Chik, Ya’acob, Abas, Mokhtar dan Noh. Bawean Putra pula meraih tempat ketiga setelah mengatasi Jembatan Merah.

Antara ucapan P. Ramlee sempena perlawanan seperti laporan Berita Harian Singapura siaran 8 Disember 1961: Sepak raga ialah satu permainan yang telah dipusakai datuk nenek kita. Kita harus jagainya baik-baik supaya tidak tercabul ke tangan bangsa asing.”


ADEGAN pengumuman ketibaan Sadiq Segaraga (Ahmad Nisfu, dua dari kiri) dan tiga anak gadisnya dalam "3 Abdul" pada Hari Puja Umur Ke-71 Ismet Ulam Raja yang mulanya salah disebut sebagai Sadiq Sepakraga oleh Chief Kadam lakonan Mahmod Hitam (kiri). 


P. Ramlee menurut laporan Berita Harian Singapura 20 Julai 1964, turut pernah diundang oleh Persekutuan Sepakraga Malaysia (PSM) sebelum penyampaian hadiah perlawanan akhir Sepak Raga Jaring Antara Negeri-negeri Piala Emas Khir Johari pada 19 Julai 1964.

Pasukan pimpinannya, Sangga Buana dikatakan menewaskan Terengganu 2-0 dalam perlawanan pertunjukan yang mendapat sambutan hangat ribuan hadirin Stadium Negara, Kuala Lumpur itu.

Selangor yang menewaskan penyandang, Pulau Pinang 3-0 menjuarai pertandingan tersebut yang kini dinamakan semula sebagai Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari. - KitaReporters


JUARA-JUARA OSKAR SUMBANGSIH P. RAMLEE

1960: Bawean Putra

1961: Cathay Keris kalahkan Nasional 3-0 (1-15, 15-12, 15-9), (15-6, 15-1), (15-11, 15-4) 

1964: Bintang Bulan kalahkan Lloyd Garden 2-1 (15-11, 15-6), (5-15, 13-18), (15-1, 15-8). 


TIGA seniwati filem Melayu antaranya Saloma (kiri) bergambar dengan pasukan Cathay Keris juara Oskar Sumbangsih P. Ramlee 1961. - Kredit foto: BHS/SPH

14
14
0
14
0
You will be interested