ASPIRASI Keluarga Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin dapat direalisasikan jika aspek kasih sayang dan penjagaan ibu bapa diabaikan atau dipinggirkan kerana elemen utama dalam sebuah keluarga ialah ibu bapa.
Malah kasih sayang seorang anak terhadap ibu dan bapa mereka boleh tetap terbela malah dipereratkan lagi oleh pusat jagaan seperti Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, Pulau Pinang, yang sekali gus mengetepikan anggapan mengatakan pusat berkenaan tempat anak melepaskan tanggungjawab.
Diwujudkan lebih 14 tahun lalu pusat berkenaan kendalian Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Darul Hanan di bawah naungan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu menyangkal tuduhan masyarakat mengatakan pusat berkenaan tempat membuang ibu dan bapa khusus yang uzur.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan warga emas
Azman Rasman (kiri), Mohiadin Bahado, Siti Sarah Yahaya dan Alias Ahmad memberi isyarat bagus kerana Darul Hanan terbaik dalam mengurus tadbir warga emas dengan mendapat sokongan pelbagai pihak di Pulau Pinang.
Terletak di atas tanah seluas 3.2 hektar pusat itu menyediakan pelbagai kemudahan seperti bangunan asrama, perpustakaan, kafeteria, surau, wad, dewan serba guna dan bengkel. Selain keadaan yang selesa untuk beriadah dan pusat itu boleh menampung 150 warga emas pada satu masa.
Pengurusnya,
Siti Sarah Yahaya, berkata pusat itu menempatkan warga emas lelaki dan
perempuan yang berusia antara 57 tahun hingga 90 tahun dalam kalangan mereka
yang tiada waris, tersisih daripada ahli keluarga, asnaf dan miskin membabitkan
kes dirujuk pihak berkenaan.
Bagaimanapun menurut beliau, Darul Hanan turut menerima warga emas yang tidak dapat dijaga atau diuruskan dengan sempurna oleh ahli keluarga kerana pelbagai faktor dan demi memberi keselesaan serta keselamatan kepada ibu atau bapa pusat itu menjadi pilihan mereka.
Jurupulih anggota, Zulhisham Abu Hassan membantu warga emas di Anjung Terapi Darul Hanan mengaktifkan anggota badan.
Jelasnya,
pihak pengurusan memahami perkara itu dan tidak sekali-kali menganggap mereka
membuang ibu atau bapa di pusat itu malah kita menerima dengan tangan terbuka
serta penuh kasih sayang di samping menyantuni sebaik mungkin.
“Sebelum
ini ada sesetengah kes warga emas yang dihantar ke Darul Hanan mendiami pusat
jagaan yang tidak sepatutnya selepas ditinggalkan oleh anak-anak apabila tidak dilayani
dengan baik untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila semakin uzur.
“Di pusat ini anak-anak atau saudara mara bebas mengunjungi ibu dan bapa mereka atau warga emas yang dikenali pada setiap Sabtu dan Ahad kerana kita mahukan ikatan silaturahim mereka berkekalan tanpa sebarang rasa bersalah,” kata Siti Sarah ketika menerima kunjungan Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang Selangor, Mohiadin Bahado; dan guru agama dua pusat berkenaan, Alias Ahmad pada 22 Ogos 2022 lalu.
Siti Sarah menunjukkan model bangunan Darul Hanan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan warga emas yang mendiami pusat berkenaan bagi meneruskan kelangsungan hidup kepada Alias, Mohiadin dan Azman.
Siti Sarah
berkata, pusat itu masih bergantung kepada sumbangan daripada pelbagai pihak untuk
terus beroperasi bagi membiayai kos bekalan elektrik, air, barangan makanan, kesihatan,
pampers pakai buang, pengangkutan, gaji kakitangan, keselamatan dan sebagainya.
“Setakat ini Darul Hanan sentiasa menerima sumbangan daripada pihak luar seperti membabitkan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat dan orang perseorangan yang prihatin dengan nasib warga emas yang menetap di sini,” katanya.
Beliau menambah, kos operasi pengurusan Darul Hanan sebahagian besar ditanggung oleh Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) melalui bajet tahunan yang diluluskan setiap tahun.
Peruntukan itu secara tidak langsung sebagai penghargaan untuk pembayar zakat kepada ZPP.
Warga emas mengikuti kuliah agama di surau yang dibimbang ustaz bertauliah.
Penyelia pusat itu, Nur Aswani Aziz, berkata Darul Hanan akan sentiasa menguruskan penjagaan dan perlindungan yang sempurna serta terbaik kepada setiap warga emas dengan berteraskan agama Islam secara cekap dan berkualiti.
Tambahnya, sehubungan itu pihak pengurusan meningkatkan kefahaman dan penghayatan agama Islam kepada warga emas berdasarkan konsep pendidikan sepanjang hayat termasuk mewujudkan kelas pengajian agama kepada mereka yang dikendalikan ustaz yang bertauliah.
Menurutnya,
bilik yang diubah suai seperti wad hospital dan anjung terapi diwujudkan bagi
mengekalkan taraf kesihatan warga emas yang optimum supaya mencapai kehidupan
berkualiti di samping meningkatkan kesedaran serta mengurangkan stigma negatif
terhadap insan melarat dan terbiar.
“Kita menganggap warga emas seperti emak dan bapa sendiri yang kadang-kadang berasa terharu serta sedih apabila melihat gelagat mereka termenung sendirian seperti mengingati atau merindui sesuatu manakala kepada kakitangan pusat tempat meluahkan perasaan itu,” katanya.
Sementara itu, Azman dan Mohiadin, berkata kunjungan mereka ke Darul Hanan adalah bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang terkini dalam menguruskan warga emas dengan lebih baik serta cekap.
“Kami ambil kesempatan ini apabila diuar-uarkan oleh pihak berkenaan Darul Hanan merupakan pusat jagaan yang terbaik khusus di Pulau Pinang dalam mengurus tadbir warga emas di samping tidak memutuskan hubungan silaturahim antara anak dengan ibu dan bapa yang mendiami pusat berkenaan,” kata mereka. - KitaReporters
Siti Sarah (tiga dari kiri) bersama Nur Aswani dan kakitangan Darul Hanan menerima cenderamata buku cerpen kisah benar warga emas tersisih bertajuk Terkulai Di Senja Hari hasil tulisan Mohiadin.