Seni & Sukan 18 Mar, 2025

Kena baca! Memoir Cikgu Muslimin! Cerita Dari Dalam dan Cerita Dalam Diri! 37 tahun jadi pendidik!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Buku Cerita Dari Dalam dan Cerita Dalam Diri hasil tulisan Cikgu Muslimin Fadzil @ Syed Musleem selepas 37 tahun menjadi pendidik.


Bergelumang sebagai pendidik selama 37 tahun tidak disia-siakan begitu sahaja oleh Guru Cemerlang Sejarah, Muslimin Fadzil @ Syed Musleem apabila dia menghasil dua naskhah buku berjudul Cerita Dari Dalam dan Cerita Dalam Diri untuk tatapan umum , yang telah diterbitkan selepas bersara pada 13 Januari 2024.

Buku itu merupakan kesinambungan naskhah buku Memoir Budak Kampung terdahulu yang ditulis oleh Muslimin mengisahkan suka duka beliau ketika zaman remaja, sebagai pendidik, mahasiswa, ahli politik, kolumnis dalam media arus perdana dan jurulatih utama matapelajaran Sejarah.

Beliau juga terbabit secara langsung membina kurikulum pendidikan Sejarah, pembabitan pada peringkat Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Bahagian Buku Teks (BBT), Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Guru Cemerlang (MGC) dan penulis buku teks.


 

Cikgu Muslimin menyemak buku tulisannya yang baru diterima dari syarikat pencetak.


Cikgu Muslimin yang bertekad meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan dengan menimba begitu banyak ilmu pengetahuan tidak hairanlah sehingga kini merupakan Guru Cemerlang Sejarah yang sewajarnya beliau menerima Anugerah Inovasi 2007 dan beberapa kali memenangi Anugerah Cemerlang Serba Daya anjuran kerajaan negeri Selangor.

Namun dengan kesibukan sebagai pendidik, penceramah, pakar motivasi, aktif dalam politik serta terbabit secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan bukanlah penghalangnya untuk menulis dua naskhah buku itu yang sarap dengan isu semasa, perangai dan lagak manusia.

Beliau berkata, naskhah itu merupakan garapan jujur beliau merakam pelbagai kisah kembaranya dalam dunia pendidikan selama lebih 30 tahun. Kisah digarap merangkumi penglaman pendidik yang meneroka dan merintis dunia pendidikan sejarah tanah air apabila sentiasa berubah mengikut arus. 


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil kesempatan menziarah Cikgu Muslimin ketika menghadiri satu program di Tanjong Karang.


Menurutnya, menerusi dua buku itu dengan jumlah 420 halaman dia menjadi tukang cerita yang kreatif, hebat dan menghiburkan dengan mengumpan pembaca ikut menyelami liku-liku suka duka dan tangis tawa dalam menjejaki perjalanan hidup beliau melalui cerita bervariasi dan kebinekaan, naratifnya mirip karya sastera sejarah, santai, bersahaja, lucu serta disulami pengajaran.

Tambahnya, bagi memastikan buku itu mampu membuka minda pembaca mengenai dunia pendidik, dalam ruang terbatas, dia menempelkan nota kaki, peribahasa, unsur sejarah dan budaya setempat di samping menjadi persaingan kepada buku Memoir Budak Kampung.

“Dalam menjamin keaslian dan ketulenan hasil penulisan, saya melakukan penyelidikan, pengumpulan bahan dan temu ramah dengan orang yang sumbernya disaring, informasi yang diterima akan disemak supaya tidak mencalarkan reputasi personaliti tertentu manakala fakta, pertarikhan nama dan peristiwa ditulis dalam bentuk sekunder.


 Cikgu Muslimin menerangkan mengenai buku tulisannya kepada isteri tersayang, Radziah Ab Latif yang banyak memberi sokongan moral.


“Hal ini dilakukan demi mengekalkan keharmonian kerana bahan yang digarap dalam dua buku berkenaan turut menerima buah fikiran dan saranan kawan-kawan rapat yang terjerumus dalam bidang pendidikan sama sezaman saya.       

“Kerana itu saya percaya cerita yang dihidangkan berupaya bergenang air mata dan sukma warga pendidik yang ikhlas melaksanakan tugas dengan menempuh pelbagai ranjau, cacian, bebanan, kepayahan dan sebagainya demi kecemerlangan anak bangsa,” ujarnya yang ditemui di Tanjong Karang, Selangor.

Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah (SM) Tiram Jaya, Tanjong Karang, Selangor iaitu sekolah mula ditugaskan mengajar sehinggalah bersara.  

Cikgu Muslimin berkata, dia bukanlah selebriti popular atau tokoh korporat terbilang mahu pun orang politik tersohor yang kisah hidupnya boleh menjadi karya magnum opus, dia hanya orang kecil apabila cerita komitmen pendidik mendidik anak didik dan individu yang prihatin, pasti dialami oleh pendidik lain malah lebih hebat lagi.


Cikgu Muslimin menunjukkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat hasil tulisannya kepada Fadhlina.


Pada Mac 2020 hingga 2021 apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, beliau meningkat usaha menulis dua buku berkenaan dengan memanfaatkan waktu senggang terutama pada malam sebelum tidur bagi mengupas ingatan lampau.

Beliau berpendapat tidak ramai orang membukukan pengalaman hidup mereka semasa berkhidmat, hal itu disebabkan orang kita keberatan bersikap jujur terutama apabila kisah yang digarap boleh menyentuh sensitiviti personaliti atau warisnya.

Menurutnya, ekoran itu dia akan mengajukan pertanyaan kepada rakan rapat mengenai perkara serupa yang ramai mencadangkan supaya beliau meneruskan usaha murni menulis dua buku berkenaan kerana akan menjadi bahan bacaan berguna kepada mereka baru menceburi bidang pendidikan.

“Secara keseluruhan, isi ceritanya mengujakan, kerana ada kisah lucu, cerita sedih, insiden yang seakan tidak logik tetapi realitinya berlaku mungkin akan ditempuhi pendidik baharu apabila sesetengahnya terpaksa memulakan tugas di pedalaman serba kekurangan,” ujarnya.

Kepada mereka yang berminat mendapatkan buku berkenaan boleh menghubungi Cikgu Muslimin menerusi nombor telefon bimbit 019-388 7874. - KitaReporters

17
14
0
12
0
You will be interested