Ernie Zakri bersama kumpulan Govinda.
Sebut nama Ernie Zakri, 30, pasti semua orang tahu dan kenal tetapi jika sebut kumpulan Govinda, barangkali ramai yang tidak berapa mengenali dari mana wujudnya kumpulan ini.
Bunyi macam artis Hindi dari India, pelakon Govinda Arun tetapi tentu sekali bukan dia kan? Apa pun kaitannya Ernie dengan Govinda?
“Govinda adalah sebuah kumpulan muzik yang berpengaruh dan sangat terkenal di Indonesia dengan pengalaman lebih 10 tahun lamanya. Single mereka ‘Hal Hebat’ yang dihasilkan sekitar awal tahun 2020 telah mendapat sambutan luar biasa di negara asalnya, Indonesia, sehingga menjadi tular di Malaysia,” ujar Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment.
Kumpulan Govinda.
Lagu pop dalam nuansa balada itu menceritakan tentang mensyukuri perkara hebat dalam hidup kita dalam perhubungan yang tidak akan terganti sehingga akhir usia.
Menariknya juga, ‘Hal Hebat’ adalah single paling hit pernah dinyanyikan oleh Govinda dengan jumlah tonton menghampiri 20 juta sejak pelancarannya kira-kira 2 tahun lalu.
Sehubungan itu, tambah Feros, beliau mendapat ilham untuk menghubungi pihak MyMusic Indonesia dengan cadangan menyanyikan semula lagu tersebut secara duet antara Govinda dan artis di bawah labelnya, vokalis terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32, Ernie Zakri.
“Ini adalah usaha Rocketfuel dalam percubaan menembusi pasaran Indonesia sebagaimana yang telah diuar-uarkan ketika malam ulang tahun Rocketfuel yang ke-5.
"Semoga usaha ini menjadi batu loncatan buat Ernie untuk melebarkan sayapnya ke arena muzik Indonesia", tambah Feros.
Feyros Sayna
Walaupun sedang sibuk membesarkan puteri sulungnya, Khawla, 5 bulan, bersama suami, Syamel, Ernie menerima cadangan Feros sambil berkata, “Jwa muzik memang sebati dalam diri saya, ketika mengandung, dalam tempoh berpantang dan kini membesarkan anak, saya akan tetap menghasilkan muzik dan terus berkarya.”
Menurut Ernie, proses rakaman lagu ‘Hal Hebat’ mengambil masa selama sehari kerana mengejar jadual kerja yang agak padat.
Komposisi dan susunan muziknya turut diberi nafas baharu oleh penciptanya sendiri iaitu Ade Govinda sesuai dengan konsep duet yang mereka tampilkan, namun masih mengekalkan feel yang sama memandangkan melodi terdahulu sudah cukup sempurna.
“Alhamdulillah, saya telah pun selesai merakamkan semula lagu Hal Hebat bersama-sama kumpulan Govinda dari Indonesia di Jakarta. Ini adalah sebuah kolaborasi istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang jarang-jarang berlaku,” ujar Ernie dalam nada gembira.
Sesungguhnya, muzik adalah bahasa universal yang sering menyatukan kebanyakan manusia walau di mana berada, dan pertembungan muzik antara dua benua, Malaysia dan Indonesia telah terjalin secara harmonis sekian lamanya.
Dengan perkembangan terbaharu ini, Ernie berpendapat peluang sebegini tidak seharusnya dipersia kerana bukan mudah untuk band besar seperti Govinda mahu berduet dengan artis dari Malaysia seperti dirinya, tambahan pula menyanyikan semula lagu hit mereka.
Ketika ditanya bagaimana rasanya bekerja dengan tenaga muzik dari seberang, Ernie menjawab, “Saya belum pernah berkolaborasi dengan mana-mana band sebelum ini tetapi mereka sangat mesra walaupun baharu pertama kali bersua dan chemistry antara kami terus terjalin memudahkan proses rakaman.”
Selain itu, proses penggambaran video muziknya (MV) turut diadakan di sana dalam waktu yang singkat. Walaupun agak lelah berkejar-kejar ke sana dan ke sini, semuanya sangat berbaloi.
Kredit foto: IG Ernie Zakri
Perjalanan seni Ernie tidak kurang lamanya dan berusia lebih dari sedekad, kini, berbekalkan azam dan usaha yang jitu, anak Malaysia kelahiran Kuala Lumpur ini bakal membanggakan negara yang dicintainya dengan memasuki pasaran Indonesia.
“Saya tidak mahu berada pada satu takuk sahaja, saya juga mahu cuba melebarkan sayap ke negara luar. Namun semua ini tidak akan menjadi tanpa usaha yang berterusan serta doa-doa anda semua, jadi teruskanlah mendoakan perjalanan seni saya agar saya dapat membina nama yang dapat membanggakan kita semua.
Harapannya, semoga Hal Hebat nyanyian bersama kumpulan Govinda dan diterima baik bukan sahaja di Malaysia bahkan di Indonesia,
“Teruskanlah menyokong kerjaya saya sampai bila-bila,” akhiri Ernie. - KitaReporters