Seni & Sukan 21 Sep, 2022

Peluang bagi OKU cuba selam skuba! Usaha DiveHeart Malaysia! Bina keyakinan diri, pembangunan minda!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Sesi taklimat oleh Duta Diveheart Malaysia kepada semua peserta sebelum menyelam.


Kita semua tidak sempurna. Namun kita boleh berusaha untuk menjadi sempurna dengan cara kita. Menghargai anugerah Allah  sebagai manusia. 

Dalam hubungan ini, Orang Kelainan Upaya (OKU) juga berhak diberi peluang untuk melalui kehidupan yang berkualiti dan  menggembirakan mereka sama seperti orang normal

Demikian pandangan dan komitmen yang diberikan oleh pakar scuba diving atau selam skuba dan Duta DiveHeart Malaysia Syed Abd Rahman Syed Hassan

Minat yang mendalam dalam menyelam membuka pintu hati beliau menubuhkan Kids Scuba DiveHeart Malaysia pada 2015.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti menyelam

Syed Abd Rahman syed Hassan.


"Saya melihat aktiviti skuba dalam kalangan kanak-kanak sangat penting dalam membina keyakinan diri dan pembangunan minda generasi masa hadapan negara," kata Syed Abd Rahman yang berpengalam luas dalam Scuba sejak 3 dekad lalu.

Menurut Syed Abd Rahman Selain orang dewasa, DiveHeart Malaysia juga membuka ruang kepada golongan dewasa, pelajar, kumpulan pekerja dan individu untuk menyertai kursus yang dianjurkannya

Merasakan skuba adalah harapan baharu generasi masa hadapan Syed Abd Rahman menyahut cabaran meluaskan aktiviti unik ini kepada masyarakat termasuk OKU

"Usai pandemik, DiveHeart di seluruh dunia termasuk Malaysia telah melancarkan program untuk membantu komuniti kelainan upaya untuk membiasakan diri berada di dalam air," kata Syed Abd Rahman. 

Ditubuhkan pada 2015  Syed Abd Rahman berkata DiveHeart Malaysia disokong penuh oleh Kids Scuba PADI 5Star Dive Centre di Tropicana Golf and Country Resort (TGCR) Club Damansara dan TGCR Swimming pool. 


Suhaili Yusof, penyelam skuba OKU PADI bersama Syed Abd Rahman dan Dr Chris Jones dari Australia.


Syed Abd Rahman telah berkhidmat  dengan DiveHeart sebagai Duta Diveheart Malaysia sejak 2015. 

Menurut beliau, Program Diveheart bagi benua Asia telah dilancarkan di Mimpi Perhentian Resort, Terengganu baru baru ini. 

"Program menyelam Adaptif Diveheart adalah satu program bagi membantu kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya melalui pengalaman skuba adaptif dan terapi skuba dengan lebih terperinci," ujarnya lagi. 

Diveheart ialah organisasi yang benar-benar berdedikasi untuk meningkatkan kehidupan masyarakat tanpa mengira siapa.

"Program ini direka untuk memperkasakan masyarakat dengan memupuk semangat dan keyakinan diri yang lebih tinggi melalui sukan  skuba," tambah Syed Abd Rahman. 


Sukarelawan Diveheart Malaysia bersama Jim Elliot di Mimpi Perhentian Resort, Terengganu.


Jelas Syed Abd Rahman, pihaknya bersyukur kerana mendapat rakan strategik yang sangat prihatin dan memberi kerjasama yang sangat meyakinkan.

"Sebagai rakan strategik, DiveHeart sangat berbangga dapat bekerjasama dengan Mimpi Perhentian Resort  dalam lawatan tahunan kami kali ini di Pulau Perhentian. Semoga kerjasama ini berterusan pada masa hadapan," jelas Syed Abd Rahman. 

Lebih mengagumkan, organisasi ini berhasil memberi impak yang sangat membanggakan dengan memberi inspirasi kepada OKU supaya tidak merasa asing dan rendah diri dengan kekurangan yang mereka ada

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia (Promosi), Datuk Musa Yusof; Presiden Diveheart, Jim Elliot bersama Duta Diveheart Malaysia, Syed Abd Rahman serta Ketua Diveheart Borneo, Ernest C. Teo;  pakar perubatan, Prof Dr Nazirah Hasnan; Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya PPUM, Dr Chris Jones dari Gold Coast Australia; dan Max Missbichler dari Austria.

Acara ini turut membabitkan Pasukan Perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pasukan Perubatan Pemulihan PPUM bersama Profesor dari Heriot Watts University Putrajaya yang membantu para penyelam (OKU). 



Menurut Syed Abd Rahman lagi, semua kakitangan di DiveHeart, termasuk pengasas dan presiden, adalah sukarelawan. 

"Ini bermakna, sebahagian besar pembiayaan adalah melalui geran dan  tajaan serta derma dari orang ramai yang bermurah hati menyokong usaha ini untuk membantu OKU menikmati aktiviti sama seperti orang yang sempurna," kata Syed Abd Rahman.

Semoga apa yang dilakukan oleh DiveHeart Malaysia menjadi contoh kepada NGO atau pertubuhan berkaitan aktiviti untuk mengambil kira hak dan peluang  OKU menikmati kehidupan seiring dengan orang yang sempurna melalui kegiatan sukan dan lain-lain. 

Tambah Syed Abd Rahman lagi, menjadi harapannya untuk melihat generasi OKU pada masa hadapan lebih berkeyakinan dan berani menceburi pelbagai peluang dan aktiviti yang terbuka luas untuk mereka

Berminat untuk menyertai kursus di DiveHeart Malaysia boleh hubungi   019-317 6705 atau emel kepada di [email protected]. - KitaReporters

Team Pusat Perubatan Universiti Malaya Rehabilitational Medicine Department

13
12
0
13
0
You will be interested