Seni & Sukan 24 Jul, 2021

Di London 2012, menembak 'berdua'! Di Tokyo 2021, menembak solo! Suryani si ibu sharpshooter!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

NUR Suryani Mohamed Taibi, wakil tunggal menembak Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021). - Kredit foto: MSN 


SEMBILAN tahun lalu, Dayana Widyan Marhazli ‘menemani’ ibunya, Nur Suryani Mohamed Taibi dalam mengharungi cabaran Sukan Olimpik London 2012.

Dayana masih dalam kandungan sarat yang berusia lapan bulan ibunya, penembak wanita negara itu yang berjuang dalam acara 10 meter raifal angin individu di Royal Artillery Barracks, Larkhill.

Demi Malaysia lagi, kali ini Suryani terpaksa berjauhan daripada puteri sulungnya sekali gus berjuang sendirian malah dalam acara yang berbeza, 50 meter raifal tiga posisi di Lapang Sasar Asaka, Tokyo.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

ANAK sulung Suryani, Dayana Widyan Marhazli turut pernah 'beraksi' dalam Sukan Olimpik London 2012. - Kredit foto: NSMT 


Penembak berasal dari Perak ini juga mempunyai seorang lagi puteri, Adrianna Widyan Marhazli yang berusia lima tahun, yang pasti turut dirinduinya sejak berlepas ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) dari tanah air, 17 Julai 2021.

“Pasti sekali saya pernah ceritakan memori Olimpik London 2012 itu kepada Dayana yang kini berusia sembilan tahun. Dia begitu teruja sekali mendengarnya,” kata Suryani.

Kali ini dia menyambut Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai 2021 jauh di perantauan Tokyo manakala Olimpik London 2012 berlangsung ketika umat Islam turut menjalani ibadat puasa Ramadan 1433 Hijrah. 


SURYANI berlepas dari KLIA ke Tokyo dengan tiket 'wild card' NSAM. - Kredit foto: MSN


Penembak itu menduduki tempat ke-34 daripada 56 peserta acara 10 meter raifal angin Olimpik London dengan catatan 392 mata dengan 26 das tembakannya dalam lingkaran papan 10.  

Suryani, 38, ialah antara lebih 10 atlet negara yang sudah berada di Tokyo biarpun temasya ke-32 yang terpaksa ditunda setahun gara-gara pandemik dunia, Covid-19 itu hanya akan dibuka tirainya pada 23 Julai 2021 dan berlangsung sehingga 8 Ogos 2021.

Wakil tunggal menembak Malaysia ini ditemani jurulatih, Mohd. Yusri Jusoh pada penampilan kedua Olimpiknya.

Acara 50 meter raifal tiga posisi ini menuntut peserta melepaskan tembakan secara berdiri, berlutut dan meniarap.

Suryani juga merupakan pemegang rekod kebangsaan acara individu ini dengan 1,170 mata dan layak ke Olimpik Tokyo sebagai pilihan wild card (undangan khas) Persatuan Kebangsaan Menembak Malaysia (NSAM) pada Jun 2021.


SURYANI menjalani latihan menembak 50 meter dalam posisi meniarap di Lapang Sasar Asaka. - Kredit foto: MSN


Juga sudah berada di Tokyo bagi menyesuaikan diri lebih awal ialah empat atlet pelayaran yang berlepas pada 8 Julai 2021.

Kumpulan atlet memanah, gimnastik, akuatik renang dan terjun dan badminton pula menyusul menerusi Majlis Pelepasan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 18 Julai 2021.

Pasukan pelayaran kini sibuk menjalani latihan di Pelabuhan Pelayaran Enoshima manakala pasangan pemanah, Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh di Lapang Memanah Yumenoshima.

Sesi latihan gandingan gimnas negara, Jeremiah Loo Phay Xing dan Farah Ann Abdul Hadi di Pusat Gimnastik Ariake manakala pasukan penerjun akuatik di Pusat Akuatik Tokyo. 


KHAIRULNIZAM Mohd. Afendy menjalani latihan pelayaran acara laser di Pelabuhan Pelayaran Enoshima. - Kredit foto: MSN


Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) pada 19 Julai 2021, menetapkan tiga pingat termasuk satu pingat emas sebagai sasaran kontinjen Olimpian Tokyo Malaysia yang dianggotai 30 atlet yang menyertai 27 acara daripada sembilan jenis sukan.

Sasaran itu tertumpu kepada badminton, berbasikal dan akuatik terjun yang dianggap realistik selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk cabaran besar atlet yang menjalani latihan dalam norma baharu Covid-19 dan kurangnya pendedahan pertandingan antarabangsa.

Olimpik Rio 2016 menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa juga menerusi ketiga-tiga sukan berkenaan yang satu daripadanya menerusi Ketua Kontinjen Tokyo, Datuk Lee Chong Wei.


 KHAIRUL Anuar Mohamad (kanan) menjalani latihan di Lapang Memanah Yumenoshima. - Kredit foto: MSN


 SKUAD akuatik terjun negara berlatih di Pusat Akuatik Tokyo. - Kredit foto: MSN

0
1
0
1
0
You will be interested