Seni & Sukan 17 Jul, 2022

Keluarga Malaysia bersyukur! Anjur program korban! Bagi eratkan hubungan sekolah, guru, ibu bapa!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SEMANGAT aspirasi Keluarga Malaysia mendorong Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Muanad, Beluran, Sabah, menganjurkan Program Korban Perdana dan Kesyukuran buat kali kedua dengan membabitkan guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan ibu bapa pada Hari Raya ketiga Adiladha, 12 Julai 2022 lalu.

Hasil kesepakatan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah matlamat program berkenaan untuk melahirkan masyarakat yang bersyukur dengan nikmat Allah serta mewujudkan komuniti bersedia berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan negara tercapai walaupun berada jauh di pedalaman.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program korban


Guru penyelaras program itu, Mohamad Tarmizi Mohamad, berkata program berkenaan juga untuk memupuk nilai mahmudah yang ada dalam setiap diri supaya sentiasa mengingati yang Maha Esa sepanjang masa.

Menurutnya, di samping itu untuk membolehkan murid sekolah berkenaan mempelajari berkaitan penyembelihan korban dan pengurusan korban seperti melapah, menimbang serta mengagihkan kepada yang memerlukan.

Jelasnya, langkah itu secara tidak langsung menunjukkan kepada murid pada peringkat awal lagi bagi memahami semangat perpaduan, tolong-menolong dan kesepakatan orang dewasa iaitu antara guru dan masyarakat setempat.


Guru dan ibu bapa murid SK Ulu Muanad menghadiri mesyuarat program korban berkenaan bagi mencari kesepakatan.


“Alhamdulillah pada tahun ini (2022), sebagai penyelaras saya berasa gembira kerana berlaku penambahan peserta yang terbabit dalam ibadah korban apabila lima lembu ditumbangkan berbanding tahun lalu (2021) hanya tiga lembu sahaja.

“Penambahan jumlah peserta korban ini berikutan sekolah mengambil inisiatif kepada mereka yang hendak menyertai ibadah berkenaan boleh membuat bayaran secara ansur iaitu RM70 sebulan sehingga pada hari terakhir sebelum menyambut Adiladha,” katanya.

Mohamad Tarmizi berkata, program korban itu amat meriah apabila sekolah turut menjemput pelbagai lapisan masyarakat sekitar seperti ketua kampung, iman madrasah serta masjid di Beluran serta warga Pejabat Pendidikan Daerah, Beluran untuk turut serta.


Guru dan Ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Ulu Muanad, Beluran, Sabah bekerjasama dan berganding bahu dalam Program Korban Perdana Kesyukuran pada 12 Julai 2022 lalu.


Katanya, mereka yang hadir itu bergotong-royong seperti melakukan kerja melapah daging, memotong tulang, membungkus, mengedarkan kepada mereka yang memerlukan dan juga menyediakan menu bagi dinikmati bersama-sama khusus untuk murid sebelum program berakhir.

Guru Besar sekolah berkenaan, Abdul Shukor Barhim, berkata program itu juga bersempena majlis kesyukuran dan doa selamat pembukaan bangunan baharu sekolah baru-baru ini yang menambahkan kemudahan pembelajaran untuk murid.

“Saya sangat teruja melihat sambutan dan kerjasama warga PIBG dalam menjayakan program  korban dan majlis pembukaan bangunan baharu sekolah ini yang memberi gambaran tanda kesepakatan serta kerjasama dengan masyarakat sekitar semakin baik.


Guru wanita dan ibu murid SK Ulu Muanad bergotong-rotong memotong daging.


“Saya berkeyakinan program korban ini amat wajar untuk diadakan setiap tahun kerana berjaya mewujudkan jalinan kerjasama yang baik antara pihaksekolah dan masyarakat setempat, membanggakan termasuk pelaksanaan pada peringkat penyembelihan korban dilakukan dengan sempurna oleh guru penyelaras korban iaitu Ustaz Mohd Haizul Izani kerana berjaya melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya.

Bagi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Norimma Masra, berkata program itu berjaya dalam memperkasakan hubungan erat antara guru dan ibu bapa apabila turut memberi sokongan bagi menjayakannya.

“Bagi kami di pedalaman hubungan baik yang terjalin ini amat besar ertinya apabila saling bergantung bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna,” katanya. - KitaReporters


Guru wanita SK Ulu Muanad merakam kenangan selepas penat terbabit dalam Program Korban Perdana Kesyukuran 2022.

29
15
0
7
0
You will be interested